ID baru menerbitkan laporan pengeluaran peranti untuk suku ketiga 2020. Mengejutkan Xiaomi menggantikan Apple di tangga ketiga dengan peningkatan pengeluaran 42% berbanding suku yang sama 2019. Dari laporan ini beberapa ramalan boleh dilakukan mengenai hala tuju Xiaomi pada tahun 2021.
Dengan Huawei akan semakin tertekan dengan kekangan teknologi, pasaran mereka akan menyusut pada tahun hadapan. Peranti mereka semakin sukar dijual di pasaran luar China tanpa sokongan rasmi GMS. Walaupun diakui HMS kini jauh lebih baik berbanding 2019, masih terdapat beberapa cabaran bagi pengguna biasa untuk berpindah ke ekosistem Huawei selepas sekian lama selesa dengan Google.
Xiaomi tidak mempunyai sebarang halangan untuk bukan sahaja memintas Apple tetapi juga Huawei pada tahun hadapan. Sejak dari azali lagi mereka membina reputasi sebagai pengeluar yang menawarkan peranti yang mempunyai spesifikasi yang baik dan perisian yang memuaskan tetapi dijual pada harga mampu milik. Kombinasi harga mampu milik dan ruang yang ditinggalkan oleh Huawei memberikan kelebihan kepada Xiaomi.
Di era norma baharu Covid-19, pengeluar lain masih belum bersedia untuk menawarkan peranti pada harga yang lebih selari dengan realiti ekonomi global. Permintaan untuk telefon pintar akan kekal tinggi kerana ia kini dianggap keperluan. Samsung dan Apple tahun ini masih menawarkan telefon mercu pada harga melangkaui RM5000. Xiaomi sejak awal tahun ini telah menawarkan peranti mercu (dengan Snapdragon 865)pada harga serendah RM1999. Ini dilakukan menerusi Mi 10T Pro 5G dan Poco F2 Pro.
Kami melihat sendiri setiap komen yang ditinggalkan pembaca. Rata-ratanya mengkritik Samsung, Huawei dan Apple kerana mengekalkan harga tinggi. Xiaomi (termasuk Redmi dan Poco) terselamat dari kritikan setakat ini malahan dipuji kerana terus kekal dengan ideologi penubuhan syarikat tidak seperti OnePlus yang sudah berubah 180 darjah.
Strategi mereka setakat ini jelas berjaya. Cuma selepas ini mereka perlu memperbaiki imej mereka sebagai “syarikat murah”. Pada awal kewujudan mereka, peranti Xiaomi mempunyai reputasi sebagai murah untuk dibeli dan senang untuk dibuang. Perisiannya pula dipenuhi iklan (yang tidak disukai pengguna) dan dipadankan pula dengan aplikasi gendut yang tidak diingini.
Ketahanan jangka panjang peranti mereka kerap dipersoalkan. Masih terdapat ramai yang mempercayai ini ialah status quo di Xiaomi walaupun mereka telah mempertingkat kualiti peranti sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Prestij syarikat boleh ditingkatkan lagi dengan penawaran peranti skrin boleh-lipat pada harga yang lebih rendah dari Samsung, Huawei dan Microsoft. Ini ialah pasaran yang masih belum wujud kerana kesemua peranti skrin boleh-lipat memerlukan lelongan ginjal sebelum boleh dimiliki.
Trend 2020 ialah mengurangkan sisi elektronik dan imej sebagai peranti pakai buang perlu dikikis sekarang. Hanya beberapa minggu yang lalu Xiaomi bertekad mengurangkan 60% penggunaan plastik dalam bungkusan peranti mereka tanpa perlu membuang pengecas dengan setiap pembelian. Ini ialah usaha murni dan kempen perhubungan awam yang baik tetapi masih belum mencukupi untuk menaikkan imej syarikat.
Sebenarnya Xiaomi tidak perlu memikirkan idea baru untuk meningkatkan pengeluaran peranti mereka pada tahun 2021. Sebaliknya ia boleh disalin tampal sahaja dari buku strategi Samsung yang turut pernah mempunyai reputasi buruk lima tahun lalu. Xiaomi hanya perlu memberikan sokongan sistem operasi sehingga tiga tahun,. Bukan sekadar versi pelancar MIUI sahaja yang menimbulkan kemarahan sesetengah pengguna. Dengan Project Mainline serta Tango, proses melakukan kemas kini seharusnya lebih mudah serta dapat diberikan kepada lebih banyak model peranti.
Jika Xiaomi melakukan kesemua perkara yang kami sentuh di atas, tiada masalah untuk mereka menjadi syarikat dengan pegangan pasaran ketiga terbesar di dunia. Apple tidak akan menjual peranti mercu pada harga serendah Xiaomi. Huawei tidak akan dapat bangun semula selagi halangan perdagangan berkuat kuasa (dan nampaknya Trump seperti akan kekal empat tahun lagi). Samsung pula selesa di atas dengan penawaran peranti dan telah belajar dari kesilapan lalu. Tahun 2021 ialah tahun terbaik untuk Xiaomi untuk mengambil kesempatan yang hanya wujud setiap satu generasi ini.