Cari @ Amanz

Apple adalah salah satu syarikat teknologi gergasi. Produk-produk Apple semuanya berada dalam kategori premium, walaupun mereka sudah memulakan penurunan harga, tawarkan berkas langganan dan pelbagai lagi – di mata orang ramai Apple adalah jenama mewah. Gedung aplikasi Apple, iaitu App Store baru-baru ini menerima kecaman daripada ramai pembangun aplikasi. Ini kerana Apple kenakan caj 30% untuk setiap pembelian dan bayaran dalam App Store.

Perkara ini membuatkan ramai tidak berpuas hati, kerana Apple tidak benarkan pembangun gunakan sistem pembayaran luar atau alternatif kepada App Store. Epic Games adalah antara yang menyaman Apple dalam hal ini dan mengumpulkan ramai pembangun untuk menentang Apple. Bulan lepas, Google pula umumkan yang bermula tahun 2021 – mereka turut akan mengenakan caj 30% untuk setiap belian melalui Google Play Store dan turut mewajibkan pembangun menggunakan sistem pembayarn mereka sahaja.

Tetapi syukur, Google Play Store adalah platform di Android dan Android adalah platform sumber terbuka dan sesiapa sahaja boleh tawarkan gedung aplikasi tersendiri. Lihat sahaja Xiaomi, Oppo atau Vivo, masing-masing ada gedung aplikasi sendiri bersama-sama dengan Play Store. Terkini, sebuah startup di India sedang berbincang dan ingin membangunkan gedung aplikasi tersendiri bagi bersaing dengan Play Store.

Sebanyak 150 syarikat startup bekerjasama, yang mana salah satu daripadanya adalah Paytm – pengasas bersama Vijay Shekhar Sharma. Lain-lain adalah syarikat aplikasi pembayaran, dompet digital, percutian dan banyak lagi. Kesemua ini ingin bangunkan satu persekutuan, selepas Epic Games, Spotify, Tinder dan banyak lagi – turut bersatu bagi menentang App Store.

Buat masa ini, ia dilihat mungkin selepas berjaya dibangunkan – akan ditawarkan di India sahaja. Mungkin jika sudah besar dan stabil, ia boleh bersaing dengan Google Play Store di peringkat global.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd