Carian
Oppo Find X2 Pro Turut Hadir Dengan Edisi Lamborghini – Berharga Sekitar RM7,892
March 9, 2020 Fahim Zahar

Minggu lepas, Oppo telah melancarkan peranti mercu mereka yang terbaru dalam siri Find X. Terdapat dua peranti yang dilancarkan, Find X2 dan Find X2 Pro. Kedua-dua peranti ini sama sahaja secara keseluruhan, skrin yang sama, rekaan yang sama – membezakan dua peranti ini adalah storan, kamera belakang dan bateri sahaja. Variasi Pro turut menerima skor DXOMark paling tinggi setakat ini, menewaskan Xiaomi Mi 10.

Seperti Oppo Find X sebelum ini, Oppo pasti akan hadir dengan variasi paling premium dan paling mahal – edisi Lamborghini. Di China, Oppo turut mempunyai Oppo Find X2 Pro Lamborghini Edition. Tema peranti Oppo ini mengikut rekaan Lamborghini Aventador SVJ Roadster. Panel belakang peranti ini menggunakan teknik proses kaca serap-haba untuk menghasilkan rabung fiuslaj 3D. Fiuslaj peranti ini mempunyai empat lapisan berbeza dengan kemasan gentian karbon seakan kereta Lamborghini. Kemasan luaran pula adalah lembut dan premium.

Bukan panel belakang peranti sahaja yang direka khas untuk edisi ini. Kotak bungkusan juga adalah unik, termasuk dengan aksesori-aksesori seperti set fon telinga, kerangka pelindung, pengecas untuk dalam kereta, kabel USB dan pengecas – semuanya menggunakan tema yang sama.

Untuk spesifikasi, ianya sama sahaja iaitu 12GB RAM dan 512GB storan dalaman. Harga jualan di China adalah RMB 12,999, iaitu sekitar RM7,892.

Komen