Oppo dilihat menghangatkan lagi pasaran industri telefon pintar Malaysia dengan sebuah lagi peranti pintar terbaru keluaran mereka iaitu Oppo A93. Model terbaru ini adalah kesinambungan kepada Oppo A92 yang dilancarkan sekitar Mei lalu. Tetapi, peranti pintar ini telah ditambah baik dengan sejumlah perubahan. Antara yang paling ketara adalah perubahan pada kemasan panel belakangnya yang dilihat lebih unik.
Kemudian, terdapat juga sokongan kamera hadapan berkembar, penggunaan cip pemproses MediaTek Helio P95 dan banyak lagi. Dengan slogan kata “Ace Your Style” dalam mempromosikan peranti pintar ini, agaknya apa yang menarik mengenai model baharu ini? Persoalan yang timbul ini membuatkan penulis rasa terpanggil untuk menulis satu artikel pandang pertama khas mengenai Oppo A93. Dalam masa sama, cuba menjawab persoalan yangterbuku di sanubari anda :
SPESIFIKASI RINGKAS PERANTI :
Oppo A93 | |
---|---|
Jenis | Peranti Pintar |
Paparan | 6.43″ FHD+ Super AMOLED, Dual Punch-Hole |
Pemproses | MediaTek Helio P95 |
Cip | 2 x 2.2 GHz Cortex-A75 6 x 2.0 GHz Cortex-A55 |
Cip Grafik | IMG 9XM-HP8 970MHz |
RAM | 8GB ( LPDDR4X ) |
Muatan Dalaman | 128GB (UFS2.1) |
Kamera Utama | 48 MP ( f/1.7 ) – (Utama) 8 MP ( f/2.2 ) – (Sudut Lebar) 2 MP ( f/2.4 ) – (Mono) 2 MP ( f/2.4 ) – (Mono) |
Kamera Depan | 16 MP ( f/2.4 ) + 2 MP ( f/2.4 ) |
Bateri | 4000mAh + Pengecasan Pantas 18W |
Sim / Telefoni | Nano SIM + Nano SIM + MicroSD |
Ketahanan Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Pengimbas Cap Jari + Imbasan Wajah |
Harga Jualan | RM1,299 |
REKAAN :
Sebagai permulaannya, Oppo A93 yang penulis dapat untuk artikel pandang pertama ini adalah berwarna Metallic White. Jika diteliti, kemasan warnanya dilihat menampilkan rona warna seakan biru laut yang lembut ke arah warna putih. Turut kelihatan pada panel belakang ini, coraknya seakan-akan membahagikan panel ini kepada dua bahagian dengan tampilan yang berbeza. Cukup unik, cukup menarik. Meskipun dikaitkan dengan konsep yang minimalis, kemasannya di sini masih menampilkan gaya baru yang menarik dengan sedikit kelainan berbanding model sedia ada.
Apa boleh penulis katakan, peranti ini sangat selesa untuk dipegang, cukup nipis dan juga begitu kukuh di tangan. Itulah ayat yang terpacul daripada mulut penulis ketika pertama kali memegang telefon ini. Ditambah lagi dengan rekaan sisinya yang agak melengkung, membuatkan peranti ini lebih selesa untuk dipegang. Sejujurnya, penulis akui begitu menyukai jenis kemasan yang digunakan pada panel belakang ini. Sebabnya, ia tidak terlalu licin dan tidak mudah dikotori dengan cap jari. Namun begitu, tidak semuanya tentang peranti ini yang disukai penulis. Masih ada bahagian yang penulis agak kurang berkenan mengenainya terutama pada bahagian binaan modul kamera utamanya. Benjolan kameranya dilihat timbul sekaligus menyukarkan peranti ini sukar untuk diletakkan secara rata pada permukaan meja.
Paparan yang digunakan di sini adalah jenis Super AMOLED dengan paparan bersaiz 6.43-inci bersama kadar segar semula standard 60Hz. Oppo menggunakan paparan sejenis rata pada peranti ini, bersama rekaan nirbingkai pada bahagian atas dan sisinya. Seperti peranti kelas pertengahan yang lain, masih terdapat dagu pada bahagian bawah ini. Namun begitu, ia langsung tidak mengganggu penggunaan harian. Seterusnya, jenis skrin yang digunakan pada panel hadapan ini adalah jenis berlubang untuk peletakan sokongan dua kamera hadapan. Dalam cubaan ringkas, penulis mendapati prestasi skrinnya di sini dilihat memberi paparan yang terang, pewarnaan yang baik dan juga butirannya juga memuaskan. Kemudian, Oppo turut menggunakan sokongan pengimbas cap jari pada skrin. Penulis sempat mengujinya dan mendapati prestasinya terasa pantas sahaja.
Bergerak ke sisi kanan, terdapatnya butang kuasa. Manakala, butang laras suara dan slot untuk kad SIM (nano SIM + nano SIM + microSD) diletakkan pada bahagian sisi kiri. Tiada apa-apa pada bahagian atas, seterusnya anda boleh temui bicu audio 3.5mm, port sambungan USB-C dan satu pembesar suara pada bahagian bawah. Sebelum penulis terlupa, seandainya Metallic White bukan pilihan anda dan inginkan kemasan warna yang lebih gelap. Oppo A93 dalam warna Matte Black mungkin boleh dijadikan sebagai pilihan.
