Astro Ultra Box dilancarkan tahun lalu untuk menawarkan siaran TV satelit pada resolusi tinggi 4K UHD. Pada awal penawaran, hanya satu saluran sahaja menawarkan kandungan pada resolusi ini tetapi hari ini ia akhirnya berubah.
Pelanggan Astro Ultra Box kini boleh menstrim kandungan 4K menerusi perkhidmatan VOD terus dari kotak TV. Antara filem 4K yang boleh dinikmati ialah Trolls World Tour, Gemini Man, Charlie’s Angels dan Rocketman. Kandungan siri TV pula adalah seperti Curi-curi Cinta dan Sweet Dreams. Sebelum ini hanya satu saluran secara langsung (780) dan dua saluran Astro Best sahaja menawarkan kandungan 4K.

Pada waktu yang sama pelanggan boleh menyewa filem 4K pada harga serendah RM9 untuk 48 jam atau bermula dari RM12 menerusi Astro Best dan Astro First.
Astro turut mengumumkan setakat ini sebanyak 100,000 kotak TV Astro Ultra Box telah dipasang di seluruh negara. Ini adalah peningkatan sebanyak 60% dalam masa tiga bulan sahaja.