Cari @ Amanz

Memiliki lebih daripada satu peranti pintar dalam satu masa bukanlah suatu perkara yang baru. Malah, boleh dikatakan pasti ramai antara kita yang sedemikian. Jadi, adakah anda juga sedang mencari peranti pintar yang sesuai dijadikan telefon kedua? Tetapi, dalam masa yang sama ingin berjimat?

Anda berada di landasan yang betul, teruskan membaca artikel ulasan ini kerana penulis ada sesuatu yang hendak dikongsikan dengan anda semua. Almaklumlah, di saat dunia dilanda wabak Covid-19 yang telah menyebabkan tercetusnya PKPB di sesetengah kawasan, kita perlulah mengamalkan sikap berjimat-cermat terutama dalam berbelanja. Andai kata, rasa berminat dan sesuai untuk kegunaan anda. Peranti ini sudah boleh dibeli kerana ianya sudah sedia berada di pasaran sekarang.

Baiklah, model untuk diulas oleh penulis pada artikel kali ini adalah Honor 9S. Sebuah peranti pintar kelas permulaan terkini daripada Honor yang dijual pada harga di bawah RM400 sahaja. Murah bukan? Bukan sekadar harganya yang murah, bahkan spesifikasi pada peranti juga boleh dikatakan memadai dalam kelasnya yang tersendiri. Tapi, kalau boleh anda jangan berharap lebih sebab anda dapat apa yang anda bayar. Jadi, anda ingin tahu apa yang ditawarkan pada peranti pintar ini? Bagaimana prestasinya dalam dunia nyata? Teruskan membaca artikel ini sehingga ke bahagian kesimpulan.

Spesifikasi Ringkas Peranti

HONOR 9S
JenisPeranti Pintar
Paparan5.45″ TFT LCD HD+, 295 PPI
PemprosesMediatek Helio P22 (12 nm)
Cip4 x 2.0 GHz Cortex-A53
4 x 1.5 GHz Cortex-A53
Cip Grafik IMG PowerVR GE8320 
RAM2GB
Muatan Dalaman32GB
Kamera Utama8 MP (f/2.0) – (Sudut Lebar)
Kamera Depan5 MP (f/2.2)
Bateri3,020 mAh + Pengecasan 10W
Sim / TelefoniNano SIM + Nano SIM + MicroSD
Ketahanan Kalis AirTiada
Sistem ImbasanSistem Imbasan Wajah
Harga JualanRM359

PAPARAN :

Seperti kebiasaan, perkara pertama yang akan kita sentuh adalah mengenai paparan pada peranti. Perhatikan di sini, panel skrin yang digunakan adalah jenis TFT LCD pada saiz 5.45-inci dengan resolusi HD+ (720 X 1440). Paparannya di sini turut mendapat pensijilan TUV Rheinland untuk pencahayaan sinar biru yang rendah. Rekaan pada panel hadapannya tidak mengikut trend terkini, sebaliknya hadir dengan saiz bezel pada dagu, dahi dan sisi yang tebal. Pada pandangan penulis, rekaan sebegini mengakibatkan luas permukaan pada skrin menjadi lebih rendah. Ini mungkin disebabkan oleh penulis sudah terbiasa dengan paparan peranti lain yang menggunakan rekaan lebih moden dan juga nisbah skrin yang luas.

Maaf seandainya ada pihak yang tidak bersetuju dengan penulis. Bukan bermaksud untuk memperkecilkan keupayaannya. Tetapi kalau kita lihat balik kebanyakan peranti pintar dalam kelas dan tanda harga yang sama, dilihat berubah mengikut trend terkini lebih moden termasuk rekaan skrin berlubang. Dari segi prestasi pula, penulis boleh katakan kualiti skrinnya dilihat sederhana dengan penghasilan warna yang baik. Melihat pada skrin dari sudut berbeza juga terasa baik-baik sahaja, tanpa masalah yang melampau. Namun begitu, paparan peranti ini dilihat memudahkan penampakan piksel pada paparan skrin peranti.

