Carian
Amerika Syarikat Tidak Melanjutkan Tarikh Jualan TikTok Tetapi Perbincangan Diteruskan
December 5, 2020 Effi Saharudin

Amerika Syarikat memberikan Bytedance tempoh sehingga semalam untuk menjual TikTok atas sebab risiko keselamatan negara. Ini ialah tarikh ketiga lanjutan diberikan selepas tarikh asal tamat pada 15 September lalu. Tetapi menurut laporan Reuters, pentadbiran Trump tidak akan memberikan lagi sebarang lanjutan.

Sungguhpun begitu mereka tidak akan memaksa penjualan syarikat seperti yang dijanjikan oleh Presiden Trump. Sebaliknya Bytedance akan meneruskan perbincangan dengan pentadbiran Trump untuk mencari penyelesaian kepada isu ini.

Terdapat beberapa laporan mengatakan Bytedance memberikan beberapa usul baharu pembentukan perniagaan baharu TikTok Global dengan kerjasama Walmart dan Oracle yang akan memenuhi keperluan Amerika Syarikat serta pemegang saham.

Perjanjian asal yang dipersetujui tiga syarikat ini tidak menerima restu Beijing dan Washington menyebabkan sehingga kini syarikat tidak dijual. Trump telahpun kalah dalam pilihanraya presiden tetapi sehingga kini tidak mengakui kemenangan Joe Biden. Taktik TikTok untuk melengahkan masa nampaknya menunjukkan hasil kerana kini beliau nampak kehilangan taring untuk meneruskan perang perdagangan ke atas China.

Komen