Anker Menjual Aksesori Pengecas iPhone 12 Bertemakan Doraemon

Anker Menjual Aksesori Pengecas iPhone 12 Bertemakan Doraemon

Diterbitkan pada Nov 2, 2020 oleh .

iPhone 12 adalah peranti mercu terbaru dari Apple. Ia juga merupakan peranti yang tidak menyediakan pengecas dalam pakej belian. Ini memberi peluang yang luas kepada pengeluar aksesori kuasa untuk menjual aksesori kuasa yang sesuai dengan iPhone 12.

iPhone 12 seperti yang semua sedia maklum, menyokong sistem pengecasan pantas 20W USB-PD. Harga pengecas yang ditawarkan Apple untuk 20W adalah RM99 atau dari Xiaomi pada harga serendah bawah RM30. Terkini, Anker turut hadir dengan beberapa aksesori kuasa yang dipasarkan khusus untuk iPhone 12. Apa yang menarik, ia menggunakan tema Doraemon.

Aksesori kuasa ini dijual secara berkas, atau dikira sebagai kit pengecasan untuk iPhone 12. Terdapat enam produk secara keseluruhan iaitu tiga pengecas berbeza, dua kabel iaitu 1x USB-C ke USB-C dan 1x USB-C ke Lightning, dan 1x pengecas nirwayar. Menurut Anker, pengecas mereka boleh mengecas iPhone 12 dalam masa 30 minit untuk 50%. Buat masa ini, masih lagi tiada harga bagi setiap produk. Apa yang pasti adalah, ia akan lebih murah dari harga aksesori kuasa Apple.

Berikut adalah senarai produk yang besar kemungkinan disediakan dalam kit pengecas iPhone 12 ini. Ini adalah berasaskan imej yang tersedia;

  1. Kabel USB-C ke Lightning USB-PD 0.9M – RMB65
  2. Kabel USB-C ke USB-C 100W USB-PD 0.9M – RMB105
  3. PowerWave Pad 10W – RMB78
  4. Anker PowerCore III Fusion 5K (Pengecas + Powerbank) – RMB189
  5. Anker Mini Fuel 65W – RMB99
  6. Anker Nano 20W – RMB78

Harga jualan jika ditukar mata wang adalah sekitar RM40 – RM117 sahaja. Ini bermakna ia adalah harga yang sesuai untuk pengguna seperti Nobita. Bagi yang bersifat seperti Suneo, bolehlah membeli aksesori jenama Apple sendiri.



Paling Popular