REKAAN :

Beralih kepada rekaan. Tubuhnya di sini kecil sahaja dan juga nipis dengan hanya 8.35mm. Pertama kali memegang peranti ini, penulis perlu akui ia terasa cukup selesa di tangan. Selain, mudah untuk diletakkan di dalam poket atau dibawa ke mana-mana sahaja. Ia dilihat menampilkan bahagian belakang berasaskan plastik, bersama rekaan pusam berkilat.

Seterusnya, panel belakang ini juga didapati tidak terlalu licin. Sekaligus membuatkan peranti selesa sahaja untuk digunakan dengan hanya sebelah tangan. Turut kelihatan pada panel ini adalah binaan modul kamera berbentuk segi empat dengan tiga bulatan didalamnya. Tetapi mesra penulis katakan, anda jangan tertipu dengan apa yang dilihat. Kenapa? Penulis akan jelaskan pada bahagian kamera nanti. Jadi teruskan membaca.

Pada sisi kanan terdapatnya butang kuasa dan laras suara. Sisi kiri pula, anda akan temui slot untuk SIM dengan sokongan sehingga tiga slot kad (nano SIM + nano SIM + microSD). Seterusnya, terdapat bicu audio 3.5mm pada bahagian atas. Akhir sekali, bahagian bawah pula anda akan temui lubang mikrofon dan port sambungan mikro-USB. Kesemua butang standard ini dilihat disusun pada kedudukan ergonomik dan mudah untuk dicapai dengan ibu jari apabila memegang peranti ini. Terdapat tiga pilihan warna menarik yang boleh dipilih iaitu merah, biru dan hitam.

Mungkin akan ada pihak yang akan bertanyakan kepada penulis : di mana letakkan sokongan pengimbas cap jari? Jawapanya adalah tiada. Honor 9S tidak dilengkapi sokongan pengimbas cap jari. Sebaliknya hanya hadir dengan tetapan untuk sistem imbasan wajah. Penulis sempat menguji prestasinya dan mendapati ia memberi tindak balas yang pantas dalam persekitaran terang. Sebagai pilihan lain, anda juga boleh menggunakan sistem keselamatan tradisional seperti penggunaan kata laluan atau paten.

Di samping itu, terdapat juga fungsi Smart Unlock – membolehkan anda menyahkunci peranti menerusi mana-mana peranti lain yang dihubungkan dengan peranti ini menerusi sambungan berasaskan bluetooth. Salah satu contohnya seperti gelang tangan pintar dan ia tidak memerlukan sebarang proses pengesahan.

PRESTASI :

Dari segi sistem operasi, Honor 9S menggunakan antaramuka Magic UI 3.1 berasaskan Android 10 terkini. Ini adalah sistem operasi yang sama digunakan oleh Honor 9A sebelum ini yang dijual pada harga RM549. Antaramukanya dilihat kemas, bersih dan dioptimumkan dengan baik bagi memudahkan penggunaan. Namun begitu, Honor dilihat ini masih mempunyai masalah dengan bloatware kerana terdapat sejumlah aplikasi yang anda mungkin tidak mahu telah sedia dipasang. Perlu juga anda tahu, peranti ini tidak menyokong perkhidmatan Google Mobile Services (GMS), sebaliknya hadir dengan sistem Huawei Mobile Services (HMS) sepenuhnya. Jadi, anda boleh mencari segala aplikasi menerusi App Gallery atau aplikasi Petal Search.

Huawei AppGallery

Cip pemproses yang digunakan di sini adalah MediaTek Helio P22. Ini merupakan cip yang dilancarkan sekitar 2018, selain pemproses yang sama digunakan oleh Vivo Y12 dan Realme C2 yang turut dilancarkan pada tahun tersebut. Konfigurasi teras pemproses ini terdiri dengan rekaan cip lapan-teras yang menampilkan 4 x 2.0 GHz Cortex-A53 dan 4 x 1.5 GHz Cortex-A53 bersama padanan GPU PowerVR GE8320. Kapasiti memori yang disertakan adalah 2GB RAM, selain storan dalaman 32GB yang boleh diperluaskan sehingga 512GB menggunakan slot kad mikroSD khusus.

Pada awal penggunaan, ia dilihat mampu menggalas sejumlah tugas dengan baik. Boleh dikatakan pengalaman penggunaan peranti ketika terasa memuaskan. Namun demikian, hari demi hari berlalu. Penulis boleh katakan masalah lengah masa itu mula berlaku dan dirasai terutamanya ketika membuka, menutup mahupun menukar aplikasi. Peralihan animasi juga mula sedikit terasa kurang memuaskan kerana terdapatnya sela masa yang berlaku.

Tetapi, ia tidaklah sehingga berlakunya masalah yang menyebabkan gangguan pada penggunaan peranti. Dari segi prestasi permainan, ia dilihat memberi prestasi yang lancar. Tetapi dengan syarat perlu dimainkan pada tetapan grafik asas sahaja. Beberapa aplikasi juga perlu dimatikan terlebih dahulu bagi membolehkan anda bermain permua dengan prestasi konsisten. Secara keseluruhannya, jika anda lebih berfokus kepada permua yang tegar. Peranti ini mungkin bukan jawapannya, tetapi ia masih tidak mengecewakan untuk menggalas sejumlah tugas intensif lain. Selain, bermain permua sekadar untuk berseronok.

KAMERA :

Untuk kamera pula di sini anda akan dapat lihat peranti ini hadir dengan sokongan di kamera. Tapi, sabar dahulu. Kamera ini terdiri dengan satu lensa tunggal 8-Megapixel dengan aperture f/2.0 pada bahagian belakang. Manakala, satu lagi lensa untuk kamera swafotonya yang sebesar 5-Megapixel (f/2.2). Inilah apa yang dimaksudkan oleh penulis di bahagian atas tadi. Di mana, anda jangan tertipu. Ini adalah kerana, rekaan modul empat kamera dengan bulatan seakan dwi-lensa sebenarnya hanyalah gimik semata-mata. Sebaliknya, ia hanya ada satu sahaja kamera dan satu lagi adalah lubang untuk mikrofon.

Dari segi prestasinya. Tidak banyak yang boleh dikomen. Hasilnya dilihat baik-baik sahaja untuk sejumlah situasi harian dengan pewarnaan yang sekadar sederhana. Mungkin akan ada yang berpendapat hasil gambarnya di sini kelihatan biasa-biasa sahaja. Jangan pernah berharap lebih, anda dapat apa yang anda bayar. Tambahan pula, peranti ini juga tidak memfokuskan pada keupayaan kameranya.

Bagaimanapun, ia masih cukup memadai untuk penggunaan harian pengguna. Cumanya, untuk hasil gambar pada pencahayaan rendah ia mudah menampakkan kesan hingar yang ketara. Tetapan pilihan untuk kamera utama juga sekadar asas sahaja yang terdiri dengan Portrait Mode, Time-lapse dan Panorama. Pada titik harga yang sebegininya, rasanya ia mempunyai keupayaan kamera yang memadai untuk penggunaan harian.

Bercakap soal kamera hadapan pula, hasilnya dilihat cukup memuaskan dan terang pada pencahayaan yang cukup. Bukanlah yang sempurna, tetapi keperincian pada subjek yang cuba dihasilkan oleh kamera pada peranti ini masih boleh dipuji untuk sebuah peranti bajet.

BATERI :

Honor 9S dibekalkan bateri sebesar 3,020mAh yang dikatakan menjanjikan penggunaan sepanjang hari dengan sekali caj – tetapi ia bergantung juga kepada cara penggunaan peranti. Sebenarnya, kapasiti dengan saiz sebegini agak ketinggalan untuk tahun 2020. Hal ini adalah kerana pengeluar lain kini dilihat berlumba-lumba untuk menghasilkan peranti dengan kapasiti bateri yang besar meskipun dalam segmen peranti kelas permulaan. Malah, Honor 9A sebelum ini juga dibekalkan dengan bateri yang cukup besar iaitu 5,000mAh.

Dari segi keupayaan jangka hayat baterinya, ia menawarkan bacaan Screen-on-Time (SoT) sekitar 4 – 5 jam  (kiraan manual) dengan penggunaan skrin terpasang sepanjang hari. Ia dilihat hayat bateri yang boleh dikata memuaskan untuk sebuah peranti pintar yang dilengkapi bateri sekitar 3,000mAh. Untuk pengecasan semula, anda boleh menggunakan sambungan port mikro-USB pada bahagian bawah peranti. Kita juga dapat lihat di sini sambungan port pengecasannya juga agak ketinggalan. Sedangkan sejumlah peranti kelas permulaan yang lain dilihat telah menggunakan sambungan port USB-C.

Seterusnya, tiada sebarang pengecasan pantas yang disertakan, sebaliknya ia hanya menggunakan pengecasan standard 10W. Pada hemat penulis, sokongan pengecasan pantas sepatutnya perlu disertakan pada kesemua peranti yang dihasilkan pada tahun 2020 – termasuklah peranti kelas permulaan. Tetapi, mungkin disebabkan faktor harga jualan yang rendah, oleh itu terdapat sebahagian ciri yang terpaksa dikorbankan.

PERBANDINGAN PERANTI PESAING :

HONOR 9SNOKIA 2.4OPPO A53
5.45″ TFT LCD 720 x 1,600 piksel (295 PPI) 6.5″ IPS LCD, 720 x 1,600 piksel (270 PPI)6.5″ IPS LCD, 720 x 1,600 piksel, 90Hz (270 PPI)
Mediatek Helio P22 (12 nm)
4 x 2.0 GHz Cortex-A53
4 x 1.5 GHz Cortex-A53
Mediatek Helio P22 (12 nm)
4 x 2.0 GHz Cortex-A53
4 x 1.5 GHz Cortex-A53
Snapdragon 460 (11 nm)
4 x 1.8 GHz Kryo 240
4 x 1.6 GHz Kryo 240
IMG PowerVR GE8320 IMG PowerVR GE8320 Adreno 610
2 Gigabyte2 Gigabyte 4 Gigabyte
32 Gigabyte32 Gigabyte64 Gigabyte
Kamera Utama :
8 MP – (Sudut Lebar)
Kamera Utama :
13 MP – (Utama)
2 MP – (Kedalaman)
Kamera Utama :
13 MP – (Utama)
2 MP – (Makro)
2 MP – (Kedalaman)
Kamera Hadapan :
5 MP
Kamera Hadapan
5 MP
Kamera Hadapan
16 MP
Tiada Kemampuan Kalis AirTiada Kemampuan Kalis AirTiada Kemampuan Kalis Air
Bicu Audio 3.5mmBicu audio 3.5mmBicu audio 3.5mm
Black, Blue & RedFjord, Dusk & CharcoalElectric Black & Fancy Blue
3,020 mAh + Pengecasan 10W 4,500 mAh + Pengecasan 10W5,000 mAh + Pengecasan Pantas 18W
RM 359RM 499RM 699

KESIMPULAN :

Sebagai kesimpulan, peranti pintar ini hadir dengan binaan yang baik bersama fungsi-fungsi asas yang dilihat memadai untuk penggunaan harian kita. Bagaimanapun, ia tidak direka untuk pengguna yang mahukan peranti pintar berkuasa. Sebaliknya, lebih sesuai untuk mereka sekadar mahukan peranti untuk penggunaan asas seperti penggunaan WhatsApp, memainkan kandungan Youtube, kemas kini pada media sosial seperti Facebook dan sebagainya.

Menjadikannya hadiah buat anak-anak juga dirasakan cukup sesuai. Tambahan pula, pembelajaran secara maya ketika ini amat memerlukan penggunaan peranti pintar bagi membantu mereka menyelesaikan tugasan pembelajaran mereka. Atau mungkin, anda ingin memilikinya untuk kegunaan sendiri. Seperti yang penulis katakan di permulaan artikel, ia juga sesuai dijadikan sebagai peranti pintar kedua. Bagi yang berminat, Honor 9S dijual pada harga RM359 dan anda boleh mendapatkannya menerusi sejumlah saluran berbeza termasuk Honor Online Store atau pengedar sah mereka di seluruh Malaysia.

PRO

  • Rekaan kelihatan menarik, kualiti paparan baik-baik sahaja
  • Mampu menjalankan sejumlah tugasan harian dengan baik
  • Hadir dengan 3 slot kad untuk penggunaan lebih fleksibel
  • Penawaran harga yang rendah

KONTRA

  • Tetapan pada kamera, hadir dengan fungsi yang sangat asas
  • Keupayaan bateri yang sederhana
  • Tiada pengecasan pantas
  • Penggunaan sambungan port micro-USB
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd