317, 293, 432, 691 dan 489 adalah angka-angka yang menjadi bualan ramai. Ia adalah jumlah kes baharu Covid-19 di Malaysia sejak lima hari lalu. Kesemua ini berlaku pasca kerajaan mengatakan kita telah berjaya merendahkan lekuk pandemik. Tetapi malang sekali kedegilan dan kealpaan menyebabkan angka melonjak semula seperti Gummi Bears.
Jelas sekali langkah yang diambil setakat ini masih belum cukup untuk mengawal penularan. Kita masih belum seteruk kes di Indonesia, India dan Amerika Syarikat tetapi untuk memastikan kehidupan pra-2020 kembali pengeluaran vaksin Covid-19 tidak lagi boleh dilewatkan.

Sehingga awal bulan Oktober 2020, 321 vaksin Covid-19 sedang dibangunkan secara serentak dengan 33 sedang menjalani fasa ujian ke atas manusia. Tiada satupun telah melepasi fasa akhir ujian manusia yang mengesahkan ia selama untuk digunakan. Tetapi Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus mempunyai keyakinan penghasilan vaksin yang selamat akan berjaya dilakukan menjelang penghujung tahun ini.
Pasti ada di kalangan pembaca yang mengatakan vaksin Covid-19 telahpun wujud selepas diumunkan oleh Rusia pada Ogos lalu. Ini adalah benar tetapi pembangunan vaksin Sputnik V oleh Gamaleya Research Institute of Epidemiology and Microbiology menerima kritikan hebat komuniti sains kerana tidak menjalani proses ujian yang menyeluruh.

Vaksin perlu menjalani fasa ujian ketiga bagi memastikan ianya selamat untuk digunakan oleh manusia dan paling penting berkesan seperti yang diiklankan. Sputnik V hanya menjalani ujian sehingga fasa dua selama dua bulan dengan sampel ujian yang kecil. Keberkesanannya adalah diragui komuniti sains yang melihatkan sebagai sekadar Rusia ingin membuktikan kemajuan teknologi perubatan mereka.
Sebagai rakyat Malaysia, keselamatan Sputnik V adalah peru kerana ia antara vaksin yang sedang dipertimbangkan penggunaannya di negara kita.
Ujian yang menyeluruh adalah perlu bagi mengelakkan tragedi lampu di zaman awal penghasilan vaksin. Contoh terbaik ialah skandal vaksin Dengvaxia di Filipina pada tahun 2017. Seramai 600 kanak-kanak yang menerima vaksin denggi ini meninggal dunia kerana ujian yang tidak dilakukan dengan menyeluruh.

Akibat insiden ini Filipina menjadi negara dengan kadar vaksinasi yang rendah kerana rakyat hilang kepercayaan dengan kerajaan. Ini menjurus kepada ledakan wabak polio di Sabah pada Mac lalu kerana PATI yang tidak menerima vaksinasi. KKM harus diberi pujian kerana memberikan suntikan vaksinasi kepada insan yang bukan rakyat Malaysia bagi memastikan keselamatan komuniti.
Skala pembangunan vaksin Covid-19 adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah manusia. Biasanya hanya satu atau dua program penghasilan vaksin akan dihasilkan untuk sesebuah penyakit kerana kos yang amat tinggi. Selain itu tempoh ujian juga dipendekkan. Dalam masa setahun sahaja beberapa vaksin yang dibangunkan telah memasuki fasa ujian kedua. Secara lazimnya proses yang sama mengambil masa beberapa tahun.

Edward Jenner menemui vaksinasi cacar pada tahun 1796 tetapi vaksinasi pada peringkat global hanya berlaku pada dekad 1960 sebelum ia berjaya dihapuskan pada dekad 1980an. Deman kepialu telah wujud ribuan tahun tetapi bakteri yang menyebabkannya hanya ditemui pada tahun 1880. Vaksin pertama pula hanya dihasilkan selepas pada tahun 1909, hampir 30 tahun selepas bakteria Salmonela typhi ditemui.
Kita bernasib baik hidup di dunia moden kerana virus dikenalpasti pada Disember 2019 di Wuhan sebelum keseluruhan genomnya berjaya dipetakan pada bulan April 2020. Tetapi penghasilan vaksin Covid-19 masih lagi dirasakan terlalu perlahan dengan jumlah kematian telah melangkaui 1 juta dan hampir 36 juta individu telah dijangkiti setakat ini.

Tahun 2021 ialah tahun yang amat penting dalam sejarah peradaban manusia. Kemampuan manusia untuk bergerak dengan bebas dan tanpa belenggu wabak bergantung kepada kejayaan vaksin yang bakal dihasilkan. Sekiranya ia ditemui pada penghujung 2020 seperti yang diramalkan Dr Ghebreyesus, WHO hanya mampu menghasilkan 2 bilion dos sepanjang 2021. Populasi dunia sekarang adalah sekitar 7.8 bilion. Hanya 1/4 populasi dunia akan menerima vaksin awal manakala selebihnya akan terus bertarung.
Kos untuk setiap dos pula adalah di antara RM21-RM83. Maka untuk memvaksinkan kesemua rakyat Malaysia kerajaan perlu membelanjakan sehingga RM 2.6 bilion. Ini bukanlah kos yang murah tambahan lagi dengan pengecutan ekonomi, harga minyak yang rendah serta bebanan lain yang perlu ditanggung kerajaan. Kepada pembaca kami hanya mampu mendoakan anda semua selamat dan berharap akan dipanjangkan umur untuk menerima vaksin kelak supaya dapat kembali ke norma pra-korona.