MediaTek hari ini melancarkan satu lagi cip pemproses terbaru mereka yang memfokuskan kepada telefon pintar premium 4G. Dikenali sebagai MediaTek Helio G95, cip ini merupakan tambahan terbaru untuk barisan siri MediaTek Helio G dan pengganti kepada MediaTek Helio G90.
MediaTek Helio G95 dihasilkan menggunakan teknologi 12nm dengan lapan teras bersama gabungan dua teras Cortex-A76 pada kelajuan sehingga 2.05 GHz dan enam teras lagi Cortex-A55 pada kelajuan 2.0GHz. Untuk GPU pula, ia menggunakan ARM Mali-G76 MC4 yang dinaik taraf dengan kelajuan sehingga 900MHz. MediaTek Helio G95 menawarkan peningkatan CPU sebanyak 5% dan GPU pula sebanyak 8%.

Untuk sokongan skrin, MediaTek Helio G95 menyokong sehingga 90Hz pada resolusi 2520 x 1080. Cip ini juga menyokong memori yang terhad pada LPDDR4 (sehingga 10GB) dan storan berasaskan eMMC 5.1 ataupun UFS 2.1. Cip ini turut menyokong sistem kamera sehingga 64-Megapixel untuk satu modul atau persediaan dwi-kamera terhad pada 24-Megapixel + 16-Megapixel dengan rakaman video sehingga 4K 30FPS. Sokongan pembantu suara pintar juga dipertingkatkan dengan pelbagai penambahbaikan.
Buat masa ini, masih belum diketahui peranti apakah yang akan disertakan dengan cip pemproses ini. Namun begitu, terdapat desas-desus yang mengatakan Realme 7 dikhabarkan mungkin menggunakan cip pemproses ini. Benar atau tidak, segalanya akan terjawab pada 3 September ini.