Sebelum penulis terlupa, Oppo A93 dibekalkan bateri berkapasiti 4,000mAh yang mana penulis rasakan sesuai untuk tugasan harian biasa kita semua. Tetapi, penulis belum sempat mengujinya dengan lebih lanjut berkaitan ketahanan baterinya. Selain itu, ia turut disertakan dengan pengecasan pantas 18W dan anda boleh mengecas peranti ini menerusi sambungan port USB-C pada bahagian bawah peranti.
ANTARAMUKA DAN PENGGUNAAN :
Untuk perisian, Oppo A93 menggunakan antara muka Color OS 7.2 berasaskan Android 10 terkini. Kita dapat perhatikan di sini, antara mukanya dilihat cukup mesra pengguna dengan ciri navigasi yang baru. Melaluinya, anda akan temui sejumlah fungsi menarik seperti mod gelap, Oppo Lab, Oppo Share dan banyak lagi. Untuk spesifikasi dalaman, Oppo A93 menggunakan pemproses MediaTek Helio P95 dengan kelajuan mencecah 2.2GHz. Untuk pengetahuan semua, unit ulasan yang diterima oleh penulis ini dipadankan dengan memori 8GB RAM (LPDDR4X) dan storan dalaman 128GB (UFS 2.1). Tapi anda juga perlu tahu bahawa hanya satu variasi sahaja yang ditawarkan untuk pasaran tempatan. Bukan itu sahaja, seandainya anda mahukan storan yang lebih. Jangan khuatir kerana Oppo A93 turut menyokong slot kad MicroSD sehingga had maksimum 256GB.
Melalui gabungan semua spesifikasi ini, analisis awal penulis mendapati prestasinya dilihat baik dengan kebolehupayaan menggalas sejumlah tugas harian yang memuaskan. Semua aktiviti kebiasaan seperti membuka, menutup, menukar dan muat turun aplikasi pada awalnya terasa lancar sahaja. Peralihan pada animasi juga dilihat memuaskan, selain pengalaman tatalan juga terasa baik-baik sahaja. Dalam erti kata mudah, tiada komen negatif yang boleh diberikan buat masa ini. Sebabnya, penulis tidak berhadapan dengan sebarang masalah yang berat atau serius sepanjang percubaan awal ini.
KAMERA :
Konfigurasi kamera utama di sini terdiri dengan empat lensa iaitu 48MP (utama), 8MP (Ultra-Lebar), 2MP (Mono) dan 2MP (Mono). Melaluinya, anda juga boleh temui sejumlah fungsi menarik lain seperti Night Mode, Panorama Mode, Portrait Mode dan banyak lagi. Proses untuk mengakses kesemua fungsi menarik ini juga terasa mudah kerana antara muka aplikasi kameranya ini begitu mesra pengguna. Selain daripada itu, turut kelihatan pada tetapan kameranya ini adalah fungsi AI Color Portrait yang mana sebelum ini hanya ditemui pada siri Oppo Reno 4 sebelum ini. Terdapat juga sejumlah fungsi menarik lain seperti AI Super Night Portrait, AI Night Flare Portrait, Dual Lens Bokeh dan Ultra Clear 108MP Image.
Seterusnya, Oppo A93 turut menyertakan sokongan kamera hadapan berkembar dengan gabungan lensa sebesar 16-Megapixel (utama) + 2-Megapixel (kedalaman). Seterusnya, rakaman videonya pula mampu merakam dengan tetapan tertinggi sehingga 4K/30FPS. Lebih menariknya lagi, Oppo turut menyertakan fungsi penstabilan, Ultra Steady Video Mode pada tetapan videonya untuk meningkatkan lagi kestabilan pada sesebuah rakaman.
KESIMPULAN :
Apa yang dapat penulis simpulkan di sini, kita boleh kata penawaran pada Oppo A93 kali ini agak menarik dalam kelasnya yang tersendiri. Sama seperti adik beradiknya yang lain, ia merupakan peranti kelas pertengahan yang memfokuskan kepada gaya hidup moden. Mungkin prestasi bukan fokus utama padanya, tetapi kemampuan kamera yang baik sekali lagi menjadi taruhan pada model kali ini. Tapi, bagaimana pula dengan pendapat anda mengenainya? Kongsikan dengan penulis di ruangan komen di bawah.
Bagi yang berminat, Oppo A93 ditawarkan di Malaysia pada harga RM1,299. Terdapat dua pilihan warna yang boleh dipilih iaitu Metallic White dan Matte Black. Pra-tempahan kini telah dibuka sehingga 9 Oktober ini dan setiap pembelian akan didatangkan dengan hadiah menarik bernilai sehingga RM119 – terdiri daripada payung eksklusif Oppo dan seunit pembesar suara bluetooth.