Cari @ Amanz

Malam tadi Google akhirnya telah melancarkan Google Pixel 4 dan Pixel 4 XL secara rasmi. Pixel 4 adalah antara peranti yang paling teruk tertiris, yang mana segala informasi dan butiran mengenai peranti ini telah pun diketahui. Oleh yang demikian, apabila melihat acara Made by Google melancarkan Pixel 4 – tiada faktor yang membuatkan kami di Amanz teruja. Akan tetapi, itu tidak bermakna yang peranti ini tidak hebat. Ia masing mempunyai beberapa fungsi dan ciri yang hebat.

Pixel 4 dan Pixel 4 Xl kedua-duanya adalah sama, kecuali saiz skrin, resolusi dan bateri. Ia dijana cip Snapdragon 855, memori 6GB RAM, storan dalaman sehingga 128GB, dwi-kamera, Face Unlock sepenuhnya dan menjalankan Android asli sebenar – Android 10. Jadi dalam artikel ini, akan kami kongsi lima perkara menarik mengenai peranti ini.


1. Sistem Sekuriti “Face Unlock”

Pixel 4 akhirnya menjadi peranti Android pertama yang menggunakan sistem sekuriti pengecaman wajah penuh. Peranti-peranti Android lain, masing bergantung kepada pengimbas cap jari lagi dan langkah Google ini adalah serupa dengan Apple, melalui peranti iPhone X dan ke atas. Google mendakwa yang fungsi “Face Unlock” mereka adalah yang paling pantas setakat ini. Atas percubaan sendiri, kami dapat sahkan yang dakwaan Google adalah benar. Ia bukan sahaja pantas, tetapi turut lebih mudah untuk digunakan.

2. Skrin “90Hz” & Ambient EQ

Peranti yang dihasilkan oleh Made by Google ini adalah yang pertama menyokong skrin dengan kadar segar semula 90Hz. Nampaknya Google tidak ingin ketinggalan di belakang dengan teknologi skrin. OnePlus sudah empat peranti menggunakan skrin seperti ini, manakala peranti permua seperti Razer dan ROG Phone pula sudah menyokong sehingga 120Hz. Bukan itu sahaja, skrin OLED yang digunakan pada Pixel 4 pula mempunyai sokongan Ambient EQ. Ia adalah jawapan Google kepada Apple True Tone Display. Google menggunakan sensor dan juga kecerdasan buatan untuk menetapkan tona skrin mengikut keadaan yang sesuai.

3. Kamera GCam Yang Lebih Pintar

Sebut sahaja Pixel, orang akan kenal dengan kemampuan kamera yang hebat. Ramai gemari peranti Pixel ini kerana kepintarannya, kehebatannya, perisiannya yang mampu mengambil gambar hebat walaupun hanya mempunyai satu lensa. Kini pada Pixel 4, peranti ini baru menggunakan dwi-lensa dan tiada sokongan sudut ultra lebar. Google mengatakan yang telefoto adalah lebih penting. Google memperkenalkan kawalan “manual” melalui kawalan dwi-exposure Live HDR+, tetapan white balance yang sentiasa belajar, mod bokeh yang lebih lebar dan sokongan Night Sight dengan kemampuan astrofotografi.

4. Mengawal Peranti Seakan Seorang Jedi

Jika LG hadir dengan LG G8 ThinQ yang mempunyai sokongan kawalan gestur atas udara, Google juga ingin “meniru”. Fungsi kawalan gestur atas udara Google Pixel 4 ini menggunakan sensor radar Soli. Ia dinamakan sebagai fungsi Motion Sense dan sensor ini turut membantu Face Unlock berfungsi. Apa yang menarik dengan Motion Sense adalah, pengguna boleh mengawal peranti sebagai seorang Jedi dan ia amat lancar. Dalam video yang Google tayangkan malam tadi – Pixel 4 akan ketahui terlebih dahulu gestur apa yang pengguna ingin lakukan sebelum ia benar-benar berfungsi.

5. Aplikasi Perakam Suara Futuristik

Banyak peranti Android lain sudah pun mempunyai aplikasi perakam suara terbina. Tetapi jika anda perasan, peranti Pixel langsung tidak menyertakannya. Pada Pixel 4, akhirnya aplikasi perakam suara ini terbina. Tetapi ia bukan sekadar aplikasi merakam suara yang biasa, ia hadir dengan fungsi pintar yang boleh mengecam suara pengguna dan mentranskripsi kepada teks. Tidak cukup dengan itu, fungsi ini juga berfungsi tanpa sambungan kepada Internet dan pengguna boleh mencari bahagian audio yang spesifik dengan menaip sahaja. Fail juga akan disimpan dalam kedua-dua format audio dan teks.


Seperti yang kami katakan pada awal artikel, Pixel 4 tidak mempunyai faktor yang “wow”. Ini kerana 99% butiran peranti ini sudah diketahui awal sejak dua minggu sehingga sebulan lepas lagi. Namun, fungsi-fungsi dan ciri-ciri menarik yang Google tawarkan masih menggembirakan hati peminat Pixel. Lebih-lebih lagi aplikasi perakam suara dan kamera yang lebih dahsyat.

Harga jualan Pixel 4 dan Pixel 4 XL sama sahaja dengan Pixel 3 dan 3 XL. Ia dijual pada harga dari sekitar RM3300 sehingga RM4200.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd