10 Perkara Menarik Huawei Mate 40 Pro

10 Perkara Menarik Huawei Mate 40 Pro

Diterbitkan pada Okt 23, 2020 oleh .

Peranti mercu paling berkuasa dari Huawei telah dilancarkan malam semalam. Huawei Mate 40, Mate 40 Pro, Mate 40 Pro+ dan Mate 40 RS adalah peranti terawal yang menggunakan cip HiSilicon Kirin 9000 sekaligus menjadikannya peranti Android pertama dengan cip 5nm. Tetapi adalah ini mencukupi untuk menjadikannya peranti anda yang seterusnya? Di bawah ialah senarai 10 perkara yang kami rasakan menarik mengenai peranti ini.

1.Skrin 90Hz OLED

Skrin OLED masih digunakan dengan kadar segar semula 90Hz. Ini ialah teknologi yang sama seperti yang digunakan pada siri P40 yang dilancarkan awal tahun ini. Dengan skrin 90Hz, tatakan antaramuka akan kelihatan lebih lancar dan sedap mata memandang. Sebagai sebuah peranti mercu, penggunaan skrin 60Hz tidak lagi boleh dimaafkan seperti yang dilakukan oleh Apple.

Memang tidak dinafikan 90Hz tidak sepantas 120Hz tetapi sebelum ini CEO Huawei mengatakan ini dilakukan bagi mengurangkan penggunaan bateri tiadanya sokongan rasmi dari aplikasi. Tetapi dari pengalaman kami menggunakan Mate 40 baru-baru ini skrin 90Hz masih memadai untuk penggunaan seharian.

2. Kirin 9000 – Cip 5nm Android Pertama

Kirin 9000 ialah cip 5nm pertama untuk peranti Android. Dengan 15.3 bilion transistor, ia mempunyai 30% lebih banyak transistor berbanding A14 Bionic. Menurut Huawei, ia menggabungkan satu teras Cortex A77 pada kelajuan 3.13 GHz, tiga teras Cortex A77 pada kelajuan 2.54 GHz dan empat teras Cortex A55 pada kelajuan 2.05 GHz.

Sementara itu GPU Mali-G78 yang digunakan pula dilengkapi 24 teras yang juga yang merupakan yang pertama di dunia dengan peningkatan sehingga 52% berbanding yang digunakan pada Snapdragon 865+. Cip NPU tri-terasnya pula akan menjalankan kesemua keperluan kecerdasan buatan peranti serta ISP yang terkini memproses keperluan gambar dan videografi. Dengan gabungan perisian yang terkini, Huawei menjamin Mate 40 akan berfungsi sehingga 3 tahun tanpa masalah menjadi perlahan. Peningkatan dari 18 bulan yang dijanjikan pada peranti dengan Kirin 990 tahun lalu.

3.Kemampuan Kamera Dipertingkatkan Lagi

Raja kemampuan kamera pada hemat kami ialah Huawei. Mod malam pada P30 Pro masih lagi lebih baik berbanding majoriti peranti mercu tahun 2020. Menerusi Mate 40, kecemerlangan mereka dalam kemampuan fotografi semakin jauh ke hadapan. Sensor pada Mate 40 lebih besar berbanding pesaing di pasaran bagi membolehkan imej lebih terang, tajam dan tepat diambil. Kecerdasan buatan boleh menjejak pergerakan subjek apabila mengambil video walaupun diletakkan pada sebuah tripod. Kesemua ini dipadankan pula dengan lensa Leica yang namanya sudah cukup gah di dunia fotografi.

4. Butang Fizikal Kembali

Satu keputusan Huawei yang kami rasakan adalah silap tahu lalu pada Mate 30 ialah membuang butang laras suara fizikal. Peranti perlu ditekan dahulu pada sisi untuk memaparkan butang laras suara sesentuh. Ianya tidak begitu responsif dan lambat untuk digunakan. Pada Mate 40, butang laras suara dikembalikan semula pada sisi kanan. Proses mengubah kelantangan audio kini jauh lebih mesra pengguna. Banyak pengeluar yang degil dan mengekalkan rekaan yang tidak mesra pengguna. Sekurang-kurangnya Huawei mendengar keluhan dan segara mengakui kesilapan.

5. Sistem Nyahkunci Wajah 3D Tanpa Takuk Dan Pengimbas Cap Jari Terbina

Tidak banyak peranti Android mempunyai sokongan nyahkunci wajah secara 3D. Sejak Mate 20, sistem ini telah digunakan dan pada hemat kami lebih baik berbanding Face ID kerana boleh digunakan walaupun ketika peranti mendatar atau di atas permukaan meja. Pada Mate 40 Pro dan 40 Pro Plus, sistem yang sama dikekalkan tetapi tanpa takuk! Apple tidak mampu melakukannya tetapi Huawei boleh melakukannya tanpa sebarang alasan. Dengan sistem imbasan wajah 3D, peranti boleh dinyahkunci dalam gelap tanpa memerlukan sumber cahaya tambahan. Ia juga lebih selamat jika dibandingkan dengan imbasan 2D biasa pada peranti lain.

Pada waktu yang sama pengimbas cap jari terbina bawak skrin turut diberikan. Sekali lagi membuktikan kedua-dua sistem imbasan biometri ini boleh diberikan serentak. Dalam dunia norma baharu Covid-19 sistem imbasan wajah tidak boleh digunakan kerana pemakaian pelitup muka. Pilihan pengimbas cap jari pada peranti amatlah dihargai. Sekali lagi jika Huawei boleh buat apa alasan Apple kali ini?

6. Kawalan Gestur Tanpa Sentuhan Dan Penjejak Mata

Kawalan gestur pada Mate 40 kini dipertingkatkan dengan kemampuan melakukan tatalan pada skrin tanpa sebarang sentuhan. Malahan tahun ini pengguna boleh mengubah tahap kelantangan audio dengan menggunakan mata. Peranti akan sentiasa menjejak mata. Sebagai contoh apabila ia diletakkan pada permukaan meja dan kemudian pengguna memandang peranti, skrin akan hidup secara automatik. Sistem ini diberi nama Eye On Display. Ia mengingatkan kami kepada sistem Radar Soli pada Pixel 4 tetapi kini khusus untuk peranti Huawei Mate 40 sahaja.

7.Kembalinya Speaker Stereo

Kerana inginkan rekaan hampir tiada bezel, Huawei menggunakan pembesar suara piezoelektrik pada Mate 30. Akibatnya kualiti panggilan telefon tidak begitu jelas dan tiada sokongan audio stereo sebenar. Pada Mate 40, pembesar suara stereo kembali. Tidak seperti yang ditemui pada iPhone atau Galaxy S20, pembesar suara stereo Mate 40 diletakkan pada bahagian atas dan bawah. Audio yang dihasilkan adalah seimbang.

Dengan ini pengalaman audio yang lebih menyeluruh dan baik dapat dinikmati. Kekurangan paling ketara pada model tahun lalu adalah terletak pada audionya. Dengan ini satu lagi kekurangan yang menjadi rungutan pengguna telah diperbaiki.

8.Pengecasan Pantas 66W/50W

Tahun ini pengecasan pantas berwayar 66W dipadankan dengan pengecasan nirwayar 50W. Kombinasi yang amat menarik bila dilihat kepada pesaing terhampir mereka Samsung dan Apple masih sekadar menyokong pengecasan berwayar sehingga 25W dan nirwayar sehingga 15W sahaja. Pengecas ini juga diuji untuk terus berfungsi pada suhu ekstrem bawah tahap beku. Kehabisan bateri? Ini bukanlah masalah kerana peranti boleh dicas semula dalam masa kurang 40 minit.

9. Rekaan Ikonik Mate Kembali Lebih Seksi

Setelah mempopularkan rekaan kamera disusun secara empat segi. Tahun lalu bonggol bulat diperkenalkan. Tahun ini rekaan ikonik ini dikekalkan pada kesemua model dengan tiga, empat, lima dan enam kamera. Walaupun dilengkapi sistem kamera utama yang ekstrim, saiz bonggol kamera pada siri Mate 40 masih diletakkan pada tahap yang boleh dikatakan munasabah. Tidak terlalu tinggi dan masih stabil bagi membolehkan peranti digunakan sekiranya diletakkan rata pada permukaan meja. Pasaran kini dipenuhi pelbagai peranti yang kelihatan seperti pelanduk dua serupa. Huawei Mate 40 mempunyai identitinya yang tersendiri dan mudah dikenali tanpa perlu mengambil inspirasi dari pengeluar lain.

10. PC Manager Membenarkan 3 Aplikasi Dilancarkan Serentak

Jika Samsung mempunyai sokongan Your Phone pada Windows 10, Huawei Mate 40 mempunyai sokongan PC Manager yang memberikan fungsi yang serupa. Pengguna boleh mengakses kandungan telefon terus dari dalam komputer riba keluaran Huawei. Mereka juga boleh melancarkan sehingga tiga aplikasi yang dipasang pada telefon di dalam komputer riba Huawei. Dengan PC Manager, sokongan rentas platform di antara Android dan Windows 10 dapat dinikmati.

Jadi adakah 10 Perkara Menarik ini cukup untuk membuatkan anda membeli Mate 40, Mate 40 Pro, Mate 40 Pro+ dan Mate 40 RS tahun ini? Sekiranya apakah ciri yang paling menarik minat anda dan apa pula yang mungkin kami terlepas pandang. Sila tinggalkan komen di bawah artikel ini untuk berkongsi pendapat peribadi anda.


TIPS & ULASAN