Cari @ Amanz

Pixel 4 dan Pixel 4 XL akhirnya dilancarkan semalam dan mengesahkan kesemua ura-ura dan imej yang tertiris sejak berbulan lamanya. Bagi peminat peranti keluaran Google ini, peranti mungkin sudahpun dipesan kerana penawaran Android asli lengkap dengan sokongan perisian selama tiga tahun. Sungguhpun begitu kami mempunyai beberapa isu dengan peranti ini. Berikut ialah lima perkara yang kami mengecewakan pada Pixel 4 dan Pixel 4 XL.

1.Masih Menggunakan Snapdragon 855

Pemproses Snapdragon 855 diumumkan pada Disember 2018 dengan peranti mercu pertama yang menggunakannya dilancarkan sejak Februari. Ia adalah pemproses yang sudah agak berusia. Maka tidak mengejutkan tiga bulan yang lalu cip Snapdragon 855+ yang lebih berkuasa telah dilancarkan. OnePlus, Asus dan Xiaomi adalah antara pengeluar yang melancarkan peranti dengan pemproses ini sejak sebulan lalu.

Aneh sekali Pixel 4 dan Pixel 4 XL masih menggunakan Snapdragon 855. Keputusan mereka ini adalah aneh kerana adalah kurang munasabah peranti yang dilancarkan pada bulan Oktober menggunakan pemproses yang sudah agak ketinggalan zaman. Ketika artikel ini ditulis, Snapdragon 855 telah digunakan pada peranti mercu yang mampu milik seperti Xiaomi Mi 9T Pro . Google Pixel 4 dan Pixel 4 XL tidak boleh kami kategorikan sebagai mampu milik oleh itu keputusan Google ini adalah mengecewakan.

2.Pilihan Storan Dan RAM Yang Kecil

Storan terbesar yang ditawarkan ialah 128GB sahaja tanpa sokongan kad mikro SD. Ini adalah saiz storan yang hanya dianggap besar tiga tahun yang lalu. Apple dan Samsung masing-masing menawarkan storan sehingga 512GB pada peranti-peranti mercu premium mereka. Samsung lebih kehadapan kerana menyokong kad mikro SD sehingga 1TB.

Sejak tahun lalu, storan 128GB sudah ditawarkan pada peranti kelas pertengahan. Keputusan aneh Google ini semakin sukar diterima selepas Pixel 4 dan Pixel 4 XL disahkan tidak lagi diberikan storan imej serta video pada resolusi asal tanpa had. Memori sebesar 6GB RAM juga pada hemat kami tidak lagi sesuai untuk peranti mercu. Oppo dan Xiaomi  pada ketika ini sudah menjual peranti mercu mereka dengan memori 8GB sebagai pilihan paling rendah. Pixel 4 hanya sekadar dilengkapi memori yang lebih sesuai digunakan pada peranti kelas pertengahan.

Sekali lagi ingin kami tegaskan kedua-dua Pixel 4 adalah peranti mercu yang dijual pada harga premium. Tetapi saiz storan dan RAM yang ditawarkan oleh Google langsung tidak selari dengan keperluan pengguna semasa.

3.Kapasiti Bateri Yang Kecil

Dengan skrin beresolusi tinggi, besar dan menyokong kadar segar semula 90Hz, bateri pada Pixel 4 akan benar-benar diuji. Tetapi Pixel 4 dilengkapi bateri sebesar 2800 mAh manakala Pixel 4 XL pula bateri sebesar 3700 mAh. Peranti Pixel sudah lama mempunyai reputasi sebagai peranti yang tidak mempunyai kemampuan bateri yang baik.

Kapasiti bateri yang lebih besar adalah antara yang diminta oleh pengguna tetapi tidak diendahkan Google. Bateri Pixel 4 sebenarnya lebih kecil berbanding Pixel 3 (2915 mAh). Apple nampaknya lebih reaktif kepada pengguna mereka kerana iPhone 11 Pro (3046 mAh) dan 11 Pro Max (3969 Mah) menunjukkan peningkatan kapasiti bateri yang besar berbanding model tahun sebelumnya. Jika alasan Google ialah untuk menghasilkan peranti yang nipis, Pixel 4 adalah setebal 8.2mm tetapi 11 Pro Max setebal 8.1mm manakala Note 10+ setebal 7.9mm. Kedua-dua peranti ini masih hadir dengan bateri berkapasiti lebih besar.

Dengan sensor pengesan pergerakan, Soli dan Assistant yang sentiasa mendengar, kami meramalkan hayat penggunaan peranti Pixel 4 dan Pixel 4 XL pasti akan terjejas teruk. Peranti pintar hanya kekal berguna selagi ia mempunyai kuasa. Jika Apple boleh menggunakan bateri yang lebih besar apakah alasan untuk Google untuk terus berkeras kepala?

4. Tiada Lensa Sudut Ultra Lebar

Huawei Mate 20 Pro tahun lalu menunjukkan betapa pentingnya lensa sudut ultra lebar pada telefon pintar. Trend yang dimulakan oleh LG tetapi dipopularkan oleh Huawei menjadi ikutan pengeluar lain. Hasilnya ialah tahun ini Samsung dan Apple menyertakan lensa sudut ultra lebar  pada peranti mereka supaya ia lebih kompetitif di pasaran. Ini dilakukan walaupun mereka adalah dua pengeluar peranti dengan jualan terbesar di dunia tahun lalu.

Google tidak termasuk dalam senarai sepuluh pengeluar terbesar dunia. Jualan Pixel juga hanya sekadar hangat di Amerika Utara dan Eropah Barat. Mereka sama ada tidak peduli untuk meningkatkan jualan atau mengambil prinsip enggan bersaing kerana Pixel 4 hanya sekadar dilengkapi dwi-kamera. Ini adalah tahun pertama Pixel menyokong sistem telefoto. Malahan sistem telefoto yang digunakan sudah tiga tahun ketinggalan zaman kerana hanya sekadar zum optikal 2X.

Saban tahun kami mendengar syarahan dari pengguna Pixel bahawa peranti mereka mengambil gambar yang terbaik. Kami tidak bersetuju dengan pendapat ini kerana kamera Pixel hanya bagus untuk digunakan pada satu situasi. Ia seakan sebuah kamera digital dengan SATU lensa sedangkan pesaing kini menyertakan pelbagai lensa untuk pelbagai keperluan fotografi. Penggunaan dua lensa tahun ini boleh diberikan pujian tetapi ia masih belum mencukupi pada hemat kami.

5.Motion Sense Hanya Sekadar Gimik

Dengan Motion Sense, Pixel 4 boleh dikawal tanpa skrin disentuh. Peranti boleh membaca gesture yang diberikan oleh tangan pengguna dari jarak jauh. Google meminjam fungsi yang sebelum ini diperkenalkan pada peranti Samsung tetapi dengan penggunaan sensor yang dikatakan lebih berkemampuan mengesan pergerakan.

Tetapi setakat ini dari beberapa video pandangan awal yang telah dimuat naik, Motion Sense tidak berfungsi selancar seperti yang diiklankan. Malahan ia memberikan kami igauan buruk semasa menggunakan fungsi yang sama pada Galaxy S3 tujuh tahun yang lalu. Di atas kertas kemampuan mengawal peranti secara nirsentuh adalah amat canggih. Tetapi nampaknya implementasi di dunia sebenar masih belum sempurna. Ada pengulas awal mengatakan ia hanya berfungsi sekitar 10% sahaja.

Secara peribadi kami merasakan Motion Sense hanya sekadar gimik. Kami menggunakan fungsi yang serupa selama beberapa jam sahaja pada LG G8 ThinQ dan Mate 30 Pro yang dilengkapi sensor 3D TOF. Selepas ujian awal ia terus kami lupakan kerana sukar digunakan, bermasalah dan lebih perlahan berbanding menyentuh skrin.

Kami tidak pernah mendengar orang meminta fungsi ini pada telefon pintar. Dari menambah fungsi yang tidak diminta, Google seharusnya mendengar apa yang benar-benar diminta pengguna iaitu empat perkara yang kami telah senaraikan di atas.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd