Zeiss ZX1 Akhirnya Dijual – Kamera Digital Android Berharga Hampir RM25,000
Fahim Zahar
Zeiss ZX1 adalah kamera digital dari Zeiss yang menjalankan sistem operasi Android. Kamera ini diumumkan pada tahun 2018 dan masih belum dijual. Akhirnya selepas dua tahun, ia mula dijual – itu pun secara pra-tempahan. Kamera ini menggunakan sensor kamera 37.4MP CMOS dengan resolusi mencapai 7488×4992 pixel. Ia adalah kamera bingkai penuh dengan nisbah 3:2 yang menyokong format DNG, JPEG. Ia turut menyertakan lensa Zeiss tersendiri, iaitu T* 35mm f/2 untuk fokus di suasana kurang cahaya, mengambil gambar yang lebih tajam dan pelbagai mod lain lagi.
Kemampuan lain adalah sistem auto-fokus 255-area, butang kawalan tiga aras ISO, kelajuan pengatup dan pembukaan lensa. Untuk viewfinder pula, ia menggunakan 0.7-inci OLED dengan resolusi FHD serta kemampuan zum 0.74x. Ia turut menyokong rakaman video 4K UHD (3840 x 2160) 30FPS dan FHD (1920×1080) 60FPS. Skrin utama pula adalah 4.34-inci LCD HD (1280×720) skrin sesentuh 338ppi.

Ia turut mempunyai aplikasi Adobe Photoshop Lightroom CC terbina. Storan dalaman adalah 512GB, menyokong Wi-Fi, NFC, Bluetooth, USB-C dan port bicu audio 3.5mm. Harga jualan pula adalah $6,000, iaitu sekitar RM24,915.