Cari @ Amanz

Telefon skrin boleh-lipat di pasaran sekarang terhad kepada dwi-lipatan sahaja seperti Galaxy Z Fold2, Mate X dan RAZR. Tetapi di Oppo, mereka ingin menggandakannya kepada okto-lipat menerusi peranti konsep yang dihasilkan dengan kerjasama firma rekaan terkemuka Jepun Nendo.

Peranti Oppo x Nendo yang diperlihatkan hari ini bersaiz kompak apabila di dalam posisi dilipat. Tiada skrin luaran digunakan dengan skrin mempunyai lapan segmen sebesar 7-inci yang boleh dilipat dan dibuka mengikut keperluan pengguna. Antara yang diperlihatkan ialah dua lipatan atas dipusing ke hadapan untuk menggunakan kamera utama sebagai kamera swafoto.

Apabila kesemua lapan segmen dinyahlipat, peranti mempunyai tubuh memanjang yang mengingatkan kami kepada rekaan Essential GEM yang dibatalkan. Dengan skrin ultra panjang ini, tiga aplikasi dapat dilancarkan serentak menerusi mod multi-skrin.

Ini ialah satu lagi peranti konsep menarik yang diperlihatkan oleh Oppo tahun ini. Hanya beberapa minggu lalu rekaan Oppo X 2021, peranti dengan skrin gulung telah diperlihatkan tetapi ia berfungsi cuma teknologi yang digunakan masih belum matang buat masa ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd