Xiaomi pada suku ketiga tahun 2020 ini sedia memperlihatkan keupayaan mereka mengeluarkan peranti dan menyaingi Apple. Terbaru, melalui laporan Nikkei, kini Xiaomi dilihat menyasarkan untuk mengatasi angka pengeluaran Apple dan Huawei pada tahun 2021 kelak.
Secara tidak langsung, perkara ini akan membolehkan Xiaomi menjadi pengeluar peranti kedua terbesar dunia – hanya dibelakang Samsung. Untuk makluman, perkara ini sedia diramal oleh kami melalui siri #Menuju2021 sebelum ini – dimana Xiaomi mempunyai peluang yang cerah dalam industri telefon pintar.
Xiaomi dikatakan telah mula berbincang dengan pengeluar komponen untuk mendapatkan bekalan yang mencukupi bagi pengeluaran sehingga 240 juta telefon pintar. Terdapat beberapa info dalaman yang turut mengatakan mereka menyasarkan untuk mengeluarkan sekitar 300 juta telefon pintar pada 2021 kelak.
Apa pun, ia akan sedikit mencabar dalam mendapatkan komponen – apatah lagi dengan cabaran pengeluaran disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan.
Dengan pengharaman jualan komponen terhadap Huawei, pelbagai pengeluar kini bersaing untuk melengkapkan “lubang” yang ditinggalkan oleh Huawei – dan Xiaomi dilihat tidak ingin meninggalkan peluang mereka.
Selain Xiaomi, Samsung turut bersaing untuk mendapatkan pengguna dengan mempercepatkan pengenalan telefon pintar mereka.
Sama-sama kita nantikan tahun 2021 untuk melihat bagaimanakah arena peranti mudah-alih akan kelihatan kelak.