Meizu adalah jenama yang semakin pudar di pasaran global. Tetapi di China, jenama ini masih aktif dengan melancarkan pelbagai model telefon pintar dan produk. Beberapa hari yang lepas, mereka telah hadir dengan Meizu Buds iaitu TWS mereka. Hari ini, mereka melancarkan set fon telinga berwayar pula – iaitu Meizu UR Live Special Edition.

Edisi khas Meizu UR Live ini dilihat menggunakan rekaan seakan set fon telinga KZ. Meizu menyatakan yang pembuatan aksesori audio ini adalah sangat dahsyat dan hebat. Ia menggunakan rekaan semi-lutsinar dan sangat kompak. Meizu turut mendakwa yang ribuan bentuk telinga telah digunakan dan menggunakan kalkulasi tersendiri untuk mendapatkan rekaan yang pasti akan muat dalam telinga pengguna. UR Live turut mempunyai wayar perak bebas oksigen dan setiap pun sambungan diperbuat dari karbon, emas dan kerajang perak.

Meizu turut mendakwa yang UR Live mempunyai kualiti audio setaraf peranti muzik akustik yang premium. Ia dikatakan mampu menghasilkan vokal yang cukup jitu, jelas dan pengguna boleh mendengar setiap instrumen dengan jelas sekali. Ia juga cukup seimbang, tidak kira apa jua muzik pasti sesuai menggunakan UR Live sebagai aksesori audio. Ia turut menyokong frekuensi rendah melalui rekaan dwi-subwoofer tersendiri.

UR Live turut direka dengan dwi-saluran struktur konduktif untuk besi dwi-gerakan bass dan besi medium-high pitch. Paip suara dalam set fon telinga ini akan memberikan pengalaman yang mengasyikkan. Harga jualan adalah RMB 1,299, iaitu sekitar RM805.