Carian
Android 10 Ialah Sistem Operasi Dengan Kadar Penggunaan Terpantas Dalam Sejarah Google
July 10, 2020 Effi Saharudin

Google telah lama tidak berkongsi peratusan penggunaan pelbagai versi Android secara terbuka. Kali terakhir ia dilakukan adalah pada bulan April yang lalu dan Android 9 mempunyai peratusan penggunaan tertinggi 31.3%. Tetapi kini Google berkongsi statistik terkini mengenai versi-versi Android di pasaran dan Android 10 sebenarnya mempunyai kadar penggunaan terpantas dalam sejarah.

Android 10 mencapai jumlah penggunaan pada 100 juta peranti dalam masa hanya lima bulan. Ia memintas pemegang rekod sebelum ini Android 9 dengan 28% lebih pantas. Kadar penggunaan yang pantas ini dicapai kerana Project Treble diperkenalkan pada Android Pie dan juga Android bekerjasama dengan lebih banyak pengeluar untuk melakukan ujian Beta untuk Android 10. Sebelum Android 10, program Beta hanya diberikan kepada peranti Pixel sahaja.

Android juga mengumumkan API Pemberitahuan Pendedahan yang dibangunkan bersama Apple berjaya diberikan kepada 2 bilion peranti dalam masa 4 minggu menerusi Google Play. Menerusi Project Mainline, semakin banyak komponen-komponen Android boleh dikemaskini secara terus menggunakan Google Play sekaligus menyelesaikan masalah fragmentasi Android yang berlaku sejak lebih sedekad lalu.

Komen