Cari @ Amanz

Sedia maklum, siri Huawei Mate memfokuskan kepada keupayaan peranti yang menyeluruh. Ia termasuklah keupayaan kamera yang canggih dan sistem perkakasan lebih baik. Begitu juga dengan siri Huawei Mate 40 sendiri. Ia dilihat hadir dengan beberapa ciri menarik yang menepati cita rasa dan gaya hidup segenap pengguna. Untuk siri kali ini, ianya hadir dalam tiga variasi model berbeza – Huawei Mate 40, Huawei Mate 40 Pro dan Huawei Mate 40 Pro+.

Tetapi artikel ini akan lebih memfokuskan kepada Huawei Mate 40 Pro sahaja. Keupayaan penggambaran pada kameranya kini dipertingkatkan ke satu tahap lebih menarik. Kamera utamanya kali ini dilengkapi sokongan sistem tri-kamera iaitu 50-Megapixel (ultra-lebar) (f/1.9) + 20-Megapixel (ultra sudut-lebar) (f/2.4) + 12-Megapixel (Telefoto) (f/3.4).

Pada masa sama, kamera ini turut dilengkapi sokongan autofokus berasaskan laser. Kamera hadapannya pula hadir dengan sokongan kamera berkembar sebesar 13-Megapixel (f/2.4) + 3D Depth Sensing. Turut kelihatan, model kali ini juga dilengkapi sejumlah fungsi menarik yang bantu meningkatkan kreativiti pengguna. Apakah ia? Teruskan membaca artikel ini sehingga ke penghujung.

1. Keupayaan Kamera Hadapan Lebih baik

Kamera hadapan Huawei Mate 40 Pro dilihat hadir dengan sejumlah peningkatan lebih baik. Salah satu ciri yang menjadi topik utama di pentas pelancaran semalam adalah sokongan rakaman video gerak perlahan (Slow-Mo) dengan tetapan sehingga 240FPS/1080P. Dengan kebolehan ini, ia sekaligus menjadikan hasil rakaman anda kelihatan lebih menarik untuk dikongsikan.

Seterusnya, hasil tinjauan penulis menerusi laman web rasmi Huawei juga mendapati, kamera hadapannya turut menyokong rakaman video 4K, keupayaan rakaman ultra-lebar dan rakaman dwi-tontonan lebih baik. Rasanya, bagi anda yang gemar membuat kandungan Vlog harian. Fungsi-fungsi ini pastinya sedikit sebanyak dapat membantu anda menghasilkan kandungan yang lebih menyeronokkan.

2. Mod Ultra-Lebar Pada Kamera Swafoto Lebih Pintar

Bercakap mengenai kamera swafotonya lagi, keupayaan mod ultra-lebar juga kini dilihat lebih pintar. Ia dikatakan menyokong sehingga tiga jenis tangkapan untuk sudut yang luas. Selain, turut mampu mengesan jumlah subjek dalam bingkai. Kemudiannya, mengaktifkan mod sudut lebar bersesuaian dengan keadaan semasa secara automatik.

3. Keupayaan Zum Kini Dipertingkatkan

Huawei dilihat sekali lagi cuba ‘mengumpan’ orang ramai dengan kelebihan pada keupayaan kameranya. Sensor 50-Megapixel 1/1.28″ yang digunakan pada peranti ini juga adalah yang terbesar pada telefon pintar. Sekaligus, meletakkannya model ini setanding dengan siri Huawei P40 sebelum ini. Melaluinya, ia membolehkan lebih banyak cahaya dapat ditangkap untuk penghasilan gambar yang tajam dan terang.

Lebih menariknya lagi, Huawei Mate 40 Pro turut menerima sokongan keupayaan zum lebih baik. Di mana, sistem zum optikal kini menyokong sehingga 5X dan digital pula sehingga 50X. Ia dilihat lebih baik jika dibandingkan dengan siri sebelum ini. Seterusnya, lensa ultra-lebar juga mendapat naik taraf dengan bukaan yang lebih luas iaitu f/1.8.

