Virgin Hyperloop Berjaya Melakukan Ujian Pertama Dengan Penumpang Manusia

Virgin Hyperloop Berjaya Melakukan Ujian Pertama Dengan Penumpang Manusia

Diterbitkan pada Nov 9, 2020 oleh .

Hyperloop ialah sistem pengangkutan pantas yang menggunakan tiub vakum dan sistem apungan magnet. Elon Musk berkongsi idea Hyperloop pada tahun 2012 secara sumber terbuka dan pada saat ini lapan syarikat cuba merealisasikan impian Hyperloop dengan kelajuan mencecah 1080 km/j. Virgin Hyperloop pada hari Ahad lalu mengumumkan kejayaan melakukan ujian pertama membawa penumpang manusia.

Dalam ujian sulung ini, Josh Giegel yang merupakan pengasas bersama dan Sara Luchian yang merupakan pengarah pengalaman penumpang menjadi dua manusia pertama menaiki pod XP-2 Virgin Hyperloop. Pod XP-2 berjaya mencecah kelajuan 172 kilometer sejam di dalam litar ujian sepanjang 500 meter yang terletak di Nevada. Sebelum ini Virgin Hyperloop telah berjaya melakukan 400 ujian tanpa penumpang.

Kesemua data dari ujian-ujian awal ini akan digunakan untuk membina pod komersil yang mampu membawa sehingga 28 penumpang. Virgin Hyperloop merancang menawarkan perjalanan dari San Francisco ke Los Angeles yang hanya mengambil masa 43 minit yang lebih pantas berbanding 90 minit menaiki kapal terbang.



Paling Popular