Cari @ Amanz

Huawei akhirnya memperkenalkan peranti mercu terbaru mereka iaitu siri Huawei Mate 40, sebentar tadi. Ianya terdiri daripada tiga model berbeza iaitu Huawei Mate 40, Huawei Mate 40 Pro dan Huawei Mate 40 Pro+. Sehubungan itu, DxoMark kini telah berkongsi laporan keputusan ujian kemampuan kamera untuk salah satu daripada model tersebut iaitu Huawei Mate 40 Pro.

Memetik laporan tersebut, peranti ini dilihat berjaya merangkul sebanyak 136 mata untuk markah keseluruhan. Sekaligus, sekali lagi memecah rekod menduduki tangga teratas di antara semua peranti pintar di pasaran yang tersenarai. Melalui kutipan markah ini, Huawei Mate 40 Pro mencatatkan 140 mata untuk kemampuan fotografi, 88 mata untuk kemampuan zum dan 116 mata pula untuk kemampuan video.

Pujian diberikan kepada julat dinamik yang luas walaupun pada pencahayaan rendah, kemampuan kamera menghasilkan kualiti gambar terperinci dan kesan bokeh yang cantik.. Bukan itu sahaja, ia juga dikatakan mampu mengawal hingar yang minima dan imbangan putih yang konsisten.

Kritikan pula diberikan kepada keupayaan zum yang kurang memuaskan dan julat dinamik yang terhad dalam adegan video untuk keadaan tertentu. Selain itu, kadang-kala pewarnaan juga dilihat kurang tepat dan perincian yang kurang memuaskan untuk rakaman video pada waktu malam – terutamanya ketika berjalan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd