Oppo Find X2 & OPPO Watch Edisi League of Legends Turut Diperkenalkan – Rekaan Lebih Unik

Oppo Find X2 & OPPO Watch Edisi League of Legends Turut Diperkenalkan – Rekaan Lebih Unik

Diterbitkan pada Okt 20, 2020 oleh .

Selepas muncul dengan edisi khas untuk Oppo Find X2 Pro Edisi Lamborghini, kali ini Oppo dilihat memperkenalkan sebuah lagi edisi khas untuk model Oppo Find X2 dan Oppo Watch pula. Melaluinya, Oppo telah memperkenalkan Oppo Find X2 dan Oppo Watch edisi League of Legends yang diilhamkan daripada permainan MOBA terkenal, League of Legends. Difahamkan juga, kolaborasi ini dibuat bagi meraikan kejohanan League of Legends World Championship 2020 yang berlangsung di Shanghai, China.

Untuk spesifikasi dalaman, ia merupakan Oppo Find X2 yang hadir dengan penawaran yang sama dengan sebelum ini. Cumanya, edisi terhad ini hadir dengan kemasan unik pada bahagian panel belakang – menampilkan logo kejohanan bersama kemasan bewarna biru kehijau-hijauan yang menarik. Selain itu, turut kelihatan modul kamera utamanya dihiasi dengan kemasan emas pada sekeliling bingkainya.

Turut difahamkan, ia juga hadir dengan sejumlah perisian tema menarik yang boleh diubah. Seterusnya, edisi ini turut didatangkan dengan kotak bungkusan khas dengan kemasan huruf ‘X’ pada bahagian hadapannya. Bukan itu sahaja, kotak pembungkus ini turut dilengkapi sejumlah set aksesori menarik lain termasuk kerangka pelindung, fon telinga, pengecas dan sebagainya yang hampir kesemuanya hadir dalam kemasan bewarna biru. Oppo Find X2 edisi League of Legends dijual pada harga RMB4999 (~RM3,097) dan buat masa ini, ia hanya ditawarkan untuk pasaran China sahaja.

Seterusnya, Oppo Watch edisi League of Legends pula hadir dalam kemasan bewarna hijau pada bahagian talinya, selain turut dilengkapi edisi eksklusif untuk watak Akali. Turut kelihatan, dua butang kawalan pada sisi kanan turut direka dengan kemasan bewarna hijau. Ia juga hadir dengan kotak pembungkus khas yang dilengkapi dengan seutas tali jam tambahan bersama pengecas. Oppo Watch edisi League of Legends hadir dalam satu variasi sahaja iaitu 46mm dan dijual pada harga RMB1999 (~RM,1239).

Imbas kembali, Oppo Find X2 telah dilancarkan sekitar Mac lalu dengan sokongan Snapdragon 865. Manakala, Oppo Watch yang juga peranti boleh-pakai pertama keluaran jenama ini pula telah diperkenalkan dengan sokongan Watch VOOC Flash Charging.



Paling Popular