Siri Vivo V boleh dikatakan barisan peranti yang memfokuskan kepada kemampuan fotografi dan gaya hidup. Kita juga dapat lihat bagaimana Vivo membantu pengguna merakam dan mengabadikan momen terindah dalam hidup dengan pelbagai penawaran yang menarik pada barisan peranti ini. Dalam perkembangan terkini, mereka memperluaskan lagi penawaran di bawah siri ini menerusi pengenalan siri Vivo V20 pula.
Terdiri dengan dua buah model berbeza iaitu Vivo V20 dan Vivo V20 Pro, apa yang ditawarkan pada siri kali ini tidak kurang hebatnya. Mungkin ada pembaca yang akan bertanyakan kepada penulis : Bagaimana pula dengan model Vivo V20 SE? Mengapa ia tidak tersenarai sekali? Tenang dan sabar. Memang benar, Vivo sedia hadir dengan Vivo V20 SE. Akan tetapi, ia telah dilancarkan secara berasingan sedikit lebih awal tempoh hari dan dijual di Malaysia pada harga RM1,199 seunit. Bagi anda yang berminat, boleh mendapatkannya dengan segera kerana ia sudah sedia berada di pasaran.
Baiklah, berbalik pada Vivo V20 dan Vivo V20 Pro. Dengan slogan kata “44MP Eye Autofocus Selfie, Be the Focus“, rasanya anda juga sudah boleh menjangkakan apakah pertaruhan Vivo pada model kali ini. Teruja untuk ketahui lebih lanjut mengenainya? Apakah antara sebab utama yang mendorong anda untuk memilikinya? Dan, berbaloi atau tidak? Teruskan membaca artikel ulasan ini sehingga ke penghujung.
Peranti Pintar | ||
---|---|---|
Nama Model | Vivo V20 | Vivo V20 PRO |
Paparan | 6.44″ AMOLED FHD+ | 6.44″ AMOLED FHD+ |
Pemproses | Snapdragon 720G (8nm) | Snapdragon 765G (7nm) |
Cip | 2 x 2.3 GHz Kryo 465 Gold 6 x 1.8 GHz Kryo 465 Silver | 1 x 2.4 GHz Kryo 475 Prime 1 x 2.2 GHz Kryo 475 Gold 6 x 1.8 GHz Kryo 475 Silver |
Cip Grafik | Adreno 618 | Adreno 620 |
RAM | 8GB | 8GB |
Muatan Dalaman | 128GB | 128GB |
Kamera Utama | 64MP (f/1.9) – (Utama) 8MP (f/2.2) – (Lensa Pelbagai Guna) 2MP (f/2.4) – (Kedalaman) | 64MP (f/1.9) – (Utama) 8MP (f/2.2) – (Lensa Pelbagai Guna) 2MP (f/2.4) – (Kedalaman) |
Kamera Depan | 44MP (f/2.0) | 44MP (f/2.0) + 8MP (f/2.3) |
Bateri | 4,000mAh + Pengecasan Pantas 33W | 4,000mAh + Pengecasan Pantas 33W |
Sim/Telefoni | Nano SIM + Nano SIM + MicroSD | Nano SIM + MicroSD |
Sistem Imbasan | Imbasan Cap Jari & Wajah | Imbasan Cap Jari & Wajah |
Harga Jualan | RM1,499 | RM1,899 |
PAPARAN
Vivo V20 dan V20 Pro memiliki saiz paparan yang sama. Tetapi dengan persembahan panel hadapan yang berbeza. Apakah perbezaannya? Penulis akan terangkan sebentar lagi. Saiz skrinnya di sini adalah 6.4-inci AMOLED dengan resolusi FHD+. Turut kelihatan, Vivo masih menggunakan panel hadapan jenis bertakuk pada kedua-dua model ini. Baiklah, di sinilah letaknya perbezaan tadi.
