Acer sedia hadir dengan barisan peranti berkuasa yang tahan lasak dan memberi prestasi stabil dalam apa jua situasi menerusi siri Enduro. Dua daripada kesemua model di bawah siri ini nampaknya telah dibawa masuk ke pasaran Malaysia – iaitu Acer Enduro T1 Rugged Tablet dan Acer Enduro N3 Rugged Notebook.

Bagi yang berminat, Acer Enduro T1 ditawarkan pada harga bermula RM1,599. Sementara, Acer Enduro N3 pula berharga RM4,699 untuk model Intel Core i5 dan RM5,699 untuk model Intel Core i7. Pra-tempah telah dibuka dan anda boleh berbuat demikian menerusi laman rasmi Acer Malaysia.

Untuk spesifikasi, Acer Enduro T1 Rugged Tablet ditawarkan dalam dua variasi iaitu ET108-11A-83CH dan ET110-31W-C1PD. Kedua-duanya dilihat berkongsi sejumlah spesifikasi yang sama – termasuk hadir dengan bahan binaan gred tentera MIL-STD 810G, perlindungan kalis air IP54, memori 4GB (LPDDR4X) dan storan dalaman 64GB (eMMC).
Namun begitu, masih terdapat juga perbezaan untuk sejumlah spesifikasi lain. ET108-11A-83CH hadir dengan paparan bersaiz 8-inci IPS dengan resolusi HD (1280 × 800). Cip yang digunakan adalah MediaTek MT8385. Binaannya juga lebih ringan sekitar 500g, selain menjalankan Android 9 dan menawarkan ketahanan bateri sehingga 9 jam.
Untuk ET110-31W-C1PD pula. Ia hadir dengan saiz 10.1-inci IPS dengan resolusi WXGA (1280 × 800). Spesifikasi lain termasuklah cipIntel Celeron N3450, perisian Windows 10 Pro, ketahanan bateri sehingga 10 jam dan berat sekitar 900g.

Acer Enduro N3 Rugged Notebook pula dilengkapi paparan 14-inci LCD FHD dengan gred tentera MIL-STD 810G dan mempunyai perlindungan kalis air IP53. Seterusnya, skrinnya juga disertakan lapisan kaca dari Corning Gorilla Glass sebagai pelindung utama.
Dari segi spesifikasi, ia didatangkan dua pilihan variasi model iaitu Intel Core i5 dan Intel Core i7 generasi ke-10 dengan memori 8GB LPDDR4X dan storan SSD PCIe sebesar 256GB. Spesifikasi lain termasuk perisian Windows 10 Pro, cip sekuriti TPM 2.0, sistem log masuk Windows Helo, perisian AEMS terbina dan ketahanan bateri sehingga 13 jam.