Carian
Singapura Menjadi Negara Pertama Membenarkan Penjualan Daging Buatan-Makmal
December 2, 2020 Effi Saharudin

Sumber daging komersial adalah dari ladang ternakan besar. Bagi negara seperti Malaysia ini tidak menjadi isu kerana terdapat ruang tanah yang besar untuk membina ladang. Singapura tidak mempunyai kemewahan ini dan bergantung kepada pengimportan makanan dari negara jiran. Hari ini Singapura menjadi negara pertama yang membenarkan penjualan secara terbuka daging buatan dalam makmal oleh syarikat perintis tunas Eat Just.

Eat Just menggunakan sel otot haiwan yang kemudiannya tumbuh menjadi daging sebenar untuk dimakan. Ianya dilakukan di dalam makmal tanpa memerlukan ladang yang besar. Di rantus Asia Tenggara, Singapura juga menjadi perintis pasaran daging dari tumbuh-tumbuhan keluaran Impossible Foods dan Beyond Meat Inc sebelum ini.

Kelebihan daging buatan-makmal ialah isu kekejaman ke atas haiwan di ladang, penyembelihan yang dikatakan tidak bermoral dan pencemaran akibat perladangan dapat diselesaikan. Untuk negara seperti Singapura pula, ia dapat mengurangkan pergantungan mereka kepada sumber makanan dari luar negara.

Kekurangan pula terletak pada kos yang tinggi. Semasa dilancarkan pada tahun 2017, Eat Just berkata kos untuk seketul daging nuget adalah $50. Tetapi dengan pengeluaran pada skala lebih besar, mereka percaya daging buatan-makmal mereka boleh dipasarkan pada harga setanding daging premium di pasaran.

Tahun ini terdapat beberapa inovasi pemakanan berlaku. KFC misalnya mula menjual ayam yang dihasilkan menggunakan teknik cetakan-bio pada Julai lalu untuk tempoh yang terhad. d

Adakah anda bersedia untuk dunia masa hadapan di mana sumber daging datang dari makmal dan tidak lagi melibatkan proses penyembelihan yang mungkin diragui?

Komen