Carian
Hummer Kembali Sebagai Trak Elektrik Dengan 1000HP Dan Bergerak Seperti Ketam
October 21, 2020 Effi Saharudin

Selepas pelancaran pada bulan Mei ditangguhkan kerana Covid-19, GMC Hummer EV telah dilancarkan secara rasmi hari ini selepas dihentikan pengeluaran sejak sedekad lalu. Iterasi terkini Hummer kini meninggalkan imej kotor kenderaan bahan api fosil yang mencemarkan alam dengan berubah ke kuasa elektrik sepenuhnya.

Tiga motor elektrik menjana kuasa gabungan 1000 kuasa kuda. Dengan sekali caj Hummer elektrik boleh bergerak sehingga 540 kilometer dengan sekali caj. Pada peringkat awal, GMC Hummer EV Edition 1 akan dijual pada tahun 2021 dengan Crab Mode dan Extract Mode. Dengan Crab Mode kenderaan boleh bergerak secara sisi seperti ketam dan Extract Mode pula menaikkan ketinggian sistem gantungan sehingga 6 inci untuk mengelakkan kenderaan dari tersekat ketika melakukan aktiviti lasak.

Ini diikuti oleh tiga model lagi iaitu Hummer EV3X, Hummer EV2X, dan Hummer EV2 masing-masing dengan konfigurasi motor serta ciri tambahan yang berbeza.

Rekaan Hummer EV kelihatan amat agresif kerana agak berkotak dengan kemasan futuristik pada bahagian kabin. Terdapat dua skrin LCD pada bahagian kokpit untuk memaparkan maklumat pemanduan dan juga sebuah sistem infohibur dengan skrin 13.4″ sesentuh.

Sebanyak 18 kamera diletakkan pada keseluruhan kenderaan bagi memberikan pemandangan 360 darjah dari atas dan bawah. Tambahan lagi terdapat pelindung khas untuk bateri bagi membolehkan Hummer EV digunakan sebagai kenderaan lasak.

Hummer EV Edition akan dijual bermula tahun 2021 pada harga $112,595 (~RM467,000) sebuah. Versi paling murah Hummer EV2 akan ditawarkan pada tahun 2024 pada harga hanya $80,000 (~RM331,640) sebuah. Dengan kemunculan semula Hummer, Tesla Cybertruck akan akhirnya mempunyai pesaing.

Komen