Oppo kini mengesahkan bahawa acara tahunan, Oppo Inno Day 2020 akan berlangsung pada minggu hadapan, 17 November 2020. Dengan tema Leap into the Future, jenama ini dijangka mempamerkan tiga peranti konsep baharu – ia termasuklah teknologi lebih inovatif untuk kamera hadapan di bawah skrin, teknologi pengecasan pantas 125W dan teknologi zum optik lebih baik.

Namun begitu, ia hanya sekadar spekulasi awal sahaja, ekoran tiada apa-apa maklumat berkaitan acara ini yang dikongsi. Dalam pada itu, Oppo juga dikatakan bakal berkongsi mengenai strategi syarikat pada masa mendatang. Seperti biasa, sama-sama kita nantikan teknologi apakah yang bakal dibawakan oleh Oppo untuk kali ini. Sekadar imbas kembali, Oppo telah memperlihatkan prototaip tanpa butang, lubang dan port, selain Oppo AR Glass pada acara tahun lalu.