Kita sudah pun berada di tahun 2020, di mana tahun Wawasan 2020 sepatutnya tercapai. Tetapi masih banyak yang kita tidak dapat lihat, antaranya adalah kereta terbang tempatan. Tetapi ini tidak bermakna kita mengalah begitu sahaja, begitu juga dengan teknologi yang semakin berkembang maju.
Terkini sebuah kedai gajet di Korea Selatan iaitu T-Factory dikatakan akan hadir dengan sebuah kedai 24 jam baharu – T-Factory 24. Keunikan kedai ini adalah ia tiada pekerja, dan untuk memasuki kedai ini pengunjung perlu membuat imbasan wajah. Kedai ini adalah hasil kerjasama dengan syarikat telekomunikasi SK Telecom. Melalui kedai ini, pengunjung boleh membuat perbandingan peranti, menerima nasihat pembelian peranti melalui kontrak melalui kecerdasan buatan, membeli gajet-gajet atau juga menjual peranti terpakai.

Untuk penjagaan kesihatan di ambang Covid-19 ini, T-Factory 24 akan mempunyai pintu gerbang dengan pelbagai sensor. Kedai ini turut akan menjual barangan dari Microsoft, Samsung dan Apple. Selain itu pengunjung turut boleh bermain dengan realiti terimbuh mellaui satu cermin khas dan boleh meluangkan masa dengan rakan secara maya melalui Jump VR. Muzik yang dimainkan di latar pula dikuasakan oleh kecerdasan buatan.
5GX Cloud Game iaitu perkhidmatan penstriman permainan hasil kerjasama antara SKT dan Microsoft turut boleh dicuba di kedai ini. Ini adalah salah satu konsep yang lebih menarik seakan Amazon Go, yang sekadar kedai runcit tanpa kaunter.