Cari @ Amanz

Baru-baru ini, kami telah melaporkan bahawa Google akan menghentikan pemberian storan percuma tanpa had untuk gambar pada tetapan High Quality pada Google Photos menjelang bulan Jun 2021 kelak.

Mereka juga mengatakan bahawa fail-fail yang sebelum ini boleh disimpan secara percuma pada Google Drive seperti Google Docs, Google Sheets dan sebagainya juga akan dikira pada kuota 15GB percuma sandaran awanan tersebut.

Walaupun pengumuman tersebut mengatakan bahawa gambar dan fail yang disimpan sebelum tarikh tersebut tidak akan terkesan oleh keputusan ini, pengguna mungkin perlu mula mencari alternatif baru untuk menyimpan fail-fail digital mereka selepas ini.

Didalam artikel ini, kami akan menyenaraikan beberapa pilihan storan digital yang mempunyai pilihan storan percuma dan juga pelan berbayar yang sangat berbaloi.

Mega

Mega, ataupun nama sebelumnya Megaupload merupakan perkhidmatan storan fail yang paling mesra pengguna percuma. Dengan hanya mendaftar untuk sebuah akaun percuma, pengguna akan diberi storan digital sebanyak 50GB seumur hidup.

Mega juga hadir dengan ciri penyulitan fail terbina yang menjanjikan fail-fail anda tidak dapat digodam dengan mudah. Selain daripada itu, ia juga menyokong platform-platform Android dan iOS, dan fail-fail yang disimpan melalui akaun Mega akan diselarikan pada semua platform.

Pelan berbayar untuk Mega bermula dari RM24.35 untuk storan 400GB sebulan. Ini mungkin berbaloi ataupun sedikit mahal untuk anda, bergantung kepada corak penggunaan anda.

Jika anda tidak kisah untuk berkongsi akaun ini dengan orang lain, ia mungkin sangat berbaloi dalam jangka masa yang panjang.

Degoo

Degoo mungkin sebuah nama yang baru dikenali, tetapi dari segi penawaran storan digital percuma, mereka boleh dikatakan lebih murah hati walaupun dibandingkan dengan Google One.

Degoo menawarkan storan percuma 100GB secara percuma seumur hidup, walaupun ia datang dengan beberapa kaveat yang perlu diingati:

  1. Akaun percuma Degoo hanya membenarkan anda memuat-naik fail pada tiga peranti sahaja. Anda masih boleh log masuk dan memuat-turun fail pada mana-mana peranti.
  2. Akaun percuma akan tiba dengan iklan yang boleh dibuang dengan beralih kepada akaun berbayar.
  3. Akaun percuma tidak mempunyai ciri penyulitan melalui kata laluan.
  4. Akaun percuma yang tidak digunakan untuk 90 hari akan dipadamkan.

Pengguna percuma juga diberi cara untuk meningkatkan jumlah storan mereka dengan merujuk pengguna baru kepada platform Degoo. Untuk pengguna percuma, setiap pelanggan baru yang dirujuk akan menerima penaiktarafan storan 5GB sehingga 500GB.

Pelan berbayar Degoo ini juga pada hemat saya sangat berbaloi jika anda memerlukan jumlah storan yang banyak. Dengan $3 (~RM12) sebulan, anda boleh meningkatkan jumlah peranti yang boleh memuat-naik fail kepada 10, dan storan yang ditawarkan melonjak kepada 500GB manakala storan tambahan daripada rujukan pengguna baru akan meningkat kepada 10GB setiap pengguna.

Sewaktu artikel ini ditulis, nampaknya Degoo telah menukar pelan premium mereka kepada satu pelan sahaja, dimana pengguna boleh membayar $99 (~RM400) untuk storan sebesar 10TB seumur hidup.

Box

Box, ataupun lebih dikenali sebagai Box.net apabila ia diperkenalkan pada tahun 2005 adalah diantara perintis platform storan digital, dan boleh dikatakan diantara satu-satunya perkhidmatan storan parti ketiga yang mempunyai integrasi dengan platform produktiviti atas-talian popular seperti Google Docs dan Microsoft Office 365.

Untuk pengguna percuma, Box hadir dengan jumlah storan 10GB dengan had muat-naik fail sebesar 250MB. Ia juga boleh digunakan dan diselaraskan dengan apa-apa peranti tanpa had. Malah, Box hadir dengan sokongan integrasi dengan sistem operasi desktop yang membolehkan pengguna memuat naik fail terus daripada File Explorer.

Pelan premium individu untuk Box boleh dikatakan agak mahal pada harga $11.50 (~RM48) sebulan. Walaupun begitu, jumlah storan anda akan ditingkatkan kepada 100GB, dan menambahkan ciri penyimpanan 10 versi fail yang sama jika anda menulis-ganti (overwrite) fail untuk tujuan sandaran.

Pelan Box paling berbaloi adalah pelan untuk syarikat kecil yang mungkin akan memerlukan ciri kolaborasi antara pengguna, khususnya dengan jumlah storan tanpa had dan juga perlindungan data yang memastikan ia selamat dan sentiasa boleh diakses tanpa masalah.

Flickr

Jujur saya katakan, mencari perkhidmatan storan awanan untuk jurugambar amatur dan profesional sangat sukar sekali. Untuk pilihan-pilihan diatas, kriteria yang saya wajibkan adalah bahawa setiap pilihan storan awanan perlulah mempunyai pilihan percuma sekurang-kurangnya 10GB dan juga pilihan berbayar yang berbaloi.

Flickr ialah nama yang cukup dikenali oleh golongan jurugambar yang dahulunya menggunakannya sebagai cara mudah untuk menyimpan gambar-gambar mereka tanpa had.

Syarikat tersebut, dahulunya dibawah Yahoo telah diambil-alih oleh SmugMug pada dua tahun yang lalu, kini telah ditukar menjadi “versi percuma” perkhidmatan tersebut.

Melalui Flickr, pengguna hanya dibenarkan memuat-naik sebanyak 1000 fail gambar ataupun video, dimana saiz fail tersebut adalah terhad kepada 200MB.

Dengan menaiktarafkan akaun anda kepada versi Pro pada harga $5.99, anda boleh mendapatkan storan tanpa had dan juga pembuangan iklan apabila anda melayari Flickr, disamping pengenalan ciri memuat-naik fail terus daripada desktop dan juga kod-kod diskaun daripada SmugMug, Adobe, Blurb dan sebagainya.

Microsoft OneDrive

Microsoft juga tiba dengan pilihan storan awanannya sendiri yang dinamakan Microsoft OneDrive. Ia hadir dengan pilihan storan percuma sebanyak 5GB sebulan tanpa sebarang perisian lain seperti Office 365.

Pada langganan RM9 sebulan, pelanggan akan mendapat jumlah storan yang lebih besar, sebanyak 100GB. Tetapi pada pendapat saya, langganan paling berbaloi buat patform sandaran digital Microsoft ialah pelan Office 365.

Office 365 ialah sebuah kumpulan perisian produktiviti yang boleh digunakan untuk pelbagai tugasan di pejabat, dan hadir dengan dua pelan langganan, iaitu Office 365 Personal dan juga Office 365 Family.

Tidak kira jenis langganan yang diambil, pengguna diberikan jumlah storan yang cukup besar, iaitu 1TB untuk setiap seorang. Office 365 Personal mempunyai harga langganan RM269 setahun ataupun RM27 sebulan, manakala Office 365 Family hadir dengan harga langganan RM359 setahun ataupun RM36 sebulan untuk enam orang pengguna.

Apa yang menarik mengenai pelan Office 365 Family ialah setiap pengguna akan menerima storan 1TB mereka sendiri. Jika anda boleh mendapatkan lima orang lagi untuk membayar pecahan RM36 sebulan tersebut, pada pendapat kami, pelan Office 365 Family ini adalah pelan sandaran awanan yang paling berbaloi yang boleh didapati hari ini.

Google One

Google One ialah pelan storan awanan berbayar yang hadir dengan penawaran percuma 15GB yang menggabungkan storan awanan fail digital Google Drive dan juga simpanan foto awanan Google Photos dalam satu pelan.

Ia mungkin sedikit ironik bahawa kami menyenaraikan Google One sebagai sebuah pilihan disini, tetapi pada hemat kami ia tidaklah begitu mahal. Pada harga RM8.49 sebulan untuk sandaran sebesar 100GB, integrasi Google Drive dan Photos pada platform Android, iOS dan Windows adalah yang terbaik.

Sandaran gambar, video dan fail semuanya boleh diautomasikan dengan cepat dan mudah menggunakan satu akaun, walaupun dengan tiga ke empat aplikasi yang berbeza seperti Drive, GMail, Photos dan Notes.

Bukan itu sahaja, sandaran untuk WhatsApp pada Android juga hanya menggunakan Google Drive, jadi jika anda ingin menyandarkan kesemua fail-fail multimedia beserta mesej-mesej, menaiktarafkan jumlah storan menggunakan Google One mungkin pilihan terbaik untuk anda.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd