Minggu lepas, OnePlus dikhabarkan akan melancarkan tiga peranti serentak pada bulan Mac 2021. Peranti ini adalah peranti dalam siri OnePlus 9. OnePlus mungkin tidak akan hadir dengan siri “T” atau ia akan dilancarkan serentak. Ini kerana peranti ketiga ini dikatakan akan mempunyai spesifikasi seakan siri “T”.

Tiga nombor model yang dikhabarkan ini adalah LE2110 untuk OnePlus 9, manakala OnePlus 9 Pro pula adalah LE2117, LE2119 dan LE2120. Akhir sekali LE2127 model untuk peranti ketiga mereka. Baru-baru ini LE2117 telah muncul dalam Geekbench, ia mempunyai memori 8GB RAM, menjalankan Android 11, dan menerima skor 1122/2733 untuk satu teras dan multi teras.
Rekaan CAD peranti ini sudah pun tertiris. Ia memperlihatkan rekaan modul kamera seakan Galaxy Note dan penggunaan skrin rata. Ia juga menggunakan panel belakang warna putih, yang mana sudah lama OnePlus tidak hadir dengan warna sebegini untuk peranti mereka. Peranti ini akan dijana dengan cip Snapdragon 875, disebabkan ini adalah variasi Pro – ia mungkin akan menggunakan skrin yang lebih hebat dan akan ada pilihan RAM yang lebih tinggi. Sama-sama kita nantikan.