Kemampuan swapandu Tahap 5 akan membolehkan kenderaan swapandu beroperasi tanpa sebarang campur tangan manusia. Sehingga kini tiada kenderaan tahap lima tetapi usaha untuk merealisasikannya sedang dilakukan. Di China, sistem swapandu Baidu Apollo telah dibenarkan melakukan ujian kenderaan mereka di Beijing tanpa pemandu manusia di belakang stereng.

Sebanyak lima kenderaan akan menyertai ujian di jalan terbuka ini. Sistem Baidu Apollo (Apolong) setakat ini telah berjaya melakukan pemanduan sejauh 30,000 km dan membawa 100,00 penumpang tanpa sebarang insiden. Kenderaan mampu melakukan pemanduan tanpa manusia ini dengan menggunakan teknologi kecerdasan buatan serta teknologi 5G. Pada waktu ini sistem swapandu Apollo adalah di Tahap 4.
Baidu Apollo telah membangunkan teknologi swapandu mereka sejak 2013 dengan kerjasama 40 syarikat lain seperti Intel dan BMW. Pada tahun 2015 ujian di Beijing telah dimulakan dengan pemandu manusia di belakang stereng untuk situasi kecemasan. Seterusnya pada tahun 2017 bas swapandu dengan Apollo diuji pula di Shenzen.