Pasaran peranti klon sudah tidak sehebat suatu ketika dahulu. Beberapa tahun lepas, peranti mercu Samsung, segala versi iPhone pasti akan ada klon. Perisian yang kelihatan lebih kurang sama, rekaan yang 1:1 sama serta harga jualan yang sangat murah. Tetapi zaman sekarang, peranti Redmi, Lenovo malah aksesori Realme turut ingin diklonkan. Jika dahulu klon peranti mercu banyak, zaman kini klon pertengahan pula menjadi trend.

Huawei Mate 40 adalah peranti mercu terbaru dari Huawei. Ia masih belum ada tarikh dan harga jualan di Malaysia. Tetapi di China, peranti ini adalah peranti yang mewah dan mahal. Kamera juga antara yang terhebat dan cip pemproses juga adalah yang terbaik pernah Huawei hasilkan. Baru-baru ini, versi klon peranti ini mula dijual di China. Nama peranti ini adalah ivvi Mate 40. Apa yang menarik dengan peranti ini adalah, ia dijana dengan cip Snapdragon 865. Baru sahaja kedengaran berita yang peranti Huawei bakal menggunakan cip Snapdragon – versi klon telah mendahului.

Skrin dilihat menggunakan rekaan bertakuk kecil, memori 10GB RAM dan storan dalaman 256GB. Bukan itu sahaja, kamera dilihat memuatkan lima lensa, 50MP salah satu daripadanya dan disenaraikan untuk menyokong dwi-5G, dan bonjol kamera lebih kurang sama. Harga jualan disenaraikan sebagai 898 Yuan, iaitu sekitar RM560.
Dalam carian di Taobao, jenama ivvi dilihat memang menjual peranti klon. Ada dari Oppo, Vivo dan banyak lagi. Tetapi berdasarkan spesifikasi dan harga, ada kemungkinan besar yang jenama ini hanya menipu semata-mata.