Cari @ Amanz


Oppo K7x bakal diperkenalkan secara rasmi di China pada 4 November 2020. Menjelang pelancaran rasmi, Oppo dilihat semakin aktif mengacah mengenai kehadiran peranti pintar ini menerusi beberapa poster acah yang dimuat naik di laman Weibo.

Selain hadir dengan modul kamera berbentuk segi empat dan sokongan rangkaian 5G terbina, peranti pintar ini juga disahkan akan dilengkapi skrin dengan kadar segar semula tinggi 90Hz dan kadar sentuhan 180Hz. Turut dapat dilihat, paparan hadapannya hadir dengan rekaan berlubang bersama sokongan lensa tunggal. Selain itu, ia juga dilihat menggunakan sokongan pengimbas cap jari pada sisi untuk tujuan menyahkunci peranti.

Tiada sebarang maklumat berkaitan spesifikasi peranti yang dikongsi. Namun, terdapat spekulasi mengatakan peranti pintar ini dipercayai hadir dengan skrin 6.5-inci FHD+ bersama panel jenis IPS LCD. Selain itu, ia turut dikatakan bakal menggunakan bateri besar 5,000mAh.

Imbas kembali, Oppo juga sebelum ini telah memperkenalkan Oppo K7 5G untuk pasaran China. Spesifikasinya terdiri dengan skrin 6.4″ AMOLED FHD+ 60Hz, cip Snapdragon 765G, memori 8GB RAM, storan dalaman sehingga 256GB dan bateri 4,025 mAh yang menyokong pengecasan 30W. Konfigurasi kamera utama terdiri dengan sensor 48+8+2+2-Megapixel. Manakala, kamera swafoto pula sebesar 32-megapixel.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd