Pandang Pertama Realme Narzo 20 Pro – Skrin 90Hz Sekali Lagi Menjadi Tumpuan Utama

Pandang Pertama Realme Narzo 20 Pro – Skrin 90Hz Sekali Lagi Menjadi Tumpuan Utama

Diterbitkan pada Okt 27, 2020 oleh .

Nampaknya skrin dengan kadar segar semula 90Hz sekali lagi menjadi pertaruhan Realme. Mereka juga seakan dilihat semakin memandang serius untuk terus menawarkan telefon dengan skrin kadar segar semula yang tinggi. Untuk kali ini, mereka bakal membawa masuk model Realme Narzo 20 Pro pula ke pasaran tempatan. Secara kasarnya, apa yang Realme tawarkan pada model terbaru ini, boleh dikatakan meminjam sejumlah spesifikasi pada Realme 7 sebelum ini. Turut kelihatan, konsep reka bentuk yang digunakan juga seakan sama. Sebagai contoh sokongan skrin dengan kadar segar semula 90Hz, paparan hadapan berlubang dan juga pemproses MediaTek Helio G95.

Namun begitu, tidak dalam semua keadaan. Anda juga perlu tahu bahawa persamaan yang ada di sini tidak pada semua aspek. Sebabnya, masih terdapat juga sejumlah perbezaan pada model terbaru ini yang membuatkan telefon pintar ini istimewa dalam kelasnya. Anda ingin tahu lebih lanjut apa yang menarik mengenainya? Teruskan membaca artikel pandang pertama ini sehingga ke penghujung. Kemudian, jangan lupa untuk kongsikan pendapat anda mengenai telefon pintar ini di ruangan komen di bawah.

SPESIFIKASI RINGKAS PERANTI :

Realme Narzo 20 Pro
JenisPeranti Pintar
Paparan6.5″ FHD+ (2400 x 1080) LCD
PemprosesMediaTek Helio G95
Cip2 x 2.05 GHz Cortex-A76
6 x 2.0 GHz Cortex-A55
Cip GrafikMali-G76 MC4
RAM8GB (Unit ulasan diterima)
Muatan Dalaman128GB (UFS 2.1) (Unit ulasan diterima)
Kamera Utama48 MP ( f/1.8) – (Utama)
8 MP ( f/2.3 ) – (Sudut Ultra-Lebar)
2 MP ( f/2.4 ) – (B&W)
2 MP ( f/2.4 ) – (Makro)
Kamera Depan16 MP (f/2.1) Sony IMX471
Bateri4500mAh + 65W SuperDart Charge
SIM / TelefoniNano SIM + Nano SIM + MicroSD
Ketahanan Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas Cap Jari + Imbasan Wajah
Harga Jualan(Harga masih belum diumumkan)

REKAAN

Cuba anda perhatikan betul-betul. Sekali imbas, reka bentuk pada Realme Narzo 20 Pro nampak serupa seperti Realme 7 Pro. Dengan rekaan modul kamera berbentuk segi empat di belakang. Kemudian, paparan jenis berlubang pada panel hadapan. Rasanya, jikalau panel hadapan ini diletakkan secara bersebelahan. Pasti sukar untuk kita membezakan di antara kedua-dua model ini. Anda tidak percaya? Lihat sahaja, gambar yang penulis sertakan pada bahagian bawah ini. Nampak sama sahaja bukan?

Tapi tenang dahulu. Berbeza pula ceritanya, jika anda lihat daripada panel belakang. Kenapa penulis berkata sebegini. Ada perbezaan pada kemasan belakangnya ini. Di mana, Realme Narzo 20 Pro menggunakan kemasan berkilat dengan tekstur berbentuk V bersama kesan bercahaya. Nampak cantik dan unik, bukan? Seakan meletakkan peranti ini dalam kelas yang tersendiri. Tubuhnya di sini sepenuhnya diperbuat daripada bahan berasaskan polikarbonat. Meskipun begitu, perlu diingatkan binaannya di sini tidak terasa murah. Malah pengalaman memegang telefon ini juga terasa cukup selesa. Walaupun, penulis perlu akui ia sebenarnya agak berat. Tetapi, tidak perlu risau kerana menggunakannya dalam jangka masa yang lama atau mungkin pada penggunaan sebelah tangan masih terasa selesa sahaja.

Di hadapan, telefon pintar ini hadir dengan skrin sebesar 6.5-inci. Resolusi yang digunakan di sini adalah FHD+ dengan kadar segar semula 90Hz. Perasan atau tidak, ini adalah spesifikasi yang sama anda boleh temui pada Realme 7. Jika diteliti, masih terdapat dagu yang tebal pada bahagian bawah paparan ini. Tetapi, binaan bezel pada bahagian sisi dan atas paparan telefon ini kelihatan cukup nipis.

Dalam ujian ringkas, kualiti paparan pada Realme Narzo 20 Pro kelihatan baik-baik sahaja. Aspek visual juga dilihat cukup memuaskan bersama sudut darjah pandangan skrin yang luas. Dalam pada itu, paparan skrin ini juga mempunyai kecerahan yang baik. Perlu penulis akui, penggunaan di bawah cahaya matahari secara terus juga tidak mendatangkan masalah. Bahkan, segala paparan berasaskan teks dapat dibaca dengan baik sahaja.

Bergerak ke bahagian sisi, anda akan temui butang kuasa yang juga boleh digunakan sebagai pengimbas cap jari pada sisi kanan. Seterusnya, sisi kiri pula terdapatnya butang laras suara dan slot kad sim. Slot ini menyokong sehingga tiga slot kad berbeza – jadinya ia adalah hal menggembirakan bagi mereka yang menggunakan dua SIM dalam satu masa. Kerana, melaluinya anda boleh meletakkan kad mikro SD dan dwi SIM secara serentak. Beralih ke bahagian bawah pula, anda akan temui bicu audio 3.5mm, sambungan port USB-C dan juga pembesar suara mono.

Bagaimana pula dengan kapasiti bateri? Realme Narzo 20 Pro dilengkapi bateri sebesar 4,500mAh. Apa yang membuatkannya lebih menarik di sini, pengecasan pantas yang disertakan adalah 65W. Atau dalaman nama saintifiknya, Realme menggelarkannya sebagai 65W SuperDart Charge. Realme mendakwa bateri 4,500mAh ini boleh dicas mencecah 47% dalam hanya 30 minit. Manakala, pengecasan penuh pula mengambil masa sekitar 38 minit sahaja. Bagaimanapun, penulis belum sempat menguji prestasinya dalam dunia nyata. Tetapi jangan risau, persoalan ini bakal terjawab dalam artikel ulasan penulis dalam masa terdekat ini.

ANTARAMUKA DAN PENGGUNAAN

Realme Narzo 20 Pro menggunakan antaramuka Realme UI yang dibina berasaskan Android 10 terkini. Turut kelihatan, Realme masih berhadapan dengan masalah aplikasi gendut (bloatware) yang sedia muat turun. Kerana, terdapat sejumlah aplikasi yang mungkin anda tidak mahu telah sedia dipasang. Namun begitu, kebanyakannya boleh dinyahpasang. Tidak ketinggalan, sejumlah fungsi menarik lain turut masih dikekalkan di sini. Antaranya seperti mod tema gelap, Realme Share, Focus Mode, Icon Customisable, Smart Driving dan sebagainya.

Bergerak ke pemproses, Realme Narzo 20 Pro menggunakan cip MediaTek Helio G95. Sekali lagi, cuba anda perhatikan di sini. Ia merupakan cip pemproses yang digunakan pada Realme 7. Unit ulasan yang penulis terima ini adalah variasi 8GB RAM, manakala storan dalaman pula adalah sebesar 128GB yang boleh dikembangkan dengan kad mikroS D (sehingga 256GB).

Tidak banyak yang boleh dikomen oleh penulis dalam cubaan ringkas ini. Tatalan dilihat lancar sahaja, bahkan telefon pintar ini juga mampu menjalan tugasan harian dengan baik. Aktiviti biasa seperti membuka, menutup dan menukar aplikasi dapat dijalankan dengan baik-baik sahaja buat masa ini. Namun perlu diingatkan, ini hanyalah analisis awal sahaja dan kami akan mengujinya dengan lebih lanjut pada ulasan akan datang. Siapa tahu mungkin persepsi ini akan berubah selepas mencubanya dengan lebih mendalam? Tenang, penulis katakan di sini adalah ‘mungkin’. Jadi, nanti ulasan penuh kami dalam masa terdekat ini.

KAMERA :

Jika diatas tadi, kebanyakannya kelihatan sama dengan Realme 7. Untuk kamera pula, meskipun bilangan lensa yang digunakan adalah sama. Namun, tetapan pada konfigurasi lensanya terdapat perbezaan. Di mana, Realme Narzo 20 Pro dilengkapi tetapan konfigurasi 48-Megapixel (f/1.8) (Utama) + 8-Megapixel ( f/2.3 ) (Sudut Ultra-Lebar) + 2-Megapixel (f/2.4 ) (B&W Portrait) + 2-Megapixel (Makro).

Dengan gabungan empat lensa utama ini, sekaligus ia dapat membantu anda mendapatkan hasil penggambaran yang menarik dengan pelbagai senario. Melaluinya juga, anda boleh temui sejumlah fungsi lain yang tersedia. Ia termasuklah Super Nightscape, Portrait Mode, Beauty Mode, Ultra Macro dan banyak lagi. Jadi, dengan adanya semua pilihan ini, gambar anda akan menjadi lebih kreatif dan menarik untuk dikongsikan. Lebih-lebih lagi di Instagram.

Bergerak pula ke kamera hadapan, di sini anda akan termui lensa tunggal sebesar 16-Megapixel (f/2.1) dengan sensor Sony IMX471. Seperti kebiasaannya, kamera hadapannya juga menyajikan sejumlah fungsi fotografi yang menarik. Salah satu daripadanya, anda juga boleh menggunakan kamera hadapan ini untuk menangkap gambar potret. Bercakap mengenai tetapan video pula, telefon pintar ini mempunyai rakaman tertinggi sehingga 4K/30fps. Menariknya lagi, ia turut menyokong rakaman ultra-lebar. Selain, pada masa sama terdapatnya sokongan penstabilan Realme tersendiri iaitu UIS serta UIS Max Super Video Stabilization.

KESIMPULAN

Realme nampaknya semakin serius dalam menawarkan peranti dengan skrin kadar segar semula yang tinggi, selain tempoh pengecasan lebih singkat. Namun begitu, kita boleh lihat apa yang hadir pada model terbaru ini tidak banyak bezanya dengan sebelum ini. Jadi, apakah pendapat anda mengenai telefon pintar tebaru Realme ini? Adakah berbaloi untuk anda melabur duit sekali lagi bagi mendapatkan seunit? Jangan lupa kongsikan di ruangan komen di bawah dan nantikan ulasan penuh dalam masa terdekat ini untuk ketahui prestasi penuhnya.


TIPS & ULASAN