Honor Band adalah penjejak kesihatan tersendiri Honor yang bersaing dengan Mi Band dari Xiaomi. Honor Band biasanya ada keunikan tersendiri, seperti boleh digunakan pada kasut, skrin lengkung dan banyak lagi. Terkini, Honor Band 6 telah dilancarkan. Ia adalah penjejak kesihatan dengan skrin nirbingkai dan Honor mendakwa, ia adalah pertama dunia.
Skrin adalah AMOLED 1.47-inci berwarna dengan kaca 2.5D dan resolusi 194 x 368. Ia menyokong kawalan gestur, di sisi adalah butang ke skrin utama/hidupkan skrin dan sisi lagi satu hanya ada tulisan “Honor”. Ia mempunyai 10 mod sukan, pemantauan oksigen dalam darah, sistem pemantauan denyutan nadi 24 jam Huawei TrueScreen 4, sistem pemantauan tidur Huawei TrueSleep, serta pemantauan haid. Ia turut mempunyai sokongan pembantu digital tersendiri.
Bateri adalah 180mAh dengan ketahanan selama 14 hari, menggunakan sistem Bluetooth 5.0, sensor pemecut, giroskop, perlindungan air 5ATM, dua variasi NFC atau tiada NFC dan pengecasan bermagnet. Sekali imbas, ia kelihatan seperti Honor Watch ES atau Huawei Watch Fit. Kami telah mencuba Huawei Watch Fit, ia mempunyai skrin benar-benar cantik dan kelihatan nirbingkai. Honor Band 6 ini boleh dikatakan adalah versi mini mereka.
Warna yang ditawarkan adalah Meteorite Black, Seagull Grey, dan Coral Powder. Tetapi warna ini adalah untuk tali jam sahaja, Honor Band 6 itu sendiri akan kekal berwarna hitam. Harga jualan adalah RMB249 (~RM155) untuk versi biasa dan RMB289 (~RM180) untui versi NFC. Jualan buat masa ini terhad di China sahaja. Tiada lagi informasi jualan di Malaysia.