Samsung Galaxy S21 Dijangka Diperkenalkan Pada Awal Januari 2021

Samsung Galaxy S21 Dijangka Diperkenalkan Pada Awal Januari 2021

Diterbitkan pada Okt 17, 2020 oleh .

Sejak sehari dua kebelakangan ini, kita telah mendengar desas-desus mengatakan Samsung bakal memperkenalkan telefon pintar mercu terbaru mereka lebih awal pada 2021 berbanding kebiasaan. Selari dengannya, kini hadir laporan baru mengatakan Galaxy S21 bakal diperkenalkan pada Januari 2021 kelak.

Samsung kebiasaannya memperkenalkan telefon pintar mercu terbaru mereka pada penghujung Februari, dan sekiranya laporan terbaru ini tepat, ia akan melihat Samsung memperkenalkannya lebih awal.

Galaxy S20

Peranti mercu akan datang Samsung dijangka mungkin dikenali dengan nama Galaxy S21 (sekiranya mengikut penggunaan tahun 2021) atau Galaxy S30 (sekiranya menggunakan gandaan 10 berbanding peranti tahun lepas). Ia dikatakan pengeluaran untuknya telah dipercepatkan 6 minggu – yang mungkin membawa kepada pengenalan pada awal Januari 2021, dan penjualan pada awal Februari 2021 kelak.

Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi apakah sebab Samsung mempercepatkan pengenalan peranti mercu mereka ini. Berkemungkinan Samsung ingin mengambil peluang dalam terus mengukuhkan kedudukan mereka dalam arena telefon pintar yang kini kurang pesaing terdekat disebabkan halangan dagangan terhadap Huawei. Pada masa yang sama, Samsung juga mungkin ingin bersaing dalam pasaran peranti mercu dengan spesifikasi terbaru lebih awal berbanding pelbagai pesaing lain yang sering hadir sekitar suku kedua sesuatu tahun berkenaan.



TIPS & ULASAN