4. AI Tracking Mode

Seterusnya adalah fungsi AI Tracking Mode untuk kamera ultra-lebar. Melaluinya, ia akan mengesan subjek yang bergerak sambil mengekalkan fokus yang tajam secara berterusan. Walaupun subjek tersebut bergerak dengan cepat, sokongan zum pintar akan mengambil alih untuk memastikan subjek yang dirakam kekal berada di dalam bingkai. Menariknya lagi, anda tidak perlu menggerakkan peranti seaktu rakaman dibuat. Sebaliknya, hanya berada dalam keadaan statik.

5. Super Steady Shot

Kamera Huawei Mate 40 Pro turut menyokong fungsi Super Steady Mode. Melaluinya, anda tidak perlu lagi menggunakan aksesori tambahan untuk mendapatkan rakaman yang stabil ketika bergerak. Dengan menggunakan fungsi ini sahaja, anda sudah boleh mendapatkan rakaman seakan menggunakan kamera aksi. Berlari? Berjalan? Aktiviti lasak? Tiada masalah, malah ia mampu menjadikan video yang dirakam nampak baik tanpa kesan gegaran ketara. Fungsi penstabilan ini juga dikatakan lebih baik berbanding sebelumnya, kerana ia dikatakan menggunakan sokongan giroskop dan OIS terbina.

6. Anti Portrait Distortion

Fungsi ini membolehkan penghasilan gambar kelihatan lebih baik tanpa kesan herot melampau. Ketika acara pelancaran semalam, Huawei mendakwa ia mampu menyajikan penghasilan gambar yang baik bersama keperincian yang tajam – seakan sama yang terlihat dalam dunia nyata.

7. Golden Snap 2.0

Kebiasaannya, apabila kita mahu mengambil gambar dokumen menggunakan lensa kamera telefon. Kita pasti akan mengalami keadaan di mana hasil gambar tersebut akan sedikit terganggu dengan bayang-bayang. Atau mungkin, gambar berasaskan teks yang terhasil dilihat tidak jelas. Dengan fungsi Golden Snap 2.0 yang hadir pada Huawei Mate 40 Pro, kini anda tidak perlu lagi risau. Kerana, fungsi ini akan bantu menghilangkan kesan bayang-bayang atau sebarang objek yang mengganggu. Sekaligus, menghasilkan gambar berasaskan teks dengan keperincian lebih baik dan jelas.

8. XD Fusion HDR Video Mode

Melaluinya, pengguna dikatakan boleh mendapatkan butiran lebih jelas dalam sesebuah rakaman video. Ia juga membolehkan pengguna mendapatkan rakaman yang lebih sinematik – perincian warna, kontras dan kecerahan yang dioptimumkan. Kualiti video juga dipertingkatkan dengan ketara, walaupun dalam situasi pencahayaan rendah – dengan penghasilan subjek yang cukup baik.

9. Story Creator

Fungsi ini juga boleh dikatakan menarik. Di mana, ia membolehkan pengguna merakam sesuatu video dengan lebih menarik. Melaluinya, pengguna boleh meletakkan sejumlah kesan yang menarik pada sesebuah rakaman dengan menggunakan sejumlah template sedia ada.

10. Butiran Mod Malam Lebih Jelas

Huawei turut dilihat membuat penambahbaikan pada keupayaan penggambaran malamnya. Ia kini dikatakan lebih baik dengan butiran lebih jelas pada subjek, meskipun pada persekitaran yang malam.

Sebagai kesimpulan, boleh dikatakan di sini. Huawei dilihat masih lagi mengekalkan momentum untuk keupayaan kamera yang terbaik. Malah, tidak mengejutkan juga mengapa peranti ini kini menduduki tangga teratas di carta DxoMark untuk ujian kamera utama dan swafoto. Adakah ini memadai untuk membuatkan anda membelinya apabila ia memasuki pasaran tempatan kelak?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd