Meskipun secara kasarnya teknologi bateri dilihat baik, ia sebenarnya tidaklah sebaik peredaran kemajuan teknologi telefon pintar. Kemajuan teknologi pada telefon pintar terutamanya berkaitan pemproses – boleh dikatakan semakin berkuasa dengan ciri-ciri baru. Lain pula ceritanya dengan teknologi bateri, di mana penggunaan teknologi Li-ion sejak berdekad ini kelihatan agak usang. Ia berikutan jangka hayat bateri yang terhad, selain tempoh pengecasan yang agak lama.

Justeru, dalam perancangan untuk masa depan yang lebih baik, pembangunan bateri juga harus seiring dengan perkembangan terkini teknologi supaya pendekatan lebih baik dapat diaplikasikan. Dalam hal ini, kita memerlukan bateri yang memiliki keupayaan untuk bertahan lebih lama. Selain, proses pengecasan semula yang lebih singkat. Bagi memenuhi keperluan ini, pembangunan teknologi bateri berasaskan grafena adalah diperlukan kerana ia dikatakan boleh meningkatkan kapasiti bateri dengan mengekalkan saiznya.
Apakah yang dimaksudkan dengan grafena? Grafena adalah unsur molekul yang terdiri daripada atom karbon tulen nipis yang bercantum antara satu sama lain membentuk corak heksagon dua dimensi – yang kelihatan seakan sarang lebah (honeycomb). Melaluinya, ia membentuk sejumlah ciri inovatif menarik, di samping kelebihan lebih baik. Ia termasuklah menyediakan aliran haba dan elektrik dengan kecekapan yang baik, fleksibel serta lebih ringan. Pada masa sama, ia juga dianggap mesra alam dan mampan dengan kemampuan yang meluas untuk pelbagai aplikasi.

Mungkin akan ada di antara pembaca yang berpendapat, memang benar ia mendatangkan pelbagai potensi yang menarik dan impak positif. Akan tetapi, kita belum boleh mendapatkannya secara komersial. Benarkah begitu? Mungkin kita sebenarnya terlepas pandang. Mengapa penulis berkata sedemikian? Memetik sumber, Xiaomi mendakwa bahawa bateri 4,500mAh pada Xiaomi Mi 10 Ultra adalah bateri litium-ion berasaskan grafena pertama yang dihasilkan dalam industri. Dalam pada itu, Xiaomi turut mendakwa ia didatangkan dengan 1,000 kelengkapan lebih baik berbanding bateri Li-ion biasa. Xiaomi turut mendakwa baterinya mampu mengekalkan 90% kapasiti asal, selepas 800 kali kitaran pengecasan lengkap. Tapi sayang, tiada butiran lanjut mengenai teknologi bateri berasaskan grafena yang digunakan pada peranti pintar ini.

Seterusnya, kita imbas kembali sekitar tahun 2016 pula. Mengapa? Ketika ini, Huawei dikatakan berjaya mengukir kejayaan besar dengan melancarkan bateri Li-ion berasaskan grafena yang mampu bertahan dalam suhu tinggi. Melaluinya, ia dikatakan mampu kekal berfungsi dengan baik dalam suhu mencecah 60 darjah Celsius. Selain, turut menawarkan masa operasi lebih panjang – yakni dua kali ganda lebih baik berbanding bateri Li-ion biasa. Turut difahamkan, terdapat tiga teknologi yang menyumbang kepada kejayaan ini dan salah satu daripadanya adalah bantuan daripada grafena yang dikatakan memberi aliran haba lebih baik pada bateri.
Kemudian, kita bergerak ke sekitar tahun 2017. Di mana, jenama terkemuka korea selatan iaitu Samsung telah dilaporkan berjaya menghasilkan bateri yang boleh mengecas lima kali lebih pantas. Difahamkan, ia berjaya dilakukan hasil penggunaan bebola grafena dan dikatakan turut boleh beroperasi pada suhu 60 darjah Celsius. Pada masa sama, baterinya juga dikatakan masih boleh mengekalkan sehingga 78.6% kapasiti asal meskipun selepas 500 kali kitaran pengecasan lengkap. Namun begitu, peratusan ini dilihat sedikit rendah berbanding Xiaomi Mi 10 Ultra – seperti yang penulis nyatakan pada perenggan keempat dalam artikel ini.

Tidak lama selepas itu, terdapat satu lagi laporan mengatakan Samsung bakal melancarkan peranti pertama mereka dengan bateri berasaskan grafena pada tahun 2020 atau awal 2021. Namun begitu, sekarang kita sudah berada di penghujung tahun 2020. Mungkin, kita bakal melihatnya sekitar awal tahun hadapan? Penulis berkata, ‘mungkin’.
Sekadar selingan, Samsung Galaxy Note 10+ yang menyokong pengecasan pantas 45W dilihat masih mengambil masa 65 minit untuk pengecasan penuh. Seandainya benar Samsung berjaya menghasilkan peranti dengan bateri berasaskan grafena pada tahun mendatang. Pada pendapat anda, berapa lama agaknya pengecasan yang akan diambil? Jawapannya mudah, pastilah akan lebih singkat. Bahkan, kelebihan pada grafena membolehkan peranti pintar dicas semula dengan penuh dalam masa hanya 30 minit . Selain, turut meningkatkan kepadatan kapasiti bateri sebanyak 26.7% berbanding bateri Li-ion biasa.

Dengan kelebihan semua kelebihan ini, kita boleh menjangkakan pengeluar akan berusaha lebih untuk menghasilkan teknologi ini. Ia bukan sahaja mendatangkan kebaikan kepada pengguna dari segi penjimatan masa pengecasan dan pengalaman penggunaan lebih baik. Bahkan, pada masa sama turut memberi impak positif pada pihak pengeluar yang mana dilihat begitu peka dengan perkembangan terkini sekaligus memenuhi keperluan ramai.