Jam tangan pintar di pasaran yang paling hangat pada waktu ini ialah Apple Watch Series 6 dengan pelbagai ciri menarik tetapi ditawarkan pada harga yang hanya mampu dimiliki watak hero drama swasta Melayu.
Tetapi di tahun 2020 terdapat pelbagai jenis jam tangan pintar dan penjejak kesihatan pada tanda harga yang amat mampu milik. Adalah benar anda memerlukan jam tangan pintar mahal untuk menikmati penjejakan kesihatan yang terbaik ataupun Amazfit Neo yang dijual pada harga RM149 sebenarnya sudah memadai? Sekiranya apakah kekurangan yang ada? Jawapan kepada soalan-soalan ini akan kami jawapan menerusi ulasan ringkas di bawah.
Spesifikasi Dan Rekaan
Amazfit Neo | |
---|---|
Jenis | Jam Tangan digital dengan penjejak kesihatan |
Paparan | 1.2″ LCD Monokrom |
Pemproses | – |
RAM | – |
Muatan Dalaman | – |
Bateri | 160mAh – Ketahanan sehingga 37 hari |
SIM / Telefoni | Tiada/Tiada |
Sensor | Pengimbas Nadi, Barometer |
NFC | Tiada |
Infra Merah | Tiada |
Tahap Ketahanan | 5 ATM |
Saiz | 40.3 x 41 x 11.7 mm / 32 gram |
Warna | Hitam, Merah, Hijau |
Harga Jualan | RM149 |
Walaupun kelihatan seperti sebuah jam tangan pintar, Neo sebenarnya adalah sebuah penjejak kesihatan yang dipadankan dengan rekan jam tangan digital konvensinal. Ia amat mirip rekaan klasik Casio yang pernah kami gunakan semasa di sekolah rendah dahulu. Amatlah retro tetapi masih menarik kerana rekaan ini amat malar hijau.
Terdapat sebuah skrin LCD 1.2″ hitam putih disertakan. Paparan utama berbentuk empat segi akan memaparkan waktu, tarikh dan fungsi yang ingin dipaparkan seperti suhu, bacaan nadi serta barometer misalnya. Sebuah lagi skrin sekunder berbentuk kecil pula hanya memaparkan ikon mod yang sedang digunakan. Terdapat sistem lampu backlight berwarna biru cair yang mengingatkan kami kepada yang digunakan pada G-Shock. Ia cukup terang ketika digunakan pada waktu malam tanpa menyilaukan mata.
Kerana penggunaan skrin teknologi asas ini, Neo boleh beroperasi secara berterusan sehingga 28 hari dengan hanya sekali caj sahaja yang adalah lebih baik dari 22 hari yang ditawarkan oleh Amazfit T-Rex yang diulas sebelum ini. Ia meningkat ke 37 hari dalam mod penjimatan bateri tetapi dalam hal ini pula ia kalah kepada T-Rex yang menawarkan penggunaan sehingga 66 hari menggunakan mod yang sama.
Keseluruhan tubuh diperbuat daripada bahan plastik TPU yang agak keras. Tiada komponen getah tahan lasak seperti T-Rex tetapi dari penggunaan selama 2 minggu kami mendapati binaan ini cukup tahan lasak. Beberapa kali juga kami terlanggar pintu dan dinding tetapi tiada kerosakan kekal dapat dilihat. Cuma kami rasakan kerana binaan plastik ini, Neo kelihatan seperti sebuah jam mainan. Jika premium yang anda cari, Neo bukanlah untuk anda.
Empat buah butang disertakan. Dua di kiri adalah butang kuasa dan back/lampu. Dua lagi pada bahagian kanan ialah butang atas dan bawah untuk menukar mod jam. Kesemua butang diperbuat daripada bahan getah dengan tekstur kasar bagi memudahkan jari mencari kedudukannya pada waktu malam. Kemasan butang adalah baik sehingga tidak terasa murahan.
Tali jam diperbuat daripada bahan plastik yang lembut. Rekaan pengatupnya adalah sama seperti jam tangan digital biasa. Tiada pilihan tali tambahan yang lebih moden seperti yang ditawarkan Apple dan Fitbit. Hanya satu tali jam disertakan dengan setiap pembelian. Terdapat jumlah lubang yang cukup untuk membolehkan Neo dipakai oleh lelaki berlengan besar dan wanita yang berlengan lebih kecil molek.
Tali jam ini juga selesa kerana lubang-lubang yang kami katakan tadi turut berfungsi untuk tujuan pengudaraan. Kombinasi tali yang selesa dan jam tangan hanya seberat 32 gram membuatkannya selesa digunakan ketika bersukan dan juga dibawa tidur.
Sebagai sebuah jam tangan hibrid penjejak kesihatan, model yang ditawarkan di Malaysia hanya menyokong tambatan bluetooth. Mahukan sokongan selular? Ia masih belum ditawarkan buat masa ini.
Antaramuka Dan Penggunaan
Sebagai jam tangan digital dengan fungsi penjejak kesihatan terbina, ramai mungkin beranggapan kemampuan Neo pastinya terhad. Namun begitu kami mendapati hampir kesemua ciri yang ditemui pada T-Rex turut boleh ditemui pada Neo menerusi aplikasi Zepp. Aplikasi ini boleh dimuat turun pada peranti Android dan iOS. Kepada pengguna Huawei ia belum ditawarkan di App Gallery tetapi boleh dimuat turun menggunakan Petal Search.
Antara yang boleh dijejak ialah nadi, langkah, jarak berjalan dan kalori. Tanpa sistem GPS terbina, jarak perjalanan kami dapati diambil dari bacaan peranti. Aplikasi akan kemudian memaparkan adalah langkah dan jarak yang dibaca adalah santai ataupun aktif.
Sensor-sensor yang disertakan menjejak pelbagai parameter dengan amat baik. Kami menggunakan Neo bersama dengan sebuah Apple Watch Series 6 semasa mengulas untuk melihat perbezaan yang ada. Apabila bacaan nadi diambil, perbezaan adalah hanya sekadar satu angka. Begitu juga dengan bacaan tapak yang tidak jauh bezanya. Dengan perbezaan harga 90% , ini ialah perbezaan bacaan yang amat kecil. Aplikasi akan memaparkan tempoh aktif nadi, bacan nadi tertinggi, terendah dan purata. Kami sebenarnya terkejut dengan jumlah data yang terperinci mampu diambil oleh sebuah penjejak kesihatan yang dipasarkan sebagai kelas asas.
Semasa tidur pula, ia menjejak berapa lama anda tidur, berapa lama di dalam zon tidur yang nyenyak, tidur yang sederhana, REM dan sama ada anda terjaga. Jumlah data yang dikumpul adalah cukup terperinci untuk sebuah jam tangan yang mampu milik. Malahan ia sebenarnya lebih mendalam jika kami bandingkan dengan penjejak tidur terbina yang disertakan pada aplikasi Apple Health.
Fungsi lain yang disokong ialah menghantar notifikasi degupan jantung yang lebih tinggi dari biasa, notifikasi aplikasi, menjejak lokasi jam, penggera jam, mengesan terlalu lama tidak aktif dan notifikasi menerima panggilan telefon.
Tetapi harus diakui sistem notifikasinya adalah terlalu asas. Apabila notifikasi diterima angka “+1” akan terpapar pada skrin tanpa memberitahu dari mana ia diterima. Pengguna masih perlu melihat notiifikasi pada telefon pintar untuk maklumat lebih terperinci. Notifikasi panggilan telefon adalah sedikit lebih baik kerana nombor akan tertera pada skrin.
Pendek kata ciri asas yang diperlukan untuk menjejak data kesihatan tubuh badan disertakan. Tiada sokongan memasang aplikasi tambahan kerana Neo bukanlah sebuah jam tangan pintar.
Bateri
Dengan bateri 160 mAh, ia diiklankan dengan kemampuan beroperasi sebagai jam tangan pintar sehingga 37 hari dalam mod penjimatan bateri atau sehingga 28 hari dalam mod pintar. Sepanjang ulasan saya masih belum pernah mengecasnya sekali sahaja kerana jam yang dikeluarkan dari kotak tidak mempunyai cas yang mencukupi. Dalam penggunaan harian dengan kesemua notifikasi diaktifkan, bateri akan berkurangan hanya 2%.
Hayat bateri akan berkurangan lebih mendadak jika mod menjejak nadi diaktifkan sepanjang masa. Apabila kehabisan bateri, Neo mengambil masa 2.5 jam untuk dicas kembali sepenuhnya. Masa pengecasan ini adalah amat lambat bagi kapasiti bateri yang amat kecil. Namun begitu kami tidak merungut kerana pengecasan hanya perlu dilakukan sekitar sebulan sekali sahaja.
Pengecas yang diberikan adalah dari jenis tersendiri dari jenis angkup yang diperbuat daripada plastik. Rungutan kami hanyalah pengecas ini hadir dengan wayar yang amatlah pendek. Di rumah kami meletakkan pengecas di lantai kamar tidur. Wayar pengecas terlalu pendek sehingga Neo hanya boleh dicas di atas lantai dan tidak di meja di sisi katil.
Kesimpulan
Amazfit Neo ialah jam tangan “pintar” yang asas, ringkas tetapi masih lagi bernas. Walaupun ciri yang ditawarkan tidak sebaik jam tangan pintar sebenar, ia sebenarnya mencukupi untuk mereka yang baru ingin berjinak-jinak dengan peranti boleh-pakai. Kami sendiri selepas menggunakan puluhan peranti boleh-pakai mendapati kami hanya menggunakan sebahagian sahaja ciri yang ditawarkan pada jam tangan pintar.
Neo pada hemat kami adalah peranti yang boleh disarankan kerana ditawarkan pada harga yang amat mampu milik. Sekiranya semangat bersukan anda tiba-tiba lenyap, ia masih boleh digunakan sebagai jam tangan biasa tanpa rasa anda telah membazir. Ketahanan baterinya juga membuatkan kami suka memakainya sepanjang tempoh ulasan. Tiada lagi masalah terlupa mengecas atau terpadam ketika di pejabat.
Di Malaysia Amazfit Neo ditawarkan pada harga RM149 sebuah dalam warna merah, hitam dan hijau.
PRO
- Rekaan klasik yang mengambil inspirasi dari jam tang digital.
- Ketahanan bateri yang amat lama.
- Kemampuan kalis air sehingga 50 meter.
- Sokongan aplikasi yang baik pada Android dan iOS.
- Sensor yang digunakan sama tepat dengan yang digunakan pada jam tangan pintar lebih mahal seperti Apple Watch 6.
KONTRA
- Tiada sokongan aplikasi tambahan.
- Tiada sokongan mengawal muzik yang dimainkan pada peranti.
- Kabel pengecas yang terlalu pendek.
- Binaan yang terasa dan kelihatan murah.