Cari @ Amanz

Nampaknya, OnePlus mungkin akan terus menjadikan OnePlus BUds sebagai satu siri aksesori audio. Sebelum ini mereka telah melancarkan OnePlus Buds yang dijual pada harga RM399. Kini mereka hadir dengan OnePlus Buds Z pula, yang mana lebih murah. Tetapi adakah lebih murah bermakna ada pengorbanan dari segi kualiti audio atau binaan? Atau apakah sebabnya ia lebih murah?

Saya telah menggunakan OnePlus Buds Z ini untuk menguji kualiti audio dan memberi pendapat, sama ada adakah OnePlus Buds Z ini berbaloi ataupun tidak? Apa yang mengejutkan diri saya adalah, ia lebih hebat dari OnePlus Buds yang biasa dan sangat sesuai untuk semua orang cuba TWS ini.


Spesifikasi & Rekaan

Bagi yang tidak mengenali jenama seperti Mobvoi dengan produk audio TicPods, OnePlud Buds Z ini menggunakan rekaan yang lebih kurang sama. Perubahan paling ketara antara OnePlus Buds biasa dan OnePlus Buds Z adalah TWS ini jenis dalam telinga dan mempunyai putik telinga silikon tersendiri.

Ia masih lagi dibina dari plastik, yang mana terasa seperti set fon telinga nirwayar sebenar yang murah. Pod pengecasan adalah jenis memanjang dan setiap fon telinga dicas secara mendatar dan bukannya menegak. Seperti sebelum ini, elemen rekaan OnePlus Bullets masih dikekalkan lagi. Berbeza dengan OnePlus Buds biasa yang pod pengecasan hadir dengan kemasan pusam, Buds Z adalah berkilat.

Walaupun bahan binaannya memperlihatkan TWS ini seakan jenis yang murah. Tetapi hakikatnya, ia terasa premium dan dibina dengan baik sekali. Penutup pod pengecasan cukup ketat, tetapi tidak seronok untuk main tutup dan buka. Dengan pengalaman saya dengan TicPods, berani saya katakan yang OnePlus Buds Z ini mempunyai kualiti binaan keseluruhan yang lebih baik.

Saiz OnePlus Buds Z ini juga tidak begitu kecil, tetapi masih lagi dalam kategori saiz yang baik. Dimensi, adalah 3.798cm x 2.335cm untuk setiap fon telinga dan 7.5cm x 3.59cm x 2.905cm untuk pod pengecasan. Berat pula hanya 44.35g secara keseluruhan. Pemacu audio yang digunakan adalah 10mm jenis dinamik yang mana lebih kecil dari Buds Z yang menggunakan 13.4 mm jenis dinamik. Bagi memastikan tiada masalah masa pendam yang teruk, OnePlus menggunakan Bluetooth 5.0 dan teknologi tambatan Fast Pair. Saiz bateri adalah 40mAh untuk setiap fon telinga dan 450mah untuk pod pengecasan. Bateri ini adalah lebih besar dan baik berbanding sebelum ini.

Unit yang saya uji ini adalah warna putih, yang mana buat masa ini adalah satu-satunya pilihan warna di Malaysia. Secara rasminya, ia mempunyai tiga warna iaitu putih, kelabu dan edisi Steven Harrington.

Kualiti Audio

Sebagai bekas peminat produk-produk audio OnePlus, OnePlus Buds Z ini mengingatkan saya kepada OnePlus Type-C Bullets. Ia masih lagi asas, tetapi apa yang penting ia lebih baik dari OnePlus Buds yang jauh lebih mahal. Mungkin kerana ia menggunakan jenis dalam telinga – jadi kualitinya adalah lebih baik dengan pengasingan bunyi yang lebih bagus berbanding jenis terbuka.

Pertama sekali adalah, apabila menggunakan OnePlus Buds Z audio yang dihasilkan adalah intim dengan pengguna. Maksudnya di sini adalah, audio itu seakan dimainkan oleh penyanyi bersemuka dengan pengguna. Perkara ini sebenarnya adalah perkara yang negatif, kerana instrumen dalam muzik sukar untuk dibezakan. Kemudian, ia menyebabkan ketiadaan pementasan audio. Tetapi boleh juga dijadikan sebagai perkara positif, bergantung kepada pengguna. Ada pengguna yang tidak begitu hiraukan beza instrumen dan hanya ingin mendengar muzik – jika anda inginkan pengalaman seakan persembahan muzik jalanan mungkin ini yang terbaik.

Untuk bass, walaupun OnePlus dengan seriusnya mempromosikan kehebatan bass pada TWS ini – ia seakan bass digital yang dihasilkan dari perisian. Bass yang ada itu baik-baik sahaja, tetapi tidak mempunyai dentuman yang cukup dalam dan lebih kepada sekadar melengkapkan spesifikasi sepasang TWS.

Untuk vokal, ia enak didengari dan cukup seimbang. Ini bermakna, tidak kira muzik apa yang pengguna dengar sama ada nyanyian lelaki atau wanita ia akan memuaskan hati semua orang. Ini menjadikan TWS ini sesuai digunakan oleh semua golongan.

Untuk high, iaitu muzik dengan nada yang tinggi – ia tidak cukup cerah. Ini bermakna tidak semua nada tinggi dapat dicapai oleh TWS ini. Ia terhad kepada yang asas sahaja dan tidak begitu tajam. Sedikit berdesing jika aras suara terlampau tinggi. Untuk pementasan audio pula, OnePlus Buds Z ini langsung tiada profil. Ia benar-benar intim dengan pengguna untuk pengalaman pendengaran yang bersahaja. TWS ini juga tidak mempunyai pengasingan bunyi yang baik dan pengalaman pendengaran boleh sedikit terganggu.

OnePlus Buds Z juga mempunyai aras suara yang cukup kuat. Malah terlampau kuat sehingga sakit telinga jika ditetapkan pada 100%. Bawah 80% sudah memadai. Kemudian, OnePlus Buds ini juga cukup selesa, kekal di dalam telinga walaupun sudah ada banyak pergerakan kerana ia jenis dalam telinga dan tidak licin seperti OnePlus Buds.

Panggilan telefon pula cukup baik, tetapi disebabkan mikrofonnya tidak cukup besar ia agak terhad seperti suara tersekat-sekat. Kualiti baik-baik sahaja dan jelas, cuma masalah tersekat-sekat ini kadangkala turut berlaku ketika sedang mendengar muzik.

Untuk peranti OnePlus atau peranti Android lain, ia akan mempunyai pilihan HD audio – AAC. Pada iPhone ia akan terhad kepada SBC kerana tiada aplikasi atau cara lain untuk kawalan. Mengaktifkan mod ini adalah sangat digalakkan, kerana akan meningkatkan kualiti audio.

Ketahanan Bateri

Bateri pada pod pengecasan adalah 450mAh dan pada setiap fon telinga adalah 40mAh. Menurut OnePlus, ia boleh memainkan muzik secara berterusan selama 5 jam, membuat panggilan telefon selama 3 jam dalam sekali cas. Tetapi jika dicampur dengan bateri pada pod pengecasan, ia mampu bertahan selama 20 jam. Masa pengecasan penuh adalah agak pantas yang mana itu adalah kepakaran OnePlus untuk aksesori audio mereka. Ia turut menyokong pengecasan 10 minit untuk ketahanan selama 3 jam. OnePlus sekali lagi membuktikan yang bateri bukan masalah untuk produk audio mereka. Pengecasan adalah melalui USB-C, yang mana kabel A-C disediakan.

Kawalan & Fungsi Pintar

Kawalan pada OnePlus Buds Z adalah melalui sentuhan pada permukaan rata setiap fon telinga. Kawalan adalah terhad kepada main/jeda, langkau muzik dan menyeru pembantu digital sahaja. Kawalan juga hanya seronok digunakan jika TWS ini ditambat kepada peranti OnePlus. Jika peranti Android lain, aplikasi HeyMelody perlu dimuat turun untuk tujuan memuat turun kemas kini dan mengubah kawalan sentuhan.

Fungsi pintar pada hemat saya adalah lebih kepada tambatan pantas sahaja. OnePlus tidak memberitahu cip apa yang digunakan, tetapi mana-mana peranti Android dengan GMS boleh mengenalpasti produk ini untuk tambatan pantas. Pada Pixel 4 XL yang sedang saya gunakan, dalam tetapan Bluetooth ia boleh memaparkan status bateri pod pengecasan dan juga setiap fon telinga. Turut terdapat adalah untuk mengaktifkan AAC atau mematikannya.

Pada iPhone, ia hanyalah sepasang TWS asas kerana aplikasi HeyMelody hanya hadir untuk platform Android. Jadi OnePlus Buds Z ini adalah untuk pengguna Android sahaja jika inginkan sedikit kawalan tambahan.

Kesimpulan

OnePlus Buds Z adalah TWS kedua dari OnePlus. Jelas di sini yang OnePlus telah belajar dari kesilapan. Walaupun TWS ini menggunakan pemacu audio 10mm dan OnePlus Buds menggunakan 13.4mm, Buds Z jauh lebih baik, selesa dan mempunyai pengalaman pendengaran yang berkali ganda lebih menarik. Tidak lupa juga yang ia lebih murah dan lebih berkualiti. Harapnya di masa hadapan, tiada lagi TWS seakan Buds dihasilkan dan OnePlus teruskan sahaja dengan jenis dalam telinga.

OnePlus Buds Z ini adalah TWS yang sesuai untuk semua golongan pengguna dan turut masih fokus kepada mereka yang inginkan ekosistem OnePlus. Jika anda tidak kisah dengan jenama, banyak lagi TWS dari China seperti SoundPEATS, Xiaomi KZ, BLON atau juga Haylou yang mempunyai harga lebih murah dengan kualiti yang lebih baik.

Jika dahulu saya kurang gemar dan tidak ingin cadangkan OneOPlus Buds kepada orang lain, OnePlus Buds Z ini adalah satu TWS yang cukup baik yang patut anda cuba. Harga RM229, masih lagi mahal – tetapi OnePlus masih baru berjinak dalam arena TWS jadi harga ini boleh dimaafkan untuk sebuah jenama yang boleh dikatakan cukup besar.

Pro

  • Rekaan lebih menarik dengan binaan yang rasa kukuh
  • Kualiti audio yang lebih baik dari OnePlus Buds
  • Lebih selesa dan tidak mudah tertanggal
  • Bateri kekal tahan lama

Kontra

  • Harga yang sedikit mahal
  • Fungsi terhad kepada peranti Android sahaja
  • Kawalan terhad dan tidak mesra pengguna
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd