Perkhidmatan penstriman Quibi dilancarkan awal tahun ini sebagai yang pertama menawarkan kandungan pendek yang boleh ditonton secara mendatar dan menegak mengikut kehendak pengguna. Tidak seperti perkhidmatan penstriman lain, Quibi gagal mendapat sambutan dengan hanya 8% pengguna meneruskan langganan selepas tamat tempoh ujian percuma.

Hari ini menurut laporan The Information, Quibi mungkin akan menamatkan operasi. Menurut sumber, sebelum ini Quibi cuba menjual kandungan asli mereka kepada Facebook dan NBCUniversal tetapi tidak mendapat sambutan. Beberapa mesyuarat strategi penting telahpun dibatalkan. Wakil Quibi walau bagaimanapun telahpun menyangkal laporan ini.
Kandungan Quibi yang sempat kami lihat adalah terlalu pendek sehingga terasa kurang berbaloi untuk dilanggan. Tambahan lagi pada peringkat awal ia hanya ditawarkan pada telefon pintar yang mengehadkan di mana ia boleh dinikmati. Ramai melihat tiada sebab untuk melanggan kandungan pendek sedangkan YouTube, Facebok, Instagram dan TikTok menawarkannya secara percuma.