Carian
Ulasan Samsung Galaxy S20 FE – Untuk Peminat Peranti Tanpa Gimik
October 13, 2020 Effi Saharudin

Penantian selama lebih lapan bulan untuk Samsung memasarkan telefon pintar dengan Snapdragon 865 di Malaysia akhirnya tamat dengan pelancaran Samsung Galaxy S20 FE 5G baru-baru ini. Keputusan Samsung untuk menawarkan peranti mercu S20 dan Note20 yang hanya menggunakan Exynos 990 telah menimbulkan reaksi negatif dari peminat mereka di Malaysia.

Adakah penantian ini berbaloi? Jawapan pendek kami ialah ya sekiranya anda memang seorang peminat tegar Samsung. Untuk jawapan lebih panjang dan menyeluruh ulasan ini akan memberikan pencerahan yang mungkin anda inginkan.

Spesifikasi Dan Rekaan

Samsung Galaxy S20 FE 5G
Skrin6.5″ SAMOLED, FHD+
120Hz, HDR10+
PemprosesQualcomm Snapdragon 865
Cip1 X 2.84 GHz Kryo Prime 585
3 X 2.42 GHz Kryo Gold 585
4 X 1.8 GHz Kryo Silver 585
Cip GrafikAdreno 650
RAM8GB LPDDR5
Muatan Dalaman256GB UFS 3.1 (Micro SD 1TB)
Kamera Utama12+8+12 Megapixel f/1.8+f/2.0+f/2.2, Zum optikal 3X, Ultra sudut lebar, OIS
Kamera Swafoto32 Megapixel f/2.0
Bateri4500 mAh
Pengecasan berwayar 25W
Pengecasan nirwayar 15W
Pengecasan berbalik 4.5W
SIM/TelefoniDwi SIM Nano/5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirIP68
Sistem ImbasanPengimbas cap jari optikal
Harga JualanRM 3399

Dari segi saiz S20 FE ialah model yang terletak di antara S20 dan S20+. Skrin sebesar 6.5″ hanya menyokong sehingga resolusi FHD+ dengan kepadatan pixel 407 ppi dan kadar segar semula 120Hz. Sebagai model siri S20 paling mampu milik ditawarkan di Malaysia, Samsung merasakan resolusi FHD+ sahaja adalah memadai. Ya S20 yang sebelum ini menjadi model paling asas menyokong resolusi QHD+.

Tetapi kami langsung tidak dapat melihat perbezaan visual yang ketara di antara skrin S20 FE dan S20 Ultra 5G yang kami gunakan sebagai telefon Android kegunaan harian. Persamaan ini kerana kedua-dua S20 FE dan S20 Ultra 5G menggunakan teknologi skrin 120Hz tanpa sistem adaptif yang diperkenalkan pada siri Note20.

Perbezaan fizikal terletak pada bezel yang lebih tebal pada S20 FE. Bezel atas dan bawah adalah lebih tebal berbanding sisi. Ini berbeza dengan S20 Ultra 5G yang mempunyai bezel nipis yang sekata pada keempat-empat sisi skrin.

Dengan panel Super AMOLED, warna yang tepat, hitam yang legap dan keterangan yang maksimum dapat dinikmati khususnya kandungan HDR10+ yang kini mula ditawarkan pada pelbagai perkhidmatan. Pixel yang besar hanya kelihatan jika kami meletakkan mata seinci dari permukaan skrin. Tetapi siapakah yang melakukan perkara ini saban hari? Penggunaan skrin FHD+ sahaja pada pendapat kami bukanlah isu yang besar.

Seperkara lagi yang tidak menjadi isu ialah skrin rata yang digunakan. Di penghujung 2020, kami mula merasakan rekaan skrin dwi-lengkung adalah liabiliti dan bukan lagi ciri menarik. Proses menikmati video dan menggunakan kamera sedikit terganggu kerana skrin ini.

Yang mungkin menjadi isu mungkin penggunaan pengimbas cap jari bawah skrin optikal dan bukannya ultrasonik seperti peranti mercu Samsung yang lain. Sistem ultrasonik adalah lebih boleh diandalkan tetapi pada masa yang sama lebih lambat jika dibandingkan dengan optikal. Samsung mungkin merasakan sebagai model paling mampu milik, penggunaan sensor optikal ini adalah lebih dari memadai.

Kami sendiri merasakan sistem imbasan jari yang digunakan adalah cukup pantas. Jika anda tidak mempercayai imbasan jari, Samsung ada menyertakan sistem imbasan wajah secara terbina.

Peranti terasa lancar apabila menggunakan mod skrin 120Hz. Tatalan dapat dilakukan tanpa tersengguk-sengguk seperti kereta kekurangan oksigen. Sentuhan juga dapat dikesan dengan baik. Kami cuma kurang menggemari pelindung skrin yang diberikan oleh Samsung. Ia tidak kelihatan kemas dan sudahpun tercalar walaupun kami baru menggunakannya selama sehari.

Bercakap tentang calar, tubuh peranti kali ini diperbuat daripada badan polikarbonat dengan kemasan pusam. Ia sama seperti yang digunakan pada Note20 sebelum ini. Perkara positif di sini ialah cap jari tidak melekat dengan mudah permukaan kasar membuatkannya tidak mudah tergelincir. Perkara negatif ialah ianya panel plastik pada peranti yang dijual pada harga lebih RM3000.

Kerangka pula diperbuat daripada logam dengan kemasan yang premium. Kemasan Samsung memang sudah terkenal keperinciannya. Sambungan di antara panel skrin ke kerangka ke tubuh polikarbonat adalah jitu. Tiada ruang yang membuatkan peranti terasa tidak kukuh di dalam tangan. Butang kuasa dan laras suara yang diperbuat daripada logam juga diletakkan kesemuanya ke sisi kanan, seragam dengan rekaan semua peranti yang dikeluarkan mereka tahun ini.

Bonggol kamera S20 FE juga tidak menimbulkan rasa marah kepada kami kerana ianya bersaiz kecil. Ini berjaya dilakukan kerana S20 FE tidak dilengkapi sensor gergasi dan sistem zum dengan mekanisme periskop yang mengambil ruang yang agak besar. Penggunaan sensor yang konservatif saiznya ini setanding dengan yang ditemui pada Z Fold2. Apabila diletakkan di atas meja, peranti hanya terjongket sedikit.

Pada bahagian bawah terdapat port pengecasan USB-C, dan kekisi audio. Kekisi ini apabila dipadankan dengan pembesar suara di atas skrin menawarkan audio stereo dengan sistem Dolby Atmos. Sistem Dolby Atmos ini boleh diaktifkan dengan pembesar suara dan fon kepala/telinga.

Hasilnya ialah audio yang terasa lebih hidup dan dinamik. Tetapi harus kami katakan audio dari pembesar suara bawah kedengaran lebih lantang menyebabkan berlaku sedikit ketidakseimbangan.

Akhir sekali peranti mempunyai kemampuan kalis air IP68, sokongan dwi-SIM, Samsung Pay, NFC, sokongan kad mikro SD, pengecasan pantas 25W, pengecasan nirwayar dan pengecasan nirwayar berbalik.

Penggunaan Dan Perisian

Ramai mungkin ingin mendengar kami mengatakan peranti terasa lebih lancar dan pantas kerana menggunakan Snapdragon 865. Tetapi hakikatnya ini tidak berlaku dan pengalaman penggunaan adalah sama seperti S20 Ultra 5G dan Note20 Ultra yang dilengkapi Exynos 990. Malahan pengalaman penggunaan juga tiada bezanya dengan Z Fold2 yang menggunakan Snapdragon 865+. Oleh sebab itulah kami katakan jika dua peranti Exynos 990 dan Snapdragon 865 diletakkan sebelah menyebelah, adalah mustahil untuk melihat perbezaannya.

Sistem operasi Android 10 dengan One UI 2.5 digunakan. Ini ialah versi pelancar terkini dari Samsung dengan pelbagai ciri menarik seperti DeX nirwayar, sokongan Your Phone yang lebih mendalam, Nearby Share dan integrasi lebih menyeluruh dengan pelbagai perkhidmatan Microsoft

Samsung tidak lagi melakukan perbezaan ciri di antara peranti mereka sejak dua tahun yang lalu. Sekiranya peranti A menerima One UI 2.5, peranti B dan C dengan One UI 2.5 akan menerima semua fungsi yang sama. Tambahan lagi bermula tahun ini, kesemua peranti mercu termasuk S20 FE akan diberikan sokongan sistem operasi sehingga tiga tahun.

Memang kami terasa sedikit kecewa S20 FE masih menggunakan Android 10 tetapi ada kelegaan kerana kemas kini akan diberikan sehingga Android 13. Bagi mereka yang tidak mahu kerap menggantikan peranti, Samsung adalah sebilangan kecil pengeluar yang memberikan sokongan kemas kini sistem operasi Android selama tiga tahun.

Kamera

Spesifikasi kamera S20 FE adalah yang paling rendah di antara siri S20 tahun ini. Lensa telefoto sekadar dipadankan dengan sensor 8-megapixel dan tiada sokongan zum sehingga 100X dan sistem periskop yang menjadi trend pasaran sekarang. Resolusi rakaman video maksimum juga dihadkan kepada 4K 60p sahaja dan bukannya 8K 24p. Jika anda lebih berani, mod rakaman HDR10+ juga boleh diaktifkan tetapi masih di peringkat Beta.

Yang dikekalkan ia sokongan mod malam, panorama, Single Take, Live Photo, Pro, Pro Video, Hyperlapse dan Slow Motion. Sistem kecerdasan buatan Scene Optimiser dan Shot Suggestions juga dikekalkan bagi mereka yang lebih gemar mengguna mod automatik.

Kualiti Gambar

Gambar-gambar yang diambil adalah lebih baik dari yang kami jangkakan kerana penggunaan sensor yang lebih kecil. Ia mengekalkan kriteria yang sering dilihat pada perisian kamera Samsung. Gambar yang tajam dengan warna yang menyerlah dapat diambil terutamanya pada situasi pencahayaan yang baik. Sistem Scene Optimser memastikan gambar HDR yang diambil mengurangkan silau dan menerangkan bahagian yang gelap.

Gambar yang diambil akan melalui pasca-proses oleh perisian Samsung. Ini juga bermakna penghasilan semula warna yang kurang tepat. Lebih biru dan lebih kuning terutamanya pada tona warna kulit. Mod malam S20 FE pada hemat kami sekadar memuaskan. Ada masalah hingar serta tidak setajam yang kami lihat pada Note20 Ultra.

Zum optikal adalah sehinga 3X dan zum digital pula adalah sehingga 30X. Perisian digunakan untuk mendapatkan tahap zum yang tinggi. Hasilnya ialah zum sehingga 3X masih lagi tajam tetapi mula pecah melangkaui 10X.

Audio

Sistem audio stereo digunakan dengan satu menghala ke hadapan manakala satu lagi menghala ke sisi. Anda pasti sudah mengagak dengan konfigurasi ini prestasi audio adalah kurang seimbang dengan pembesar suara bawah kedengaran lebih lantang.

Prestasi audio hanya menunjukkan penambahbaikan apabila sistem Dolby Atmos diaktifkan. Audio yang rata dan suram kedengaran lebih dinamik. tidak diterima bumi. Jika anda mempunyai masa yang terluang, Adapt Sound akan menganalisa tahap pendengaran telinga untuk memberikan tetapan audio yang terbaik.

Ketiadaan bicu audio 3.5mm hanya dirasai apabila menggunakan permua. Sela masa yang berlaku amat bergantung kepada fon telinga/kepala yang dimiliki.

Penanda Aras

Dengan Snapdragon 865, pasti ramai akan meramalkan markah penanda aras S20 FE adalah lebih baik berbanding yang mampu dicatatkan oleh Note20 Ultra dan S20 Ultra yang menggunakan Exynos 990. Dalam ujian sintetik Geekbench 5, S20 FE mencatatkan 873 markah untuk satu teras dan 3173 markah dalam ujian multi teras. Markah satu teras Snapdragon 865 sebenarnya lebih rendah berbanding Exynos 990.

Seterusnya dalam ujian Antutu 3D, Snapdragon 865 mencatatkan 558,694 markah yang memang lebih tinggi berbanding 509428 markah yang dicatatkan Exynos 990.

Tetapi dalam penggunaan harian tiada perbezaan di antara Exynos 990 dan Snapdragon 865. Aplikasi dilancarkan sama pantas. Aplikasi yang telah dilancarkan tersimpan di latar belakang tanpa menjalani proses segar semula. Ketika menjalankan permua juga, kedua-dua peranti hanya sekadar menjadi suam selepas sesi yang panjang.

Pendek kata prestasi Snapdragon 865 mungkin lebih tinggi di dalam ujian penanda aras tetapi dalam penggunaan dunia sebenar perbezaannya dengan Exynos 990 adalah tidak ketara.

Bateri

Bateri 4500 mAh mampu memberikan tempoh operasi sehingga 19 jam dalam penggunaan sederhana dan menggunakan WiFi di rumah. Ini akan menjunam ke sekitar 11 jam dalam penggunaan yang lebih berat (LTE sahaja) dan skrin ditetapkan ke mod 120Hz. Waktu skrin terpasang terbaik yang dapat kami nikmati ialah 12 jam (dengan mod 60Hz) dan yang terburuk pula ialah 5 jam (dengan mod 120Hz). Prestasi bateri S20 FE kami kategorikan sebagai memadai untuk peranti mercu.

Peranti hanya menyokong pengecasan 25W tidak seperti S20 Ultra yang menyokong sehingga 45W. Waktu pengesan yang diambil ialah sekitar 90 minit menggunakan pengecas 15W yang disertakan walaupun S20 FE menyokong pengecasan 25W. Jika pengecas 25W digunakan, waktu pengecasan berkurangan ke sekitar 73 minit. Sistem pengecasan nirwayar dan nirwayar berbalik turut disokong.

Pesaing

Peranti Pesaing
Samsung Galaxy S20 FEXiaomi Mi 10T 5GOnePlus 8
6.5″ SAMOLED, FHD+, HDR10+, 120Hz (407 PPI)6.67″ IPS LCD, FHD+, HDR10+,144Hz (395 PPI)6.55″ Fluid AMOLED, FHD+, HDR10+, 90Hz (402 PPI)
Snapdragon 865
1 X 2.84 GHz Kryo 585
3 X 2.42 GHz Kryo 585
1 X 1.80 GHz Kryo 585
Snapdragon 865
1 X 2.84 GHz Kryo 585
3 X 2.42 GHz Kryo 585
1 X 1.80 GHz Kryo 585
Snapdragon 865
1 X 2.84 GHz Kryo 585
3 X 2.42 GHz Kryo 585
1 X 1.80 GHz Kryo 585
Adreno 650Adreno 650Adreno 650
8 Gigabyte LPDDR58 Gigabyte LPDDR58/12 Gigabyte
256 GB UFS 3.1
(1TB mikro SD)
128 Gigabyte UFS 3.1128/256 Gigabyte UFS 3.0
Kamera Utama 12+8+12 Megapixel (f/1.8+f/2.0+f/2.2)Kamera Utama
64+13+5 Megapixel (f/1.7+f/2.4+f/2.4)
Kamera Utama
48+16+2 Megapixel, (f/1.75+f/2.2+f/2.4)
Kamera Hadapan
32-Megapixel f/2.0
Kamera Hadapan
20-Megapixel f/2.2
Kamera Hadapan
16 Megapixel f/2.4
IP68Tidak kalis airTidak kalis air
Tiada bicu audio 3.5mmTiada bicu audio 3.5mmTiada bicu audio 3.5mm
Tiada pemancar infra merahPemancar infra merahTiada pemancar infra merah
4500 mAh (Berwayar 25W, nirwayar 15W)5000 mAh (Berwayar 33W)4300 mAh (Berwayar 30W)
RM3399RM1699RM2899/3299

Kesimpulan

Samsung Galaxy S20 Fan Edition ialah peranti yang dizahirkan dari input peminat peranti Samsung. Snapdragon 865 akhirnya digunakan selepas menerima kritikan dari pengguna yang kurang berpuas hati dengan Exynos 990. Kesemua ciri menarik One UI 2.5 pada Note20 Ultra dan S20 Ultra turut diberikan tanpa peminat berbelanja lebih. Kesemua kehendak peminat dimasukkan oleh Samsung ke dalam pakej paling mampu milik untuk sebuah peranti mercu.

S20 FE tidak mengecewakan. Pengurang spesifikasi tidak mendatangkan impak yang besar. Kami tidak merindui panel kaca yang mudah kotor dan licin. Kemampuan kamera masih amat baik walaupun sensor yang digunakan lebih kecil. Prestasi penggunaan adalah setanding. Ciri tambahan yang disertakan pula unik dan perisian yang disokong sehingga 3 tahun.

Sekiranya anda seorang peminat Samsung ini ialah pakej yang paling berbaloi tahun ini kerana tidak menyertakan ciri yang kami rasakan gimik seperti zum 100X, skrin melengkung, rakaman video 8K, bonggol kamera yang besar, dan skrin QHD+. Ia memang peranti yang dilancarkan untuk anda.

Kepada mereka yang tidak mempunyai ketaatan jenama kepada Samsung, S20 FE masih lagi sebuah pakej yang menarik tetapi tenggelam dengan peranti Snapdragon 865 yang ditawarkan pada harga yang lebih mampu milik seperti Poco F2 Pro dan Xiaomi Mi 10T Pro.

Pro

  • Akhirnya Snapdragon 865 yang amat didambakan.
  • Samsung One UI 2.5 amat lancar dengan pelbagai ciri tambahan yang menarik.
  • Kemasan yang baik tanpa bonggol kamera gergasi dan panel belakang yang tidak licin.
  • Kemampuan kamera yang memuaskan walaupun saiz sensor adalah kecil.
  • Ketahanan bateri yang memuaskan.
  • Sokongan sistem operasi sehingga tiga tahun.

Kontra

  • Skrin 120Hz bukan dari jenis adaptif.
  • Mod malam mempunyai hingar yang tidak ditemui pada S20 Ultra dan Note20 Ultra.
  • Pengimbas cap jari optikal.
  • Penggunaan panel belakang polikarbonat mungkin tidak disengani ramai.
  • Harga yang kurang kompetetif dengan peranti Snapdragon 865 lain di pasaran.
Komen