Perhatikan betul-betul, takuk pada Vivo V20 Pro adalah lebih besar berbanding Vivo V20. Ini adalah kerana, Vivo V20 Pro hadir dengan sokongan kamera hadapan berkembar. Sementara, Vivo V20 pula sekadar menyertakan lensa tunggal untuk sokongan kamera hadapannya. Tidak kisah sama ada, satu atau dua. Boleh dikatakan, kewujudannya langsung tidak menganggu penggunaan peranti sepanjang ulasan ini dibuat. Bahkan, paparannya dilihat cukup luas dan memadai untuk penggunaan harian rata-rata pengguna ketika ini.
Turut kelihatan, terdapatnya binaan bezel yang nipis pada bahagian sisi dan atas peranti. Bahagian dagu pula memperlihatkan sedikit perbezaan -di mana dagu pada model V20 didapati lebih tebal berbanding V20 Pro. Namun begitu, perkara ini bukanlah hal yang mengejutkan. Sebabnya, rekaan nisbah skrin-ke-badan pada V20 Pro adalah lebih luas berbanding versi biasa iaitu sebanyak 84.98% dengan berat sekitar 171 gram sahaja.
Tiada komen negatif berkaitan skrin yang boleh kami berikan. Kerana seperti yang umum ketahui, skrin AMOLED mampu menyajikan paparan terbaik bagi sesebuah peranti mudah-alih. Skrin pada peranti terasa cukup baik untuk digunakan. Seterusnya, ia juga mampu memaparkan kandungan visual yang cantik dengan tahap kecerahan yang tinggi. Selain, mempunyai sudut tontonan yang memuaskan. Penggunaan di bawah cahaya matahari secara terus juga boleh dikatakan selesa tanpa masalah yang menganggu.
REKAAN :
Kemasan pada panel belakang peranti kelihatan menarik. Meskipun nampak simple, namun kemasan pusam yang digunakan kelihatan cukup untuk menampakknya premium. Saiznya juga mudah dibawa ke mana-mana sahaja – sangat nipis dan tidak berat. Pengalaman memegang peranti juga terasa memuaskan. Untuk pilihan warna pula : Vivo V2O hadir dengan dua pilihan iaitu Sunset Melody dan Midnight Jazz. Sementara, Vivo V20 Pro pula dilengkapi warna Moonlight Sonata dan Midnight Jazz.
Susun atur butang standard untuk kedua-dua peranti juga dilihat berbeza. Kita mulakan dahulu dengan model V20. Sisi kanan terdapatnya butang kuasa dan laras suara. Sementara, sisi kiri pula terdapatnya slot untuk SIM. Anda juga akan temui port sambungan USB-C pada bahagian bawah – diletakkan bersama-sama pembesar suara dan bicu audio 3.5mm.
Untuk V20 Pro, sisi kanan masih terdapat butang kuasa dan laras suara. Seterusnya, anda tidak akan temui sevarang port atau butang pada siri kiri. Kerana, slot untuk SIM ditempatkan pada bahagian bawah peranti. Bersama-sama slot tersebut, terdapat juga port sambungan USB-C dan pembesar suara.
PRESTASI & PENANDA ARAS
Untuk pemproses, kedua-duanya hadir dengan penawaran yang berbeza. V20 menggunakan cip pemproses Snapdragon 720G. Sementara, V20 Pro pula dilengkapi pemproses Snapdragon 765G. Melaluinya, ia memberi sedikit kelebihan pada versi pro yang menyokong rangkaian 5G secara terbina. Seterusnya, siri ini hanya hadir dengan satu variasi memori sahaja – iaitu 8GB RAM dan storan dalaman 128GB.
Terdapat kelebihan pada model V20 – di mana ianya hadir dengan sokongan sehingga tiga slot kad (nano SIM + nano SIM + microSD). Sekaligus, menjadikan ia sangat praktikal buat pengguna yang memiliki dua kad SIM. Berbeza pula dengan versi pro yang sekadar hadir dengan sokongan untuk dwi-sim nano tanpa slot kad microSD.
Dari segi kemampuan, boleh dikatakan peranti ini mampu melakukan segala tugasan harian biasa tanpa sebarang masalah. Tatalan pada skrin dapat dilakukan dengan baik. Seterusnya, proses membuka dan menukar aplikasi juga memberi pengalaman yang memuaskan. Kemudian, aplikasi yang kami muat-turun juga boleh berfungsi dengan baik, selain dibuka dengan kadar segera.
Perkara lain yang perlu anda tahu juga, pengalaman bermain permua pada kedua-dua peranti terasa memuaskan. Sebagai contoh permainan Asphalt 9 boleh dimainkan dengan lancar dan sentuhan jari dilihat dikesan dengan baik. Seterusnya, permua COD pula boleh dimainkan dengan beberapa tetapan berbeza. Permua ini boleh dimainkan pada grafik tertinggi Very High dengan kadar bingkai tertinggi Max. Namun begitu, kadar bingkai Max hanya boleh diakses apabila anda bermain pada grafik High. Jika anda memainkannya pada grafik Very High, kadar bingkai secara automatik akan terhad pada Very High sahaja.
Berbeza pula ceritanya dengan permua PUBG. Pada V20, permua ini boleh dimainkan pada grafik tertinggi HD dengan kadar bingkai tertinggi High. Pada V20 Pro pula, ia boleh dimainkan pada grafik tertinggi HDR dengan kadar bingkai tertinggi Ultra. Kami juga sempat menjalankan beberapa ujian penanda aras dan hasilnya adalah seperti di bawah :
ANTARAMUKA
Sistem operasi Android 10 dengan pelancar FunTouchOS 11 digunakan pada Vivo V20. Berbeza pula dengan versi pro yang dilengkapi sokongan Android 11. Pendek kata boleh dikatakan, antaramuka dilihat telah ditambahbaik dan lebih mudah untuk digunakan. Ia nampak seakan lebih dekat dengan stok Android.
Ikon juga telah direka semula dan panel pemberitahuan juga lebih mudah untuk diakses. Terdapat beberapa fungsi menarik yang disediakan seperti Dark Mode, Focus Mode, Ultra-Game Mode dan banyak lagi. Turut kelihatan, terdapatnya e-Sport Mode untuk pengalaman permua dengan prestasi permainan berganda – melaluinya, sebarang gangguan pemberitahuan akan diminimumkan, selain paparan akan lebih optimum.
KAMERA :
Vivo V20 dan V20 Pro dilengkapi sistem tri-kamera utama dengan konfigurasi 64-Megapixel (f/1.9) (utama) + 8-Megapixel (f/2.2) (lensa pelbagai guna) + 2-Megapixel (f/2.4) (kedalaman). Boleh dikatakan, gabungan kamera ini sangat berguna untuk penangkapan gambar dalam pelbagai senario.
Aplikasi kamera juga begitu mudah diakses, selain juga mudah untuk difahami. Melaluinya, anda boleh temui sejumlah mod tetapan menarik yang tersedia – termasuklah Portrait Mode, Night Mode, Double Exposure, Slo-Mo dan banyak lagi. Pada masa sama, kamera utamanya turut hadir dengan sejumlah fungsi lain yang menjadikannya lebih menarik. Antaranya seperti :
- 44MP Eye Autofocus : Fungsi yang lebih memudahkan pengguna untuk mengambil gambar. Melaluinya, ia akan menjejaki mata anda – tidak kira dalam apa juga keadaan sekalipun. Termasuklah mungkin ketika itu anda sedang bergerak, ia akan akan tetap mengekori gerak mata anda. Kemudiannya, gambar yang lebih jelas akan terhasil.
