Cari @ Amanz

Sebelum ini sebuah imej pengolokan yang dihasilkan dari lukisan CAD telah dihasilkan untuk Huawei Mate 40. Ia menunjukkan bonggol kamera berbentuk bulat yang besar. Hari ini imej pengolokan rasmi peranti ini akhirnya tertiris menerusi laman Winfuture.de.

Peranti sah mempunyai bonggol kamera berbentuk bulat yang meletakkan empat lensa kamera yang kekal dari pihak Leica. Sekilas pandang ia mirip rekaan sebuah iPod Nano generasi keempat. Bonggol ini masih lagi agak besar dan tinggi apabila dilihat dari sisi.

Skrin melengkung masih lagi dikekalkan tetapi bukan dari jenis air terjun. Butang kuasa dan laras audio fizikal dikembalikan pada sisi kanan. Eksperimen menggunakan laras audio sesentuh telah dihentikan selepas hanya setahun.

Pada bahagian hadapan pula dapat dilihat dwi-kamera yang diletakkan di dalam sebuah lubang kamera berbentuk bujur. Saiz skrin pula ialah 6.76″ dari jenis OLED. Nampaknya Huawei masih belum bersedia menggunakan kamera bawah skrin seperti beberapa ura-ura yang didengari sebelum ini.

Menurut laporan Winfuture lagi, kamera utama akan dilengkapi sensor 50MP dan peranti akan menyokong pengecasan pantas 65W. Seperti yang kami laporkan sebelum ini, cip Kirin 9000 akan digunakan dan ia adalah cip pertama (dan mungkin terakhir dari Huawei) menggunakan teknologi 5nm.

Sebuah lagi model iaitu Huawei Mate 40 Pro+ masih lagi belum tertiris. Seperti imej acah yang diperlihatkan sendiri oleh Huawei, peranti ini akan dilengkapi lima kamera utama sama seperti P40 Pro+ yang dilancarkan awal tahun ini.

Apa pendapat anda tentang rekaan ini? Ia sememangnya unik tetapi adakah cukup memikat anda untuk memilikinya kelak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd