Cari @ Amanz

Tiga peranti Huawei Mate 40, 40 Pro dan 40 Pro+ telah dilancarkan tadi dengan cip Kirin 9000 serta kemampuan kamera yang menakjubkan. Tetapi kesemuanya tidak mampu menandingi kemampuan Huawei Mate 40 RS yang merupakan versi yang paling berkuasa dan premium ditawarkan tahun ini.

Huawei tidak berkongsi maklumat mengenai skrin tetapi pastinya masih menyokong kadar segar semula 90Hz seperti tiga model lain di dalam siri ini, pengimbas cap jari terbina dalam skrin dan mempunyai sistem imbasa wajah 3D. Cip Kirin 9000 dipadankan pula dengan memori sebesar 12GB RAM dan storan sebesar 512GB.

Perubahan paling ketara ialah tubuh yang menerima sentuhan dari Porsche Design yang tampak lebih agresif seperti sebuah kereta lumba. Lebih menarik ialah sistem hexa-kamera utama. Ia menggabungkan sensor 50MP Super Sensing, 20MP ultra lebar, 12MP telefoto 3X, 8MP telefoto 10X, sensor warna dan satu sensor 3D TOF.

Ini ialah sistem kamera utama paling kompleks pernah digunakan oleh Huawei dengan lensa pula dari Leica. Tidak berakhir di situ, sebuah pengimbas suhu infra merah turut disertakan dengan kemampuan mengesan suhu dari -20 sehingga 100 darjah Celsius.

Peranti masih menyokong pengecasan pantas 66W dan pengecasan nirwayar 50W. Dua warna ditawarkan iaitu seramik putih dan seramik hitam. Di Eropah Huawei Mate 40 RS dijual pada harga €2300 (~RM11,227) sebuah.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd