#Seratus21 – Samsung Terus Maju Atau Kembali Alpa?

#Seratus21 – Samsung Terus Maju Atau Kembali Alpa?

Diterbitkan pada Okt 30, 2020 oleh .

Dalam artikel terdahulu kami ada menyentuh isu perang perdagangan yang mengakibatkan Huawei lumpuh sejak setahun lalu. Ketiadaan GMS medatangkan impak yang besar kepada penjualan peranti di luar Chine tetapi kemudian situasi menjadi semakin krtikal selepas halangan pembelian perkakasan pula dikenakan. IDC telah mengeluarkan angka terkini pengeluaran telefon pintar pada suku ketiga 2020 dan Huawei masih lagi di tangga kedua. Tetapi jualan peranti menyusut -22% berbanding suku yang sama tahun lalu.

Setahun lalu Samsung seperti kimchi di hujung tanduk kerana kedudukan mereka di tangga teratas diancam Huawei. Tahun ini mereka kembali selesa dengan bukan sahaja Huawei telah dineutralkan tetapi Covid-19 tidak tidak meninggalkan impak jangka panjang seperti yang diramalkan. Pada suku yang lalu mereka berjaya memasarkan lebih banyak peranti berbanding suku yang sama tahun lalu.

Jadi mengapa kami menulis mengenai Samsung untuk siri #Seratus21? Kerana mereka kini kembali ke posisi yang selesa dan sebelum ini menyebabkan kedudukan mereka diancam pengeluar peranti dari China.

Pada tahun 2011, Galaxy SII dan Galaxy Note (N700) dilancarkan yang kemudiannya menjadi pemangkin kepada kejayaan mereka sekarang. Hanya dua tahun sebelum itu mereka menjual 6.4 juta telefon pintar yang kemudiannya melonjak ke 24.5 juta (dengan bantuan Galaxy S yang menerima pujian ramai) pada tahun 2010. Sebanyak 97.4 juta telefon pintar berjaya dijual oleh Samsung pada tahun 2011 yang melonjakkan mereka ke tangga teratas liga pengeluar telefon pintar global sehinggalah sekarang.

Kami yakin ramai yang jatuh hati dengan Samsung kerana dua peranti yang kami sebutkan tadi. Tetapi dari sayang bertukar menjadi berang apabila harga jualan peranti semakin tahun semakin tinggi dengan inovasi yang tidak seberapa. Keselesaan di atas mengakibatkan TouchWiz menjadi antara pelancar yang dibenci kerana terlalu berat dengan ciri gimik yang tidak diperlukan. Bicu audio dibuang walaupun sebelum itu mereka mentertawakan Apple kerana memulakan trend ini. Malah mereka juga berani memasarkan peranti mercu tanpa slot kad mikro SD.

Sejak tiga tahun lalu, Huawei, Xiaomi, OnePlus, dan Oppo memberikan saingan kepada Samsung bukan sahaja dari segi ciri tetapi juga pada penawaran harga yang lebih mesra poket pengguna di tempatan. Pegangan pasaran yang dominan mula terhakis lebih-lebih lagi dari Xiaomi dan Oppo yang dilihat lebih agresif dalam memasarkan peranti.

Tahun 2021 akan menjadi tahun yang penting buat Samsung kerana kita ingin melihat mereka belajar dari kealpaan yang lalu. Nasib malang Huawei perlu diambil kesempatan dengan semaksimum mungkin. Ketika artikel ditulis, Samsung ialah pengeluar dengan pegangan pasaran dominan untuk peranti 5G dan skrin boleh-lipat.

Kedudukan sebagai raja 5G sudah mula dicabar oleh Apple iPhone 12 yang baru sahaja memasuki pasaran. Dominasi sejak setahun lalu akan akhirnya dicabar dengan serius kerana ini ialah kekuatan Apple. Saban tahun iPhone akan menjadi kuasa besar untuk pasaran peranti mercu premium. Piramid kejayaan Samsung tidak akan terbina tanpa peranti kelas pertengahan serta permulaan yang menjadi batu asas menopang siri Galaxy S, Galaxy Note dan Galaxy Fold di puncak.

Terdapat beberapa petanda awal Samsung tidak mahu mengulangi kesilapan pertengahan dekad 2010-an. Mereka kini komited untuk menawarkan kemas kini sistem operasi sehingga tiga tahun pada peranti mercu. Tampalan sekuriti juga diberikan pantas kepada peranti kelas permulaan seperti Galaxy A10. Lima tahun yang lalu pengguna peranti asas Samsung hanya boleh menanti sehingga berjanggut sebelum menerima kemas kini tampalan sekuriti apatah lagi kemas kini sistem operasi.

Dalam segmen peranti boleh-lipat pula, Motorola hidup segan mati tak mahu, Microsoft seperti melepaskan batuk di tangga, Huawei seperti batuk sebelum rebah di tangga dan Royole pula terbongkang di tangga sebelum sempat batuk. Jika ramalan Fold (dam Z Flip) edisi mampu milik menjadi kenyataan Samsung kini boleh kekal tenang kerana peranti boleh-lipat Apple masih belum kelihatan di ufuk.

Satu-satunya kesilapan mereka yang mendapat reaksi negatif pengguna ialah keputusan untuk menggunakan cip Exynos yang kurang berkuasa berbanding Snapdragon. Kami membaca puluhan komen pembaca yang tawar hati apabila peranti menggunakan Exynos 990 tahun ini dan bukannya Snapdragon 865. Apabila Galaxy S20 FE 5G mula dijual bulan lalu, ramai pula memberikan reaksi positif kerana dilihat sebagai mendengar keluhan pengguna.

Samsung Galaxy S21 akan menjadi peranti yang penting bagi Samsung tahun hadapan. Ia akan menjadi yang pertama dengan cip 5nm dengan kod nama Exynos 2100 yang diramalkan mampu menawarkan prestasi setanding Snapdragon 875 kelak. Tetapi kami tahu sebilangan besar pengguna masih inginkan peranti Snapdragon sahaja di Malaysia atas sebab seperti optimasi bateri, permua, perisian dan kamera yang dilihat lebih baik.

Yang pasti seperti 2011, 2021 akan menjadi tahun yang penting bagi menentukan hala tuju dekad seterusnya Samsung. Belajarlah dari kealpaan lalu atau bersedialah untuk mengulangi kesilapan sama.


TIPS & ULASAN