Huawei akan menjual sub jenama mereka Honor kepada konsortium yang terdiri daripada Digital China, kerajaan Shenzen dan beberapa entiti lain pada harga RMB 100 bilion (~RM 61.85 bilion) menurut laporan Reuters.
Penjualan secara tunai sepenuhnya ini melibatkan penjenamaan, penyelidikan dan pembangunan dan pengurusan rantaian bekalan Honor. Huawei dipercayai akan mengumumkan penjualan ini pada Ahad akan datang.
Berita ini mengesahkan beberapa ura-ura yang didengari sejak beberapa bulan lalu. Walaupun Joe Biden baru sahaja diisytiharkan pemenang pilihanraya Presiden Amerika Syarikat beberapa hari yang lalu, jualan akan diteruskan juga kerana mungkin Huawei tidak yakin halangan perdagangan yang dikenakan oleh pentadbiran Trump akan ditarik semula dalam jangka masa terdekat.
Konsortium ini dijangka mengekalkan kesemua 7000 tenaga pekerja Honor selepas mengambil alih. Huawei masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi menyangkal laporan ini.