Carian
Cip HiSilicon Kirin 9000 Dan 9000E Dilancarkan – Cip 5nm Dengan GPU 24 Teras
October 22, 2020 Effi Saharudin

Cip HiSilicon Kirin 9000 telah diumunkan secara rasmi tadi ketika pelancaran siri Huawei Mate 40. Ia adalah cip 5nm kedua di dunia selepas Apple 14 Bionic dan yang pertama digunakan pada peranti Android. Beberapa penambahbaikan telah dilakukan oleh Huawei bagi menjadikan Kirin 9000 antara cip terbaik di pasaran.

Pertama sekali ia mempunyai 15.3 bilion transistor yang adalah 30% lebih banyak berbanding yang ditemui pada Apple 14 Bionic. Lapan teras CPU yang digunakan memberikan peningkatan sehingga 10% lebih berkuasa berbanding Snapdragon 865+. Ia menggabungkan satu teras Cortex A77 pada kelajuan 3.13 GHz, tiga teras Cortex A77 pada kelajuan 2.54 GHz dan empat teras Cortex A55 pada kelajuan 2.05 GHz.

Sementara itu GPU yang digunakan pula ialah Mali G78 yang dilengkapi 24 teras yang menurut Huawei adalah 52% lebih berkuasa berbanding yang digunakan pada Snapdragon 865+.

Peningkatan pada NPU tiga teras serta ISP turut diberikan bagi memastikan sistem kecerdasan buatan serta pengimejan adalah antara yang terbaik di pasaran. Menurut Huawei lagi menerusi cip kecerdasan buatan ini, Mate 40 dapat beroperasi sehingga 36 bulan tanpa mengalami masalah menjadi perlahan. Peningkatan dari 18 bulan yang dijanjikan mereka sebelum ini.

Cip HiSilicon Kirin 9000E turut dilancarkan dengan spesifikasi sedikit lebih rendah iaitu GPU 22 teras, dan NPU hanya dua teras. Kedua-dua mengekalkan penggunaan modem Balong 5000 untuk mendapatkan sokongan rangkaian 5G terkini.

Komen