8 Perkara Menarik Pada OnePlus 8T

8 Perkara Menarik Pada OnePlus 8T

Diterbitkan pada Okt 15, 2020 oleh .

Pada tahun ini, OnePlus dilihat berjaya menarik perhatian ramai pihak menerusi pengenalan sejumlah peranti pintar dengan spesifikasi menarik mereka. Ia sekaligus boleh dijadikan sebagai penanda aras baru buat mereka untuk terus kekal beri yang terbaik buat pengguna setia. Sekitar bulan April yang lalu, siri OnePlus 8 telah diperkenalkan yang mana terdiri dengan dua buah model iaitu OnePlus 8 dan juga OnePlus 8 Pro.

Tidak lama selepas itu, OnePlus Nord pula diperkenalkan secara rasmi – yang mana merupakan peranti kelas pertengahan terbaru daripada OnePlus sebagai cubaan kedua mereka untuk segmen ini selepas muncul dengan OnePlus X sekitar tahun 2015 lalu. Sekali lagi, OnePlus dilihat cuba mencuri ramai dengan memperkenalkan model terkini mereka iaitu OnePlus 8T.

Seperti kebiasaannya, model yang dihasilkan di bawah variasi T ini hadir dengan sejumlah kemas kini kecil sahaja berbanding model sebelum ini di bawah siri yang sama. Begitu juga dengan OnePlus 8T. Melihat pada apa yang dibawakan oleh model terkini ini, ia merupakan peningkatan daripada OnePlus 8, tetapi masih kurang berkuasa berbanding OnePlus 8 Pro. Namun, tujuan utama penulis untuk artikel ini adalah ingin berkongsi apa yang menarik pada model kali ini. Justeru, kita tolak tepi apa yang buruk, mari lihat apakah peningkatan yang dibawa olehnya satu per satu :

1.Skrin 120Hz

Sama ada anda perasan atau tidak, pada perenggan di atas penulis ada mengatakan : OnePlus 8T adalah peningkatan daripada OnePlus 8 sebelum ini. Maka, salah satu perkara menarik yang dapat dilihat di sini adalah OnePlus 8T membawakan skrin dengan kadar segar semula 120Hz. Mungkin anda akan berkata, OnePlus 8 Pro juga didatangkan dengan skrin sebegini. Mesra diingatkan, anda perlu baca ayat awal penulis di perenggan ini.

Skrin 120Hz yang disertakan pada OnePlus 8T adalah penambahbaikan ketara pertama berbanding skrin 90Hz yang terdapat pada OnePlus 8. Dengan kadar segar semula yang tinggi ini, kita dapat menjangkakan pengalaman penggunaannya menjanjikan sesuatu yang baik setanding dengan sejumlah peranti lain yang hadir dengan ciri ini. Selain itu, paparan pada OnePlus 8T dikatakan lebih rata berbanding OnePlus 8 yang hadir dengan sisi melengkung. Itu sahaja perubahan yang dibuat. Dari segi ukuran, jenis dan rekaan pada paparan yang digunakan dilihat masih sama dengan OnePlus 8.

2.Menggunakan Android 11

Meskipun siri OnePlus 8 sedia hadir dengan kemas kini Android 11, tetapi ia tidak ditawarkan secara terus daripada kotak. Sebaliknya, anda perlu mendapatkannya melalui kemas kini pada peranti. Berbeza dengan OnePlus 8T. Model terkini ini diumumkan dengan sokongan Android 11 terus daripada kotak.

Peranti ini turut menerima pelancar terkini OxygenOS 11 yang diberikan nafas baru. Melaluinya, terdapat sejumlah ciri baharu yang menarik untuk pengalaman menyeronokkan. Difahamkan, terdapat juga penambahbaikan pada antaramukanya, selain ciri navigasi lebih baik.

3.Bateri Lebih Besar

Ini juga salah satu peningkatan yang boleh diberi perhatian. Kemampuan bateri pada OnePlus 8T adalah sedikit lebih besar melalui sokongan bateri sebesar 4,500mAh. Ia adalah peningkatan sebanyak 200mAh lebih besar berbanding OnePlus 8 yang hadir dengan 4,300mAh. Ia sekaligus kapasiti baterinya di sini adalah setanding dengan OnePlus 8 Pro.

Meskipun saat ini, kita dapat lihat sejumlah pengeluar berlumba-lumba menghasilkan peranti dengan bateri gergasi mencecah 7,000mAh. Tetapi, apa yang ditawarkan oleh OnePlus pada model mereka rasanya sudah cukup seimbang dan memadai untuk kegunaan harian majoriti pengguna hari ini.

4.Pengecas Pantas 65W

Selain kapasiti bateri, OnePlus turut membuat penambahbaikan pada sokongan pengecasan pantas pada model terbarunya. OnePlus 8T menyokong pengecasan pantas Warp Charge 65W menggunakan USB-C kepada USB-C. Ini adalah peningkatan ketara berbanding OnePlus 8 yang hanya dilengkapi pengecasan Warp Charge 30W.

Melaluinya, ia boleh mencapai tahap pengecasan bateri ke tahap 58% dalam masa 15 minit. Manakala, pengecasan penuh pula boleh dilakukan dalam hanya 39 minit. Di samping itu, pengecas ini juga boleh digunakan sejumlah peranti lain termasuk komputer riba dan tablet dengan output sehingga 45W. Pengecas ini turut menyokong piawaian terkini USB Power Delivery Programmable Power Supply (PPS). Tapi, apa yang menjadi keutamaan di sini adalah pengecas ini disertakan secara percuma tanpa sebarang bayaran.

5. Bonggol Kamera Tidak Terlalu Besar

OnePlus 8T

Sekali imbas, kemasan yang digunakan pada panel belakang OnePlus 8T dilihat seakan mengambil inspirasi daripada OnePlus 7 Pro sebelum ini. Tapi, cuba perhatikan betul-betul, rekaan pada modul kamera utamanya di sini dilihat amat berbeza dengan sejumlah model OnePlus yang sedia ada. Kali ini, OnePlus menggunakan modul kamera berbentuk segi empat dengan kuad-kamera utama. Susunan lensanya dilihat berbentuk huruf L yang mana mengingatkan penulis kepada rekaan modul kamera yang digunakan oleh Samsung pada sejumlah model Galaxy A mereka.

Paling penting sekali modul kuad-kamera pada OnePlus 8T tidak terlalu besar jika dibandingkan dengan beberapa peranti lain di pasaran seperti S20 Ultra dan P40 Pro+ yang amat besar sehingga peranti tidak boleh diletakkan rata pada permukaan meja.

6.Kamera Makro Lebih Baik

Mungkin akan ada yang berpendapat lensa makro digunakan di sini hanya satu gimik dan kelihatan seakan tidak berfungsi dengan baik. Tetapi, OnePlus telah membuat penambahbaikan di sini dengan menggunakan lensa makro lebih besar. OnePlus melengkapkan model terbaru ini dengan kamera makro sebesar 5-Megapixel, berbanding OnePlus 8 sebelum ini yang hanya dilengkapi 2-Megapixel sahaja.

7.Binaan Premium Masih Dikekalkan

Akhir sekali, kita dapat lihat OnePlus masih mengekal binaan yang premium tanpa ada sebarang pengorbanan pada mana-mana bahagian. Bukan sekadar premium, kemasan dengan nilai eksklusif yang tersendiri membuatkan peranti ini mempunyai kelompok peminatnya tersendiri. Perkara ini sebenarnya boleh dipuji. Tidak seperti sejumlah pengeluar lain di luar, yang mana dilihat menjual peranti dengan harga rendah tetapi mengorbankan sejumlah ciri. Contoh terdekat kita boleh ambil adalah penggunaan panel belakang berasaskan plastik digunakan pada peranti mercu.

8.Pembesar Suara Stereo Dengan Dolby Atmos

Akhir sekali ialah sistem pembesar suara stereo dengan sokongan Dolby Atmos. Dengan telefon kini menggantikan televisyen sebagai peranti menonton media, audio yang baik adalah perlu bagi memastikan pengalaman yang memuaskan. Dolby Atmos dapat memberikan audio yang kedengaran lebih mantap, hidup dan padu.


Secara keseluruhannya, mungkin tidak banyak tetapi masih ada peningkatan yang disertakan pada model terbaru ini. Contoh paling ketara kita boleh lihat adalah  sistem pengecasan pantas 65W dan kadar segar semula yang lebih baik berbanding OnePlus 8. Menariknya lagi, ia turut mampu meletakkannya setanding dengan OnePlus 8 Pro.

Dalam perkembangan terkini, OnePlus Malaysia telah mengesahkan peranti ini bakal dilancarkan di Malaysia pada 22 Oktober ini. Seperti biasa, sama-sama kita nantikan pelancaran rasmi kelak untuk ketahui lebih lanjut mengenai penawanannya.


TIPS & ULASAN