Sejak bulan lalu, kita sudah mendengar yang OnePlus sudah memulakan pembangunan peranti mercu baharu tahun 2021 – OnePlus 9. OnePlus dilaporkan menggunakan nama Lemonade sebagai kod nama produk. OnePlus dijangka akan mengikut jejak langkah Samsung, iaitu melancarkan peranti ini lebih awal dari biasa. Jika Samsung pada bulan Januari, OnePlus mungkin sekitar pertengahan Mac 2021.

Desas-desus terkini mengatakan akan terdapat tiga model peranti OnePlus 9 akan diperkenalkan pada tahun hadapan. Untuk OnePlus 9 ia dikatakan akan menggunakan nombor model LE2110, manakala OnePlus 9 Pro pula menggunakan nombor model LE2117, LE2119 dan LE2120. Model nombor terbaru yang muncul adalah LE2127. Model ini dikatakan akan mempunyai spesifikasi seakan siri “T”, iaitu berada di tengah-tengah di antara 9 dan 9 Pro.
OnePlus turut dikatakan akan memilih Snapdragon 875 sebagai cip utama, skrin dengan kadar segar semula 144Hz serta pengecasan nirwayar pantas 40W. Jika perkara ini benar, adakah ini bermakna tamatnya siri “T” selepas ini dan OnePlus hanya akan fokus kepada dua bahagian – OnePlus X (X adalah nombor) sebagai mercu dan OnePlus Nord (Nord sebagai siri) untuk kelas pertengahan? Sama-sama kita nantikan.