- Rakaman Selfie 4K & Slo-Mo Selfie Video (240FPS) – Fungsi ini terdapat pada kemera hadapan. Ia boleh merakam video 4K pada 30fps. Kemudian, ia juga dilengkapi sokongan rakaman video gerak perlahan dengan tetapan sehingga 240FPS. Boleh dikatakan, sangat sesuai untuk anda yang gemar membuat kandungan Vlog harian untuk menghasilkan kandungan lebih menyeronokkan.
- Dual-View Video – Pengguna boleh membuat rakaman dengan kamera hadapan dan belakang secara serentak. Rakaman akan menjadi lebih seronok kerana ia tidak sekadar terhad dalam satu keadaan sahaja. Seterusnya, terdapat beberapa pilihan pandangan yang boleh dipilih – seperti – dwi paparan biasa atau gambar dalam gambar (P-I-P)
- Multi-Style Portrait – Terdapat beberapa pilihan filter dengan kesan menarik yang boleh digunakan. Ia sekaligus, menghasilkan hasil gambar yang lebih baik.
- Motion AutoFocus – Ia akan mengesan subjek, kemudian kekalkan fokus yang tajam. Lebih menariknya lagi, anda tidak perlu menggerakkan telefon ketika rakaman dibuat. Sebaliknya, hanya perlu kekal statik.
- Smart Zoom – Zum pintar akan mengambil alih untuk memastikan subjek yang dirakam kekal berada di dalam bingkai. Pada masa sama, turut bantu meningkatkan fokus video dan audio.
Untuk kualitinya, boleh dikatakan kedua-dua peranti memberi penghasilan gambar yang baik. Hasil terbaik boleh dilihat apabila imej diambil dalam keadaan pencahayaan yang cukup. Butiran dan perincian pada imej juga memuaskan dengan persembahan warna seakan dunia nyata. Lensa sudut lebar juga mampu memberi kesan memuaskan, meskipun tidaklah begitu sempurna. Terdapat kesan herotan yang dapat dilihat, selain terdapat juga sejumlah aspek kualiti yang perlu diperbaiki. Seterusnya, tidak banyak yang boleh dikomen mengenai lensa makro – kami akui gambar yang terhasil berada di tahap memuaskan.
Bergerak pada kamera hadapan, terdapat perbezaan ketara yang boleh lihat. Kedua-dua peranti hadir dengan lensa swafoto dengan sensor 44-Megapixel. Meskipun begitu, V20 Pro memberi sedikit kelebihan dengan sokongan kamera berkembar. Di mana, satu lagi lensa terdiri dengan sensor 8-Megapixel. Bercakap soal kualiti, ia dilihat memuaskan dan terang pada pencahayaan yang cukup. Perincian yang terhasil juga boleh dipuji.
BATERI :
Vivo V20 dan V20 Pro dibekalkan bateri dengan kapasiti yang sama iaitu 4,000mAh. Melaluinya, bacaan masa Screen-on-Time (SOT) yang dicatatkan oleh peranti juga boleh dikatakan baik – dengan purata keseluruhan sekitar 8 jam untuk penggunaan sepanjang hari. Menariknya lagi, ia turut didatangkan dengan pengecasan pantas, 33W vivo Flash Charge yang membolehkan peranti dicas penuh kurang dari satu jam – secara keseluruhan kira-kira 50 minit.
KESIMPULAN :
Sebagai kesimpulan, siri ini dilihat hadir dengan penawaran boleh dikatakan menarik. Reka bentuk yang anggun, sokongan kamera di tahap baik, kualiti skrin yang cantik dan prestasi baik dalam menjalankan tugasan harian antara penawaran yang terdapat pada peranti ini. Meskipun bukanlah terpaling sempurna, tetapi penawaran yang ada rasanya berbaloi untuk dimiliki. Bagi yang berminat, Vivo V20 dijual pada harga RM1,499 dan Vivo V20 Pro pula berharga RM1,899.