Cari @ Amanz

Penantian selama lebih lapan bulan untuk Samsung memasarkan telefon pintar dengan Snapdragon 865 di Malaysia akhirnya tamat dengan pelancaran Samsung Galaxy S20 FE 5G baru-baru ini. Keputusan Samsung untuk menawarkan peranti mercu S20 dan Note20 yang hanya menggunakan Exynos 990 telah menimbulkan reaksi negatif dari peminat mereka di Malaysia.

Berdasarkan reaksi di ruangan komen kemarahan ramai peminat telah berjaya diredakan tetapi adakah ia sudah terlalu lewat? Ini ialah pandang pertama kami untuk Samsung Galaxy S20 FE 5G

Spesifikasi Dan Rekaan

Samsung Galaxy S20 FE 5G
Skrin6.5″ SAMOLED, FHD+
120Hz, HDR10+
PemprosesQualcomm Snapdragon 865
Cip1 X 2.84 GHz Kryo Prime 585
3 X 2.42 GHz Kryo Gold 585
4 X 1.8 GHz Kryo Silver 585
Cip GrafikAdreno 650
RAM8GB LPDDR5
Muatan Dalaman256GB UFS 3.1 (Micro SD 1TB)
Kamera Utama12+8+12 Megapixel f/1.8+f/2.0+f/2.2, Zum optikal 3X, Ultra sudut lebar, OIS
Kamera Swafoto32 Megapixel f/2.0
Bateri4500 mAh
Pengecasan berwayar 25W
Pengecasan nirwayar 15W
Pengecasan berbalik 4.5W
SIM/TelefoniDwi SIM Nano/5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirIP68
Sistem ImbasanPengimbas cap jari optikal
Harga JualanRM 3399

Dari segi saiz S20 FE ialah model yang terletak di antara S20 dan S20+. Skrin sebesar 6.5″ hanya menyokong sehingga resolusi FHD+ dengan kepadatan pixel 407 ppi dan kadar segar semula 120Hz. Sebagai model siri S20 paling mampu milik ditawarkan di Malaysia, Samsung merasakan resolusi FHD+ sahaja adalah memadai. Ya S20 yang sebelum ini menjadi model paling asas menyokong resolusi QHD+.

Tetapi kami langsung tidak dapat melihat perbezaan visual yang ketara di antara skrin S20 FE dan S20 Ultra 5G yang kami gunakan sebagai telefon Android kegunaan harian. Persamaan ini kerana kedua-dua S20 FE dan S20 Ultra 5G menggunakan teknologi skrin 120Hz tanpa sistem adaptif yang diperkenalkan pada siri Note20.

Perbezaan fizikal terletak pada bezel yang lebih tebal pada S20 FE. Bezel atas dan bawah adalah lebih tebal berbanding sisi. Ini berbeza dengan S20 Ultra 5G yang mempunyai bezel nipis yang sekata pada keempat-empat sisi skrin.

Dengan panel Super AMOLED Samsung, warna yang tepat, hitam yang legap dan keterangan yang maksimum dapat dinikmati khususnya kandungan HDR10+ yang kini mula ditawarkan pada pelbagai perkhidmatan. Pixel yang besar hanya kelihatan jika kami meletakkan mata seinci dari permukaan skrin. Tetapi siapakah yang melakukan perkara ini saban hari? Penggunaan skrin FHD+ sahaja pada pendapat kami bukanlah isu yang besar.

Seperkara lagi yang tidak menjadi isu ialah skrin rata yang digunakan. Di penghujung 2020, kami mula merasakan rekaan skrin dwi-lengkung adalah liabiliti dan bukan lagi ciri menarik. Proses menikmati video dan menggunakan kamera sedikit terganggu kerana skrin ini.

Yang mungkin menjadi isu mungkin penggunaan pengimbas cap jari bawah skrin optikal dan bukannya ultrasonik seperti peranti mercu Samsung yang lain. Sistem ultrasonik adalah lebih boleh diandalkan tetapi pada masa yang sama lebih lambat jika dibandingkan dengan optikal. Samsung mungkin merasakan sebagai model paling mampu milik, penggunaan sensor optikal ini adalah lebih dari memadai.

Kami sendiri merasakan sistem imbasan jari yang digunakan adalah cukup pantas. Jika anda tidak mempercayai imbasan jari, Samsung ada menyertakan sistem imbasan wajah secara terbina.

Peranti terasa lancar apabila menggunakan mod skrin 120Hz. Tatalan dapat dilakukan tanpa tersengguk-sengguk seperti kereta kekurangan oksigen. Sentuhan juga dapat dikesan dengan baik. Kami cuma kurang menggemari pelindung skrin yang diberikan oleh Samsung. Ia tidak kelihatan kemas dan sudahpun tercalar walaupun kami baru menggunakannya selama sehari.

Bercakap tentang calar, tubuh peranti kali ini diperbuat daripada badan polikarbonat dengan kemasan pusam. Ia sama seperti yang digunakan pada Note20 sebelum ini. Perkara positif di sini ialah cap jari tidak melekat dengan mudah permukaan kasar membuatkannya tidak mudah tergelincir. Perkara negatif ialah ianya panel plastik pada peranti yang dijual pada harga lebih RM3000.

Kerangka pula diperbuat daripada logam dengan kemasan yang premium. Kemasan Samsung memang sudah terkenal keperinciannya. Sambungan di antara panel skrin ke kerangka ke tubuh polikarbonat adalah jitu. Tiada ruang yang membuatkan peranti terasa tidak kukuh di dalam tangan. Butang kuasa dan laras suara yang diperbuat daripada logam juga diletakkan kesemuanya ke sisi kanan, seragam dengan rekaan semua peranti yang dikeluarkan mereka tahun ini.

Bonggol kamera S20 FE juga tidak menimbulkan rasa marah kepada kami kerana ianya bersaiz kecil. Ini berjaya dilakukan kerana S20 FE tidak dilengkapi sensor gergasi dan sistem zum dengan mekanisme periskop yang mengambil ruang yang agak besar. Penggunaan sensor yang konservatif saiznya ini setanding dengan yang ditemui pada Z Fold2. Apabila diletakkan di atas meja, peranti hanya terjongket sedikit.

Pada bahagian bawah terdapat port pengecasan USB-C, dan kekisi audio. Kekisi ini apabila dipadankan dengan pembesar suara di atas skrin menawarkan audio stereo dengan sistem Dolby Atmos. Sistem Dolby Atmos ini boleh diaktifkan dengan pembesar suara dan fon kepala/telinga.

Hasilnya ialah audio yang terasa lebih hidup dan dinamik. Tetapi harus kami katakan audio dari pembesar suara bawah kedengaran lebih lantang menyebabkan berlaku sedikit ketidakseimbangan.

Akhir sekali peranti mempunyai kemampuan kalis air IP68, sokongan dwi-SIM, Samsung Pay, NFC, sokongan kad mikro SD, pengecasan pantas 25W, pengecasan nirwayar dan pengecasan nirwayar berbalik.

Penggunaan Dan Perisian

Ramai mungkin ingin mendengar kami mengatakan peranti terasa lebih lancar dan pantas kerana menggunakan Snapdragon 865. Tetapi hakikatnya ini tidak berlaku dan pengalaman penggunaan adalah sama seperti S20 Ultra 5G dan Note20 Ultra yang dilengkapi Exynos 990. Malahan pengalaman penggunaan juga tiada bezanya dengan Z Fold2 yang menggunakan Snapdragon 865+. Oleh sebab itulah kami katakan jika dua peranti Exynos 990 dan Snapdragon 865 diletakkan sebelah menyebelah, adalah mustahil untuk melihat perbezaannya.

Sistem operasi Android 10 dengan One UI 2.5 digunakan. Ini ialah versi pelancar terkini dari Samsung dengan pelbagai ciri menarik seperti DeX nirwayar, sokongan Your Phone yang lebih mendalam, Nearby Share dan integrasi lebih menyeluruh dengan pelbagai perkhidmatan Microsoft

Samsung tidak lagi melakukan perbezaan ciri di antara peranti mereka sejak dua tahun yang lalu. Sekiranya peranti A menerima One UI 2.5, peranti B dan C dengan One UI 2.5 akan menerima semua fungsi yang sama. Tambahan lagi bermula tahun ini, kesemua peranti mercu termasuk S20 FE akan diberikan sokongan sistem operasi sehingga tiga tahun.

Memang kami terasa sedikit kecewa S20 FE masih menggunakan Android 10 tetapi ada kelegaan kerana kemas kini akan diberikan sehingga Android 13. Bagi mereka yang tidak mahu kerap menggantikan peranti, Samsung adalah sebilangan kecil pengeluar yang memberikan sokongan kemas kini sistem operasi Android selama tiga tahun.

Kesimpulan

Dari penggunaan yang singkat ini dapat kami katakan S20 FE ialah peranti yang melakukan beberapa kompromi bagi mengurangkan harga jualannya berbanding peranti mercu Samsung lain di pasaran. Skrin dengan resolusi lebih rendah, bezel yang sedikit lebih tebal dan panel plastik terpaksa digunakan.

Sungguhpun begitu peranti kini akhirnya ditawarkan dengan pemproses Snapdragon 865 yang amat didambakan oleh pengguna peranti mercu Android. Kesemua kompromi yang diambil Samsung tidak memberikan impak yang negatif terhadap peranti.

Skrin masih cantik, terang, pantas dan lancar walaupun sekadar FHD+. Tubuh masih terasa premium dan sedap di dalam genggaman walaupun plastik. Menonton video masih enak walaupun bezel sedikit lebih tebal.

Setakat ini kesemuanya positif dan menjawab persoalan mengapa pengulas di negara barat mengatakannya adalah peranti yang lebih berbaloi berbanding Pixel 5. Tetapi pasaran barat berbeza dengan kita yang sudahpun mempunyai peranti Snapdragon 865 yang dijual pada harga lebih rendah seperti Xiaomi Mi 10T Pro 5G.

Kami akan menguji dengan lebih mendalam ketahanan bateri, menjalankan aplikasi, menikmati permua, kemampuan kamera dan banyak lagi dalam artikel ulasan penuh kelak. Di Malaysia Samsung Galaxy S20 FE dijual pada harga RM3299 sebuah dengan pratempahan telahpun dibuka.

Pro

  • Kemasan yang masih terasa premium walaupun panel belakang plastik.
  • Skrin 120Hz yang terang, pantas dan paparan warna yang hidup
  • Snapdragon 865 – pemproses yang amat digemari ramai
  • Perisian akan disokong sehingga 3 tahun.
  • Audio stereo dengan Dolby Atmos

Kontra

  • Skrin 120Hz bukan dari jenis adaptif.
  • Bezel agak tebal berbanding peranti mercu Samsung yang lain.
  • Harga yang kurang kompetitif untuk kelas mercu Oktober 2020.
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd