Cari @ Amanz

Amazfit Bip adalah alternatif kepada penjejak kesihatan dalam bentuk jam tangan. Ia boleh dikatakan seakan Mi Band, tetapi skrin lebih besar dan lebih selesa. Harga jualan juga adalah berbaloi dan dari segi pengalaman penggunaan peribadi – ia tidak dinafikan hebat.

Amazfit sudah ada banyak versi seperti Amazfit Bip S dan juga versi Lite. Terkini, mereka telah mengumumkan Amazfit Bip U pula yang mana adalah versi baru yang lebih berkuasa dan menggunakan skrin yang lebih besar. Ia menggunakan panel skrin TFT LCD bersaiz 1.43-inci 320×320 pixel dan dilindungi dengan kaca 2.5D. Bahan binaan pula adalah kekal dengan polikarbonat serta tali jam diperbuat daripada silikon.

Ia mempunyai ketahanan 5ATM, menjalankan sistem operasi RTOS, hadir dengan sistem seakan Amazit terkini seperti BioTracker 2 PPG Biological Optical Sensor, pemecut 6-paksi, pengimbas nadi RealBeats, pemantauan oksigen dalam darah OxygenBeats, pemantauan tidur SomnusCare, sistem pengesanan senaman automatik ExerSense, huami-PAI, pemantauan tekanan dan juga kitaran haid.

Kemampuan seakan jam tangan pintar turut dikekalkan seperti notifikasi, penggera, cuaca, kawalan muzik, jam dengan pilihan 50 muka jam. bateri yang disertakan adalah 225mAh dengan ketahanan selama 9 hari dan masa pengecasan 2 jam. Harga jualan buat masa ini, masih belum diumumkan lagi. Tetapi Amazfit akan menawarkan tiga pilihan warna iaitu hijau, merah jambu dan hitam.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd